ARKIB : 11/01/1999
HARIMAU kumbang hanya
berkehendakkan seorang lagi penyerang sewaktu pintu tertutup rapat buat pemain
posisi lain untuk mencuba nasib dengan Pulau Pinang bagi membawa cabaran musim
ini.
Jurulatih Moey Yoke Ham,
berkata, Pulau Pinang memerlukan seorang penyerang bagi mempertajamkan barisan
depannya itu selepas mengikat bekas pemain Selangor dan Kelantan, Azman Adnan
dan Badrisan Kadir untuk berganding dengan tonggak tempatan G. Shanmugam.
''Jika boleh, kita mahu
mengekalkan empat penyerang bagi menghadapi musim 1999 yang panjang sebagaimana
tahun lalu di mana Pulau Pinang diperkuatkan rangkaian Domi Che Non, tonggak
import dari Maghribi Merzagua Abdderrazak, Shanmugam dan Fuad Mohd. Noor,''
kata beliau ketika dihubungi, di sini, semalam.
Bagaimanapun, juara Perdana
Satu 1998 itu menggugurkan Domi dan Fuad untuk menghadapi cabaran musim baru
1999 yang lebih hebat dengan mengikat Azman serta Badrisan.
Sementara Merzagua pula gagal
meneruskan khidmatnya kerana terpaksa akur di atas keputusan Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) untuk tidak membenarkan lagi pemain import yang sudah
tamat kontrak mewakili pasukan negeri musim ini.
Sehubungan itu, kata Yoke Ham,
beliau mencuba seorang pemain tempatan yang kini mewakili sebuah kelab di Pulau
Pinang untuk diketengahkan dalam Perdana Satu.
''Kita sedang mencuba pemain
ini, sama ada dia layak dipilih atau dapat menerima tawaran bermain dalam
Perdana Satu, belum diputuskan.
''Ini bermakna, sesiapa sahaja
pemain di barisan serangan termasuk dari pasukan negeri lain masih boleh
mencuba nasib dengan Pulau PInang sebelum pendaftaran dengan FAM pada 28
Februari ini,'' tambah beliau.
Yoke Ham menjelaskan, Pulau
Pinang tidak memerlukan pemain pertahanan yang sudah ''teguh'' dibarisi bekas
pemain Perlis, V. Thinagaran bersama-sama tonggak musim lalu termasuk Moey Kok
Hong, Chee Wan Hoe, Abdul Rahim Hassan, K. Nanthakumar serta Fauzi Soh.
Pulau Pinang turut mendapatkan
khidmat penjaga gol Kedah, S. Ragesh dan Azlisham Ibrahim dari Selangor untuk
mengawasi gawangnya setelah mengetepikan Ahmad Sobri Ismail.
Begitu juga barisan tengah
Pulau Pinang yang semakin mantap kerana diperkuatkan bekas pemain Kelantan Woh
Kah Loon dan Shahril Arsat serta Asmawi Bakiri dari Selangor.
Dengan penghijrahan pemain
handalan dari Perlis, Kedah, Kelantan serta Selangor untuk bersama-sama pemain
tempatan bagi membawa cabaran Pulau Pinang musim ini, Yoke Ham berkata, Pulau
Pinang sudah mempunyai sebuah pasukan lengkap.
''Dengan barisan pemain ini, kita
sudah mempunyai pasukan utama, cuma jika boleh kita mahu menambah seorang
penyerang lagi,'' kata beliau.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PhuSJdBY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan