ARKIB : 15/11/1998
TERENGGANU tewas 0-2 kepada
Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu
malam tadi tetapi kekalahan itu tidak menghalang peluang skuad Penyu itu ke
separuh akhir.
Sebaliknya, Pulau Pinang yang
meletakkan harapan tinggi dengan mengharapkan keputusan pertarungan itu
terpaksa menerima hakikat nasib lebih menyebelahi Terengganu.
Perlawanan yang berlangsung di
hadapan kira-kira 10,000 penonton itu menyaksikan Abdul Halim Jantan muncul
wira Negeri Sembilan menerusi dua jaringan emasnya pada minit ke-55 dan 56.
Sepak mula membangkitkan
semangat juang kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan dalam pertarungan
menarik dan penuh mendebarkan.
Terengganu yang sememangnya
mengharapkan kemenangan tidak berputus asa melancarkan serangan dari segenap
penjuru untuk memburu jaringan.
Gabungan tonggak utama Seidu
Issifu, Badrul Hisham Abdullah yang turut didukung ketua pasukan, Anuar Jusoh
memperhebatkan gerakan bagi mengekang barisan pasukan pelawat.
Sehingga minit ke-34 pasukan
tuan rumah terpaksa mengeluarkan penjaga golnya, Zubir Ibrahim kerana
kecederaan dan digantikan Tay Sin Kiat.
Pertukaran itu sedikit sebanyak
menjejaskan rentak permainan Terengganu dan meresahkan para penonton tuan rumah
yang menyandarkan harapan tinggi.
Seidu Issifu, Mohd. Noor Derus,
Samuel Chebli masih tidak mahu menyerah kalah untuk mencari ruang jaringan
namun banyak peluang yang dicipta tidak dimanfaatkan.
Enam minit berlangsungnya
separuh masa kedua, suasana stadium yang sebelumnya gamat dengan sorakan
bertukar sepi berikutan jaringan Abdul Halim yang mendapat umpanan Faizal
Zainal.
Gol tersebut terus membangkit
keghairahan pasukan pelawat untuk menambah jaringan menerusi pemain yang sama,
Abdul Halim seminit kemudian.
Kedua-dua gol itu
mengkucarkacirkan permainan skuad Penyu yang seolah-olah tersentak dengan
jurang gol tersebut mendorong jurulatihnya, Abdul Rahman Ibrahim membuat
pertukaran.
Badrul Afzan Ghazali
menggantikan Azman Ismail dan tidak lama selepas itu pertukaran kedua
memasukkan Baharuddin Ali untuk mengambil alih tugas Mohd. Naszreen Tee.
Minit terakhir perlawanan
menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mengubah kedudukan namun
kemenangan muktamad berakhir dan Terengganu terpaksa menyerah kalah 0-2.
Kemenangan itu juga membuktikan
Negeri Sembilan mengekalkan kedudukannya di tangga teratas Kumpulan A dengan
memungut 19 mata dan layak ke separuh akhir diiringi Terengganu yang masih 13
mata.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PJvRWP4v
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan