ARKIB : 12/01/1999
WALAUPUN tempatnya seolah-olah
sudah terjamin dalam skuad yang pernah bergelar juara berganda, penjaga gawang
S. Ragesh tetap memilih cabaran apabila menerima tawaran untuk beraksi dengan
Pulau Pinang musim ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.
Sebaliknya, penghijrahan dari
Kedah ke Pulau Pinang memaksa Ragesh bersaing merebut tempat sebagai penjaga
gol utama selepas ''harimau kumbang'' turut mengikat Azlisham Ibrahim dari
Selangor.
Ragesh, 26, bekas pemain skuad
Olimpik Atlanta di bawah bimbingan jurulatih dari Perancis, Claude Le Roy
mengakui bahawa kedatangannya ke Pulau Pinang terpaksa menempuh saingan
mencabar.
''Kebiasaannya tonggak tempatan
merasakan kedudukan sengit kerana di ancam pemain luar tetapi saya dan Azlisham
adalah tenaga dari pasukan negeri lain yang terpaksa berentap hanya untuk
merebut satu posisi,'' katanya semalam.
Namun, kata Ragesh, dia tidak
menyesal selepas mengubah haluan kerana Pulau Pinang bukannya pasukan belasahan
lagi seperti dahulu, malah tahun lalu sahaja mampu meraih kejuaraan Liga
Perdana Satu.
''Saya mewakili Kedah mulai
1996 hingga 1998 dengan merasai pingat kejuaraan Piala FA serta naib juara liga
tetapi tahun ini, saya yakin untuk meneruskan kejayaan dengan Pulau Pinang
pula,'' katanya.
Menurut Ragesh, selain dia dan Azlisham,
kemasukan pemain handalan pertahanan seperti V. Thinagaran (Perlis), Azman
Adnan, Asmawi Bakiri, Shahril Arsat (Selangor), Wong Kah Loon dan Badrisan
Kadir (Kelantan) membayangkan kekuatan Pulau Pinang.
''Pulau Pinang mempunyai
kekuatan di kesemua posisi, pasti akan memberikan cabaran hebat dalam Perdana
Satu musim ini,'' katanya.
Penjaga gawang itu memberitahu,
walaupun cabaran untuk mengawal pintu gol Pulau Pinang, dia menyifatkannya
sebagai perkembangan sihat yang boleh membantunya berlatih dengan lebih
bersungguh-sungguh.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Pi6xSman
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan