Isnin, 7 November 2016

Penyu singkir P. Pinang

ARKIB : 15/11/1998
TERENGGANU tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi tetapi kekalahan itu tidak menghalang peluang skuad Penyu itu ke separuh akhir.

Sebaliknya, Pulau Pinang yang meletakkan harapan tinggi dengan mengharapkan keputusan pertarungan itu terpaksa menerima hakikat nasib lebih menyebelahi Terengganu.

Perlawanan yang berlangsung di hadapan kira-kira 10,000 penonton itu menyaksikan Abdul Halim Jantan muncul wira Negeri Sembilan menerusi dua jaringan emasnya pada minit ke-55 dan 56.

Sepak mula membangkitkan semangat juang kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan dalam pertarungan menarik dan penuh mendebarkan.

Terengganu yang sememangnya mengharapkan kemenangan tidak berputus asa melancarkan serangan dari segenap penjuru untuk memburu jaringan.

Gabungan tonggak utama Seidu Issifu, Badrul Hisham Abdullah yang turut didukung ketua pasukan, Anuar Jusoh memperhebatkan gerakan bagi mengekang barisan pasukan pelawat.

Sehingga minit ke-34 pasukan tuan rumah terpaksa mengeluarkan penjaga golnya, Zubir Ibrahim kerana kecederaan dan digantikan Tay Sin Kiat.

Pertukaran itu sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan Terengganu dan meresahkan para penonton tuan rumah yang menyandarkan harapan tinggi.

Seidu Issifu, Mohd. Noor Derus, Samuel Chebli masih tidak mahu menyerah kalah untuk mencari ruang jaringan namun banyak peluang yang dicipta tidak dimanfaatkan.

Enam minit berlangsungnya separuh masa kedua, suasana stadium yang sebelumnya gamat dengan sorakan bertukar sepi berikutan jaringan Abdul Halim yang mendapat umpanan Faizal Zainal.

Gol tersebut terus membangkit keghairahan pasukan pelawat untuk menambah jaringan menerusi pemain yang sama, Abdul Halim seminit kemudian.

Kedua-dua gol itu mengkucarkacirkan permainan skuad Penyu yang seolah-olah tersentak dengan jurang gol tersebut mendorong jurulatihnya, Abdul Rahman Ibrahim membuat pertukaran.

Badrul Afzan Ghazali menggantikan Azman Ismail dan tidak lama selepas itu pertukaran kedua memasukkan Baharuddin Ali untuk mengambil alih tugas Mohd. Naszreen Tee.

Minit terakhir perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mengubah kedudukan namun kemenangan muktamad berakhir dan Terengganu terpaksa menyerah kalah 0-2.

Kemenangan itu juga membuktikan Negeri Sembilan mengekalkan kedudukannya di tangga teratas Kumpulan A dengan memungut 19 mata dan layak ke separuh akhir diiringi Terengganu yang masih 13 mata.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PJvRWP4v

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan