Ahad, 19 Mac 2017

Aksi kasar pemain bantutkan impian

ARKIB : 18/10/2001
WALAUPUN Pulau Pinang menguasai permainan dan mempamerkan aksi menarik dengan gaya persembahan profesional tetapi aksi kasar pemain Kelantan dilihat membantutkan impian skuad Pulau Mutiara untuk menang.

Pendekatan bertahan Si Kijang terutama di babak kedua menyukarkan Skuad Harimau Kumbang untuk menembusi benteng walaupun beberapa peluang terhidang.

Selain bertahan, pendekatan `psikologi' dengan terjahan kasar pemain Kelantan ternyata membuahkan hasil apabila rentak permainan pemain Pulau Pinang terganggu menyebabkan segala perancangan dan strategi tidak menjadi.

Situasi ini dapat dibuktikan melalui empat kad kuning dilayangkan oleh pengadil perlawanan Noor Azman Nordin kepada pemain Kelantan kurang satu berbanding lima kad kuning ketika liga Malaysia di Stadium Batu Kawan Mei lalu.

Kekasaran demi kekasaran itu menjejaskan mutu permainan kedua-dua pasukan dan sekurang-kurang dua insiden hampir mencetuskan pergaduhan.

``Kekasaran para pemain Kelantan sedikit sebanyak mengugat psikologi sehingga menjejaskan rentak permainan dan keadaan ini menyukarkan pemain,'' kata jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti.

Peluang kedua-dua pasukan masih terbuka untuk melangkah ke separuh akhir walaupun kelebihan milik Kelantan yang akan beraksi di gelanggang sendiri, Sabtu ini.

Tetapi jika situasi malam kelmarin berulang di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, impian Pulau Pinang untuk menyertai empat pasukan berentap di separuh akhir pasti akan berkecai.

``Peluang masih terbuka kerana kedua-dua pasukan masih ada 90 minit, kami akan bermain seperti biasa walaupun kami akan disambut dengan aksi kasar Sabtu ini,'' kata Irfan.

Pulau Pinang yang gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri malam kelmarin hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dituntut supaya bangkit dengan mempamerkan aksi profesional dan tidak terikut-ikut dengan rentak kasar Kelantan tetapi mencipta gaya yang menghiburkan.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4blrrug3l © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan