Ahad, 9 Mei 2021

Penang FC rebah di laman sendiri



SAFAWI meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Bernama

Georgetown: Penang FC akur dengan kehebatan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila mereka kalah di tangan pendahulu Liga Super itu 0-3 pada aksi di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan terus gah di persada liga dengan 30 mata dan merakam kemenangan berganda ke atas skuad Harimau Kumbang pada musim ini.

Bagaimanapun, malang buat Tomas Trucha apabila terpaksa menyaksikan anak buahnya tumbang buat kali kedua berturut-turut selepas tidak tewas dalam sembilan aksi terdahulu.

Penguasaan bola lebih menjadi milik JDT dan selepas 15 minit perlawanan berlangsung, mereka mendahului apabila hantaran jauh Safiq Rahim disambut oleh Safawi Rasid yang kemudiannya menyudahkan hantaran itu untuk gol pertama pelawat.

Penang cuba mengancam gawang JDT menerusi beberapa situasi bola mati namun gagal membuahkan hasil, khususnya pada minit ke-25 yang menyaksikan Farizal Marlias berjaya menafikan percubaan Rafael Vitor untuk menanduk masuk bola di hadapan gawang JDT.

Ketika babak pertama berbaki tiga minit, Bergson da Silva mencetak gol ke-11 pada musim ini apabila bijak memusingkan badan sebelum melepaskan satu rembatan untuk menewaskan Bryan See buat kali kedua.

Dua gol pada babak pertama jelas tidak menyekat 'nafsu' JDT daripada terus melebarkan jurang dan lima minit separuh masa kedua bersambung, Mohamadou Sumareh menjaringkan gol ketiga buat pelawat.

Pada minit ke-77, Penang beroleh gol pertama menerusi Casagrande namun jaringan terbabit tidak dikira sebelum malam tuan rumah bertambah buruk apabila Casagrande dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-88 sebelum Trucha juga dikenakan tindakan sama.Disiarkan pada: Mei 9, 2021 @ 12:33am.1

Sabtu, 8 Mei 2021

Elak hadiahkan penalti kepada JDT

  


LATIFF menuntut rakan sepasukan supaya mengelak melakukan kesilapan dalam kotak penalti pada aksi menentang JDT malam ini.

Elak hadiahkan penalti kepada JDT

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

8 Mei 2021, 11:05 am

PENANG FC perlu memberi perhatian kepada ancaman yang bakal diberikan oleh penyerang import utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva menje­lang pertemuan kedua-dua pasukan pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya malam ini.

Perkara itu diakui oleh pemain pertahanan utama skuad Harimau Kumbang, Abdul Latiff Suhaimi selepas menyaksikan Bergson berjaya mempamerkan prestasi memukau dengan menjaringkan 10 gol dalam liga musim ini.

Kata Latiff, pasukan Harimau Selatan sememangnya memiliki ramai pemain bertaraf bintang dan barisan pemainnya terutama tonggak di posisi pertahan perlu sentiasa berwaspada de­ngan setiap ancaman yang boleh diberikan pasukan lawan.

Kita semua tahu dengan kualiti JDT yang memiliki jentera serangan yang cukup tajam terutama penyerang import mereka, Bergson. Malah, mereka juga turut memiliki pemain muda yang mula mencuri perhatian, Arif Aiman (Hanapi).

Justeru, saya menyeru agar rakan-rakan sepasukan memberikan fokus penuh agar tidak terjerat dengan ancaman yang boleh diberikan oleh pasukan lawan dalam usaha memburu mata penting.

Apa yang penting, saya harap tiada kesilapan mudah dilakukan kerana kita perlu berhati-hati dan tidak agresif sehingga boleh menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan lawan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, pemain berusia 32 tahun itu berharap pasukan dapat menyerap aura penyokong yang hadir dalam memastikan Harimau Kumbang kembali berada di landasan tepat selepas tewas kepada Kuala Lumpur City (KL City) sebelum ini.

Kami perlu anggap pertemuan kali ini sebagai aksi final kerana tiada apa yang mustahil dalam bola sepak dan peluang pasukan untuk melakar keputusan positif tetap ada.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri juga menjadi motivasi buat kami sebelum saingan liga berehat panjang nanti,” katanya.SUMBER-KOSMOONLINE

Ahad, 11 April 2021

Tandukan Casagrande selamatkan maruah Penang FC

| | 12 April 2021




Tandukan pada penghujung babak perlawanan penyerang import Anselmo Arruda da Silva menyelamatkan maruah Penang FC di laman sendiri pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Tandukan pada penghujung babak perlawanan penyerang import Anselmo Arruda da Silva menyelamatkan maruah Penang FC di laman sendiri untuk mengikat Sabah FC 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini.
Keputusan seri itu membolehkan Penang FC kekal di tangga keempat liga berkongsi 15 mata bersama Terengganu FC di kedudukan ketiga selepas lapan perlawanan.
Pada aksi yang berlangsung sengit itu selepas kedua-dua terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Sabah FC berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-52 menerusi rembatan deras pemain kebangsaan Indonesia Saddil Ramdani dari luar kotak penalti.
Bagaimanapun, Penang FC yang tampil cemerlang dengan merekodkan satu kekalahan setakat ini berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-86 apabila Arruda da Silva atau lebih dikenali Casagrande menanduk sepakan sudut pemain gantian Mohammad Amer Azahar untuk mengikat kedudukan.
Keputusan itu juga menyaksikan Sabah FC hanya dibezakan satu mata daripada pasukan kedua tercorot liga Sri Pahang FC yang mengutip lima mata.
Sementara itu dalam aksi Liga Premier, Johor Darul Ta’zim (JDT) II naik ke kedudukan kedua liga meskipun mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Selangor FC 2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Pada masa sama, gol sendiri Amirul Ashraf Ariffin dua minit selepas jaringan pembukaan Adib Abdul Ra’op menyaksikan Perak FC II terlepas peluang mencatat kemenangan ketiga musim ini apabila terikat 1-1 berdepan PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/133131/BERITA/Sukan/Tandukan-Casagrande-selamatkan-maruah-Penang-FC© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf