Rabu, 16 November 2016

Asmawi gembira di Pulau Pinang

ARKIB : 10/03/1999
PENGHIJRAHAN dari Selangor ke Pulau Pinang membuka kembali peluang kepada Asmawi Bakiri untuk beraksi di posisi tengah (midfield) sekalipun terpaksa bekerja keras kerana dibayangi pemain lain sebelum menghadapi Perdana Satu musim ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Bagaimanapun, Asmawi tidak akan memilih posisi sekiranya jurulatih Moey Yok Ham mahukannya beraksi sebagai pemain bek kanan.


''Memang posisi kegemaran saya di bahagian midfield tetapi saya juga boleh bermain sebagai bek kanan kerana mempunyai pengalaman beraksi di kedua-dua posisi sewaktu bersama Selangor sebelum ini,'' kata pemain itu di Pulau Pinang, semalam.

Menurut Asmawi, dia mula mewakili Selangor sebagai pemain midfield pada 1993 sebelum beralih ke posisi bek kanan dua tahun kemudian.

''Dengan Pulau Pinang, harapan saya untuk bermain di posisi tengah cerah kerana posisi bek kanan akan menjadi milik Ng Kok Heng yang diletakkan di situ sejak musim-musim sebelum ini,'' tambahnya.

Namun, bekas pemain Selangor itu berpendapat bahawa dia masih perlu bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama musim ini.

Katanya, setakat ini, dia berganding dengan rakan sepasukan dari Selangor, Shahril Arsat dan bekas pemain Kelantan, Wong Kah Loon di barisan tengah.

Mengenai perbezaan antara Selangor dengan Pulau Pinang, Aswami memberitahu, terdapat banyak perbezaan dalam corak permainan kedua-dua pasukan.

''Selangor memberi keutamaan kepada kemahiran individu manakala Pulau Pinang lebih banyak bergantung kepada seluruh jentera pasukan,'' katanya.

Asmawi juga beranggapan, pasukan Pulau Pinang musim ini lebih mantap kerana dibarisi pemain berwibawa di kesemua posisi dalam usaha mengekalkan piala Perdana Satu di samping memburu kejuaraan baru, Piala FA dan Piala Malaysia.

Selain Asmawi, Shahril dan Kah Loon, Pulau Pinang mengikat penyerang handalan, Azman Adnan serta penjaga gol Azlisham Ibrahim dari Selangor, S. Ragesh (Kedah), V. Thinagaran (Perlis) dan Badrisan Kadir (Kelantan).

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Q9r0qGL7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan