Sabtu, 18 Mac 2017

Laluan P. Pinang sukar digugat

ARKIB : 30/08/2001
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
JUARA Perdana Satu, Pulau Pinang berdepan laluan mudah dalam saingan peringkat awal bola sepak Piala Malaysia apabila mendapat lawan kurang mantap selepas berlangsung majlis undian, semalam.

Pasukan Harimau Kumbang diundi dalam kumpulan D bersama-sama pasukan di tangga kelima Perdana Satu, Perlis dan dua pasukan Perdana Dua, Sabah dan JKR Kedah dalam majlis undian pertandingan edisi ke-35 itu yang dilangsungkan di Hotel Mutiara, Kuala Lumpur.

Jika dilihat dari undian itu, kekuatan Pulau Pinang untuk muncul sebagai juara kumpulan sukar digugat dan saingan tiga pencabarnya ialah untuk mengintai tempat selaku naib juara.

Perlawanan pertama Pulau Pinang ialah menentang JKR Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Sementara itu, juara 28 kali, Selangor bakal berdepan laluan getir apabila diundi dalam kumpulan A bersama-sama juara Perdana Satu, Johor FC, naib juara tahun lepas, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Saingan sengit juga bakal disaksikan dalam kumpulan C yang diisi oleh juara tahun lepas, Perak, TNB Kelantan, JKR Kelantan dan naib juara Perdana Satu, Terengganu.

Kumpulan B pula boleh dianggap sebagai `kumpulan maut' yang diisi oleh Sarawak, Kelantan, Pahang dan NS Chempaka yang semuanya boleh dianggap sama kuat.

Piala Malaysia, pertandingan yang bermula sejak 1921 akan membuat sepak mula pada 18 September iaitu sehari selepas majlis penutup Sukan SEA XXI.

Sebanyak 16 pasukan bertanding dengan lima daripadanya - TNB Kelantan, JKR Kelantan, JKR Kedah dan Kuala Lumpur mara dari pusingan play off yang tamat kelmarin.

Baki 12 pasukan layak secara automatik iaitu Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Perlis, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak dari Perdana Satu serta tiga pasukan dari Perdana Dua iaitu juara, Johor FC, Sabah dan NS Chempaka.

Pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan dan akan bermain dalam dua pusingan. Pusingan kedua dijadualkan bermula pada 2 Oktober dan dua pasukan dari setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Perlawanan akhir akan berlangsung pada 3 November.

Piala Malaysia kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila lima pasukan kelab iaitu Johor FC, NS Chempaka, TNB Kelantan, JKR Kelantan dan JKR Kedah layak bertanding.
SUMBE-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bjskvr7u

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan