ARKIB : 10/03/1999
PENGHIJRAHAN dari Selangor ke
Pulau Pinang membuka kembali peluang kepada Asmawi Bakiri untuk beraksi di
posisi tengah (midfield) sekalipun terpaksa bekerja keras kerana dibayangi
pemain lain sebelum menghadapi Perdana Satu musim ini, lapor ZAINU'L AZHAR
ASH'ARI.
Bagaimanapun, Asmawi tidak akan
memilih posisi sekiranya jurulatih Moey Yok Ham mahukannya beraksi sebagai pemain
bek kanan.
''Memang posisi kegemaran saya
di bahagian midfield tetapi saya juga boleh bermain sebagai bek kanan kerana
mempunyai pengalaman beraksi di kedua-dua posisi sewaktu bersama Selangor
sebelum ini,'' kata pemain itu di Pulau Pinang, semalam.
Menurut Asmawi, dia mula
mewakili Selangor sebagai pemain midfield pada 1993 sebelum beralih ke posisi
bek kanan dua tahun kemudian.
''Dengan Pulau Pinang, harapan
saya untuk bermain di posisi tengah cerah kerana posisi bek kanan akan menjadi
milik Ng Kok Heng yang diletakkan di situ sejak musim-musim sebelum ini,''
tambahnya.
Namun, bekas pemain Selangor
itu berpendapat bahawa dia masih perlu bekerja keras untuk merebut tempat dalam
kesebelasan utama musim ini.
Katanya, setakat ini, dia
berganding dengan rakan sepasukan dari Selangor, Shahril Arsat dan bekas pemain
Kelantan, Wong Kah Loon di barisan tengah.
Mengenai perbezaan antara
Selangor dengan Pulau Pinang, Aswami memberitahu, terdapat banyak perbezaan
dalam corak permainan kedua-dua pasukan.
''Selangor memberi keutamaan
kepada kemahiran individu manakala Pulau Pinang lebih banyak bergantung kepada
seluruh jentera pasukan,'' katanya.
Asmawi juga beranggapan,
pasukan Pulau Pinang musim ini lebih mantap kerana dibarisi pemain berwibawa di
kesemua posisi dalam usaha mengekalkan piala Perdana Satu di samping memburu
kejuaraan baru, Piala FA dan Piala Malaysia.
Selain Asmawi, Shahril dan Kah
Loon, Pulau Pinang mengikat penyerang handalan, Azman Adnan serta penjaga gol
Azlisham Ibrahim dari Selangor, S. Ragesh (Kedah), V. Thinagaran (Perlis) dan
Badrisan Kadir (Kelantan).
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Q9r0qGL7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan