ARKIB : 04/10/1998
REKOD tanpa kalah Kedah kepada
Pulau Pinang selama 10 tahun akhirnya lebur apabila tewas 1-2 dalam perlawanan
kedua Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Setar malam tadi.
Domi Che Non yang masuk
menggantikan pemain ayam tambatan Pulau Pinang, Riyadh Abbas muncul sebagai
wira skuad Harimau Bintang apabila menjaringkan dua gol untuk memberi
kemenangan kepada pasukannya.
Kekalahan itu sekali gus
memusnahkan harapan skuad Kenari untuk meneruskan cabaran dalam Piala Malaysia
setelah tewas dengan Terengganu 0-3 minggu lalu.
Pulau Pinang sejak awal
permainan mencemaskan gawang gol tuan rumah dengan beberapa gerakan tetapi
tiada penyudah yang baik untuk mencuri gol.
Seawal minit ketiga, S.
Nanthakumar melorongkan bola di hadapan pintu gol Kenari tetapi tidak disambut
oleh pemain Pulau Pinang.
Kedah memperoleh gol pertama
hasil daripada kesilapan penjaga gol Pulau Pinang, Ahmad Sobri Ismail dan Andre
Nascimento tidak melepaskan peluang.
Skuad Harimau Bintang yang
ketinggalan satu gol bermain dalam keadaan tertekan bagaimanapun terus mengasak
gawang Kedah.
Kedah gagal mengambil
kesempatan daripada kepincangan Pulau Pinang yang kehilangan ayam tambatannya,
Riyadh Abbas yang terpaksa dikeluarkan selepas dijatuhkan oleh Roslan Abdul
Rahim.
Pulau Pinang yang juga tidak
menurunkan Merzagua Abderrazak kerana cedera hampir mendapat gol penyamaan pada
minit ke-32 apabila Yong Woon Seang membuat rembatan kencang dari jarak dekat
di hadapan gol Kedah tetapi penjaga gol, S. Ragesh bertindak cemerlang.
Kemasukan Domi Che Non
menggantikan Riyadh Abbas mengubah rentak permainan apabila lima minit sebelum
separuh masa pertama tamat, Pulau Pinang mendapat gol penyamaan.
Sepakan Domi ke gawang kanan
gol Kedah tidak dicabar oleh pertahanan skuad Kenari yang telah membuka ruang
kepada pemain gantian tersebut.
Domi sekali lagi menggegarkan
Stadium Darulaman apabila menanduk masuk bola hantaran G. Shanmugam untuk
mendahului Kenari 2-1 pada minit terakhir separuh masa pertama.
Carlos Roberio hampir
memperoleh gol penyamaan Kedah pada minit ke-50 menerusi tandukan hasil
tendangan percuma Andre Nascimento tetapi Ahmad Sobri menampan bola.
Pertahanan Kedah yang kurang
mantap sekali lagi hampir mengundang padah kepada skuad Kenari pada minit ke-65
apabila G. Shanmugam berjaya melepaskan diri daripada kawalan pemain Kedah.
Tendangan Shanmugam
bagaimanapun berjaya ditahan oleh S. Ragesh tetapi bola yang datang bergolek
semula di hadapannya tersasar keluar apabila ditolak ke gawang gol sekali lagi.
Oleh: NIZAM HAMID
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4OkYD7spJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan