ARKIB : 15/11/1998
PULAU Pinang akan memikat
pemain penyerang sensasi Selangor, Azman Adnan besama-sama beberapa pemain dari
Johor dan Kelantan untuk menyarung jersi Harimau Kumbang bagi membawa cabaran
pada Liga Perdana musim depan, lapor ZULKIFLI ABDULLAH.
Selain Azman yang sudah
digugurkan dari skuad Selangor, bekas penyerang kebangsaan itu dijangka akan
berganding dengan beberapa pemain 'ternama' di posisi bahagian tengah dan
penyerang berikutan ketiadaan tiga pemain import nanti.
Timbalan Presiden Persatuan
Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Dr. Ibrahim Saad yakin, skuad Pulau Pinang
akan berwajah baru dan menjadi pasukan terkuat untuk mengharungi cabaran hebat
dalam liga itu yang bermula Mac tahun depan.
Beliau yakin dapat memikat
Azman yang sudah pun menyatakan persetujuan untuk mewakili Pulau Pinang apatah
lagi selepas kontraknya tidak lagi disambung skuad ''Red Giants.''
Dr. Ibrahim begitu optimistik
mendapatkan khidmat Azman biar pun pernah menimbulkan kontroversi antara Negeri
Sembilan dengan Selangor pada musim lalu.
Pada waktu itu, Azman yang
mulanya dijadualkan menandatangani kontrak dengan Negeri Sembilan tiba-tiba
mengubah fikiran sebaliknya mengikat kontrak dengan Selangor.
''Azman akan menjadi jentera
penyerang utama dengan dibantu oleh beberapa pemain lain dari Kelantan dan
Johor untuk mengisi kekosongan pemain import yang tidak lagi dibenarkan beraksi
pada musim depan,'' katanya di Pulau Pinang semalam.
Pulau Pinang kini mempunyai
tiga pemain import, Balla Modou Conde (Guinea), Merzagua Abderrazzak (Maghribi)
dan Riyad Abbbas (Iraq).
Beliau juga membayangkan hasrat
untuk mencari penjaga gol lain bagi menjaga gawang pasukan juara Liga Perdana
Satu itu yang kini menjadi tanggungjawab bekas penjaga gol kebangsaan, Ahmad
Sobri Ismail.
Dengan rombakan itu katanya,
FAP akan menggugurkan tujuh pemain termasuk beberapa pemain utama dan simpanan
kerana gagal menunjukkan prestasi membanggakan ketika beraksi pada musim ini.
Menurut Dr. Ibrahim, dua pemain
berpotensi dari skuad Piala Presiden akan diserap dalam pasukan Liga Perdana
musim depan untuk membawa cabaran hebat dan usaha untuk mempertahankan gelaran
juara liga.
''FAP akan mengeluarkan surat
tawaran kepada para pemain tempatan untuk terus mewakili pasukan Pulau Pinang
atau digugurkan daripada skuad negeri pada Isnin ini,'' tambah beliau.
Katanya, FAP juga mengekalkan
khidmat jurulatihnya, Moey Yok Ham dan melantik Mohamad Bakar sebagai penasihat
teknikal tetap dalam persatuan itu.
Dr. Ibrahim merasa bangga atas
kejayaan Pulau Pinang yang berjaya membolot beberapa kejuaraan pada tahun ini
iaitu selain Piala Liga Perdana Satu turut menjuarai Piala Agong dan Piala Emas
Raja-Raja.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PJsPCZlP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan