ARKIB : 16/10/2001
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
PULAU PINANG dan Kelantan
mempunyai peluang yang sama untuk menang dalam perlawanan pertama suku akhir
Piala Malaysia apabila bertemu di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang malam ini.
Bagaimanapun skuad Pulau
Mutiara dilihat mempunyai kelebihan untuk mencatat kemenangan, berdasarkan
prestasi semasa dan kesungguhan pemain untuk melakar sejarah mendakap Piala
Malaysia setelah Piala Liga berada dalam genggaman.
Walaupun Kelantan kecundang
dalam kedua-dua perlawanan peringkat liga, namun pertemuan suku akhir berbeza
dengan setiap pasukan menanam impian besar untuk merobek gawang lawan sebagai
bekalan selesa pada perlawanan kedua Sabtu ini.
``Kemenangan Pulau Pinang ke
atas Kelantan dalam dua perlawanan di peringkat liga tidak boleh di ambil kira
kerana misi dalam suku akhir berbeza dengan setiap pasukan akan bersungguh-sungguh
untuk mencari kemenangan bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
``Menang 1- 0 di gelanggang
sendiri dan 2 - 0 di Kota Bharu bukan tiket mudah untuk Pulau Pinang mencapai
kemenangan jika para pemain gagal menunjukkan prestasi sebenar malam ini,''
kata jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti.
Selain kelebihan bermain di
gelanggang sendiri dengan sorakan gemuruh penyokong, Harimau Kumbang memiliki
kelebihan tersendiri dengan hampir setiap pemain memiliki sentuhan memikat
untuk menggegar jaring lawan.
Situasi ini pasti menyukarkan
para pemain Cik Siti Wan Kembang untuk mengikat pemain Skuad Pulau Mutiara yang
sentiasa berlegar dan mengatur gerak dari pelbagai sudut untuk mencari gol.
Bagaimanapun kebijaksanaan
jurulatih Kelantan, S Raja Gopal mengatur strategi merantai rangkaian tengah
Pulau Pinang dilihat antara ramuan untuk membantutkan barisan serangan skuad
Harimau Kumbang dari menjaringkan gol.
``Walau apa pun strategi
Kelantan, para pemain dituntut supaya fokus kepada permainan dan bergerak sebagai
satu pasukan selain tidak terikut-ikut rentak lawan,'' kata Irfan.
Segala-galanya telah
diperturunkan kepada para pemain, di atas kertas kemenangan milik Pulau Pinang
tetapi aksi `tempang' rangkaian serangan akan mengundang padah dan menyukarkan
apabila bertandang di Kota Bharu, Sabtu.
Hajat Kelantan untuk mencari
kemenangan di Stadium Batu Kawan perlu disekat, agar pertemuan kedua di Stadium
Sultan Mohamad Ke-IV mudah bagi Pulau Pinang dan seterusnya melangkah ke
separuh akhir sebelum `berkira-kira' untuk ke akhir.
``Kita mahu kemenangan di
tempat sendiri sebagai bekalan untuk di bawa ke Kota Bharu tetapi jika
sebaliknya berlaku kita terpaksa menempuh laluan sukar,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bli6AOii
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan