ARKIB : 21/07/2005
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
PULAU PINANG - Skuad Pulau
Mutiara mendapat khidmat penjaga gol Sarawak, Kamarulzaman Hassan untuk
mengukuhkan benteng pasukan itu bagi mengharungi saingan Piala Malaysia yang
bermula 6 Ogos depan.
Penyertaan bekas penjaga gawang
Pulau Pinang itu diibaratkan bagai sireh pulang ke gagang apabila sedia menabur
bakti bagi membantu pasukan lamanya bersaing dalam Kumpulan B bersama Negeri
Sembilan, Telekom Melaka dan Kuala Lumpur.
Meskipun, kudrat anak kelahiran
Jasin, Melaka itu turut ditagih oleh Perak, namun, anak muda berusia 26 tahun
itu lebih `senang' untuk bersama dengan rakan-rakan lamanya di Pulau Mutiara.
Bekas penjaga gol kebangsaan yang turun menjalani latihan di Padang Universiti
Sains Malaysia (USM) di Minden, petang kelmarin tampak gembira dan tidak
sabar-sabar untuk membantu skuad Harimau Kumbang bersaing merebut piala
berprestij itu.
``Saya menjanjikan aksi terbaik
bagi membantu Pulau Pinang untuk pergi jauh (merebut Piala Malaysia). Namun
tempat saya dalam pasukan bukan mudah, malah perlu bersaing dengan penjaga gol
sedia ada,'' katanya ketika ditemui, kelmarin.
Pulau Pinang kini menggunakan
khidmat dua penjaga gol, Mohd Fazrul Rodzi dan Sharifuddin Shahrill berikutan
kecederaan berpanjangan Azuan Othman hampir tiga bulan lalu.
Kelibat Kamarulzaman bakal
disaksikan oleh peminat skuad Pulau Mutiara pada perlawanan pertama menentang
Telekom Melaka di Stadium Bandaraya.
Sementara itu, menurut
Jurulatih Penjaga Gol, Noor Mohd. Sultan, penilaian tahap kecergasan dan
persembahan Kamarulzaman perlu dilakukan bagi memastikan tempatnya dalam
kesebelasan utama.
Katanya, penjaga gol muda itu
mempunyai kelebihan menangkap bola tinggi di samping kemahiran mengesan
pergerakan pasukan lawan.
``Selain itu, Kamarulzaman
mempunyai kelebihan daripada aspek fizikal yang tinggi dan tegap memudahkannya
untuk menyaingi pemain lawan,'' katanya.
Dalam pada itu, Kamarulzaman
yang ditanya kemungkinan akan kembali menyarung jersi skuad Pulau Mutiara musim
depan berkata; ``Saya masih mempunyai kontrak bersama Sarawak sehingga akhir
2006. Selepas itu, saya belum memikirkan sama ada untuk terus bersama Sarawak
atau sebaliknya.''
Kamarulzaman yang menganggotai
skuad negara pada tahun 2000 dan 2001 menyertai APulau Pinang selama tiga tahun
bermula 2000 sebelum berubah angin ke Bumi Kenyalang pada musim 2004.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ik0uYOmG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan