Isnin, 7 November 2016

Pulau Pinang berjaya pikat hati Azman

ARKIB : 15/11/1998
PULAU Pinang akan memikat pemain penyerang sensasi Selangor, Azman Adnan besama-sama beberapa pemain dari Johor dan Kelantan untuk menyarung jersi Harimau Kumbang bagi membawa cabaran pada Liga Perdana musim depan, lapor ZULKIFLI ABDULLAH.

Selain Azman yang sudah digugurkan dari skuad Selangor, bekas penyerang kebangsaan itu dijangka akan berganding dengan beberapa pemain 'ternama' di posisi bahagian tengah dan penyerang berikutan ketiadaan tiga pemain import nanti.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Dr. Ibrahim Saad yakin, skuad Pulau Pinang akan berwajah baru dan menjadi pasukan terkuat untuk mengharungi cabaran hebat dalam liga itu yang bermula Mac tahun depan.

Beliau yakin dapat memikat Azman yang sudah pun menyatakan persetujuan untuk mewakili Pulau Pinang apatah lagi selepas kontraknya tidak lagi disambung skuad ''Red Giants.''

Dr. Ibrahim begitu optimistik mendapatkan khidmat Azman biar pun pernah menimbulkan kontroversi antara Negeri Sembilan dengan Selangor pada musim lalu.

Pada waktu itu, Azman yang mulanya dijadualkan menandatangani kontrak dengan Negeri Sembilan tiba-tiba mengubah fikiran sebaliknya mengikat kontrak dengan Selangor.

''Azman akan menjadi jentera penyerang utama dengan dibantu oleh beberapa pemain lain dari Kelantan dan Johor untuk mengisi kekosongan pemain import yang tidak lagi dibenarkan beraksi pada musim depan,'' katanya di Pulau Pinang semalam.

Pulau Pinang kini mempunyai tiga pemain import, Balla Modou Conde (Guinea), Merzagua Abderrazzak (Maghribi) dan Riyad Abbbas (Iraq).

Beliau juga membayangkan hasrat untuk mencari penjaga gol lain bagi menjaga gawang pasukan juara Liga Perdana Satu itu yang kini menjadi tanggungjawab bekas penjaga gol kebangsaan, Ahmad Sobri Ismail.

Dengan rombakan itu katanya, FAP akan menggugurkan tujuh pemain termasuk beberapa pemain utama dan simpanan kerana gagal menunjukkan prestasi membanggakan ketika beraksi pada musim ini.

Menurut Dr. Ibrahim, dua pemain berpotensi dari skuad Piala Presiden akan diserap dalam pasukan Liga Perdana musim depan untuk membawa cabaran hebat dan usaha untuk mempertahankan gelaran juara liga.

''FAP akan mengeluarkan surat tawaran kepada para pemain tempatan untuk terus mewakili pasukan Pulau Pinang atau digugurkan daripada skuad negeri pada Isnin ini,'' tambah beliau.

Katanya, FAP juga mengekalkan khidmat jurulatihnya, Moey Yok Ham dan melantik Mohamad Bakar sebagai penasihat teknikal tetap dalam persatuan itu.

Dr. Ibrahim merasa bangga atas kejayaan Pulau Pinang yang berjaya membolot beberapa kejuaraan pada tahun ini iaitu selain Piala Liga Perdana Satu turut menjuarai Piala Agong dan Piala Emas Raja-Raja.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PJsPCZlP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan