ARKIB : 18/10/2001
WALAUPUN Pulau Pinang menguasai
permainan dan mempamerkan aksi menarik dengan gaya persembahan profesional
tetapi aksi kasar pemain Kelantan dilihat membantutkan impian skuad Pulau
Mutiara untuk menang.
Pendekatan bertahan Si Kijang
terutama di babak kedua menyukarkan Skuad Harimau Kumbang untuk menembusi
benteng walaupun beberapa peluang terhidang.
Selain bertahan, pendekatan
`psikologi' dengan terjahan kasar pemain Kelantan ternyata membuahkan hasil
apabila rentak permainan pemain Pulau Pinang terganggu menyebabkan segala
perancangan dan strategi tidak menjadi.
Situasi ini dapat dibuktikan
melalui empat kad kuning dilayangkan oleh pengadil perlawanan Noor Azman Nordin
kepada pemain Kelantan kurang satu berbanding lima kad kuning ketika liga
Malaysia di Stadium Batu Kawan Mei lalu.
Kekasaran demi kekasaran itu
menjejaskan mutu permainan kedua-dua pasukan dan sekurang-kurang dua insiden
hampir mencetuskan pergaduhan.
``Kekasaran para pemain
Kelantan sedikit sebanyak mengugat psikologi sehingga menjejaskan rentak
permainan dan keadaan ini menyukarkan pemain,'' kata jurulatih Pulau Pinang,
Irfan Bakti.
Peluang kedua-dua pasukan masih
terbuka untuk melangkah ke separuh akhir walaupun kelebihan milik Kelantan yang
akan beraksi di gelanggang sendiri, Sabtu ini.
Tetapi jika situasi malam
kelmarin berulang di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, impian Pulau Pinang untuk
menyertai empat pasukan berentap di separuh akhir pasti akan berkecai.
``Peluang masih terbuka kerana
kedua-dua pasukan masih ada 90 minit, kami akan bermain seperti biasa walaupun
kami akan disambut dengan aksi kasar Sabtu ini,'' kata Irfan.
Pulau Pinang yang gagal
menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri malam kelmarin hanya mampu
mencatat keputusan seri 1-1 dituntut supaya bangkit dengan mempamerkan aksi
profesional dan tidak terikut-ikut dengan rentak kasar Kelantan tetapi mencipta
gaya yang menghiburkan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4blrrug3l
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan