ARKIB : 09/03/2003
PULAU PINANG merampas takhta
bola sepak Liga Perdana Satu daripada Perlis selepas skuad Pulau Mutiara
mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sarawak dalam aksi di Stadium Negeri, Batu
Kawan, semalam.
Perlis yang menguasai carta
teratas liga sejak awal musim, tergelincir ke tangga keempat selepas tewas 3-0
kepada juara musim lalu, Perak yang melonjak ke tangga kedua.
Juara musim 2001, Pulau Pinang
bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Sarawak menerusi Sapian
Wahid pada minit ke-38 tetapi pasukan tuan rumah pantas menyamakan kedudukan
hanya dua minit kemudian menerusi jaringan Zailani Jaafar.
R. Sureshkumar memberikan gol
kemenangan buat Pulau Pinang menerusi jaringan minit ke-73.
Di Stadium Perak, skuad
Seladang memperoleh gol menerusi Khalid Jamlus pada minit pertama, V. Saravanan
(54) dan dan gol sendiri oleh ketua pasukan Perlis, Mohd. Khaironisam
Sahabuddin (82).
Di Stadium Darulaman, Alor
Star, Kedah mencatat kemenangan terbesar dengan membaham Melaka 6-0 untuk
melonjak ke tangga ketiga di atas Perlis.
Amirul Nizam Mahadzir membuka
jaringan pada minit ke-35 dan tiga minit kemudian, Thomas Adel menggandakan
jaringan sebelum G. Shanmugan menutup babak pertama dengan gol ketiga Kedah
minit ke-41.
Zainuddin Mohd. Ariffin terus
menambah derita Melaka dengan jaringan keempat Kedah pada minit ke-57 sebelum
pemain kebangsaan, Liew Kit Kong menyumbat dua gol minit ke-67 dan 83 untuk
meranapkan Melaka.
Johor FC mengotakan janji untuk
mencatat kemenangan pertama dalam Perdana Satu dengan kemenangan 4-1 ke atas
Kelantan di Stadium Pasir Gudang.
Pemain import dari Australia,
Jonathan Ben Angelucci menjaringkan dua gol pada minit ke-12 dan sepakan
penalti minit ke-76.
Dua lagi gol Johor FC
dijaringkan oleh Eddy Helmy Abdul Manan (15) dan Idris Karim (67). Gol tunggal
Kelantan dijaringkan oleh Md. Hardi Ahmad lapan minit sebelum tamat perlawanan.
Juara Piala Malaysia, Selangor
sekadar seri 1-1 dengan Telekom Melaka di Stadium Shah Alam.
Malah, Red Giants harus
berterima kasih kepada Jaafar Salleh yang menjaringkan gol penyamaan pada minit
ke-70 selepas Issac Kuffour meletakkan Telekom Melaka di depan menerusi sepakan
penalti minit ke-24.
SUMBER-rtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ciKGBblx
Tiada ulasan:
Catat Ulasan