Jumaat, 11 November 2016

Pulau Pinang cari penyerang

ARKIB : 11/01/1999
HARIMAU kumbang hanya berkehendakkan seorang lagi penyerang sewaktu pintu tertutup rapat buat pemain posisi lain untuk mencuba nasib dengan Pulau Pinang bagi membawa cabaran musim ini.

Jurulatih Moey Yoke Ham, berkata, Pulau Pinang memerlukan seorang penyerang bagi mempertajamkan barisan depannya itu selepas mengikat bekas pemain Selangor dan Kelantan, Azman Adnan dan Badrisan Kadir untuk berganding dengan tonggak tempatan G. Shanmugam.

''Jika boleh, kita mahu mengekalkan empat penyerang bagi menghadapi musim 1999 yang panjang sebagaimana tahun lalu di mana Pulau Pinang diperkuatkan rangkaian Domi Che Non, tonggak import dari Maghribi Merzagua Abdderrazak, Shanmugam dan Fuad Mohd. Noor,'' kata beliau ketika dihubungi, di sini, semalam.

Bagaimanapun, juara Perdana Satu 1998 itu menggugurkan Domi dan Fuad untuk menghadapi cabaran musim baru 1999 yang lebih hebat dengan mengikat Azman serta Badrisan.

Sementara Merzagua pula gagal meneruskan khidmatnya kerana terpaksa akur di atas keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tidak membenarkan lagi pemain import yang sudah tamat kontrak mewakili pasukan negeri musim ini.

Sehubungan itu, kata Yoke Ham, beliau mencuba seorang pemain tempatan yang kini mewakili sebuah kelab di Pulau Pinang untuk diketengahkan dalam Perdana Satu.

''Kita sedang mencuba pemain ini, sama ada dia layak dipilih atau dapat menerima tawaran bermain dalam Perdana Satu, belum diputuskan.

''Ini bermakna, sesiapa sahaja pemain di barisan serangan termasuk dari pasukan negeri lain masih boleh mencuba nasib dengan Pulau PInang sebelum pendaftaran dengan FAM pada 28 Februari ini,'' tambah beliau.

Yoke Ham menjelaskan, Pulau Pinang tidak memerlukan pemain pertahanan yang sudah ''teguh'' dibarisi bekas pemain Perlis, V. Thinagaran bersama-sama tonggak musim lalu termasuk Moey Kok Hong, Chee Wan Hoe, Abdul Rahim Hassan, K. Nanthakumar serta Fauzi Soh.

Pulau Pinang turut mendapatkan khidmat penjaga gol Kedah, S. Ragesh dan Azlisham Ibrahim dari Selangor untuk mengawasi gawangnya setelah mengetepikan Ahmad Sobri Ismail.

Begitu juga barisan tengah Pulau Pinang yang semakin mantap kerana diperkuatkan bekas pemain Kelantan Woh Kah Loon dan Shahril Arsat serta Asmawi Bakiri dari Selangor.

Dengan penghijrahan pemain handalan dari Perlis, Kedah, Kelantan serta Selangor untuk bersama-sama pemain tempatan bagi membawa cabaran Pulau Pinang musim ini, Yoke Ham berkata, Pulau Pinang sudah mempunyai sebuah pasukan lengkap.

''Dengan barisan pemain ini, kita sudah mempunyai pasukan utama, cuma jika boleh kita mahu menambah seorang penyerang lagi,'' kata beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PhuSJdBY © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan