ARKIB : 20/04/1998
Ketiadaan Freeman Selangor
tempang
TERPEGUN... Pemain pertahanan
Selangor, Aizal Lamin hanya mampu melihat kehebatan Merzagua Abderrazak
menimang bola dalam perlawanan bola sepak PErdana Satu di Stadium Bandaraya
Pulau Pinang, kelmarin yang berkesudahan seri 1-1.
KECEDERAAN yang menimpa
perancang utama Selangor, Alexander Freeman disifatkan menjadi punca utama
kepada kegagalan Merah Kuning mengutip tiga mata ketika bertemu Pulau Pinang
dalam Liga Perdana Satu, di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, kelmarin.
Freeman diusung keluar pada
minit ke-52 perlawanan apabila tercedera selepas terbabit merancang gol
pendahuluan pasukannya, melalui tolakan mudah Azman Adnan seminit sebelum itu.
Beliau yang berjaya merebut
bola di luar kawasan penalti tuan rumah, melorongkannya kepada Rusdi Suparman
yang berjaya menewaskan dua benteng Pulau Pinang sebelum menghantarnya ke depan
gawang, untuk disudahkan oleh Azman.
Hakikat itu diakui sendiri oleh
jurulatih Steve Wicks yang menyifatkan Freeman berperanan besar membendung
pergerakan perancang utama Harimau Kumbang, Balla Modou Conde.
''Tuan rumah berjaya mengambil
peluang pada 20 minit terakhir dengan berterusan menyerang untuk mencari gol
penyamaan, manakala Conde mempunyai ruang yang luas untuk bergerak selepas
ketiadaan Freeman,'' katanya selepas perlawanan itu.
Bagaimanapun Wicks berpuas hati
dengan satu mata yang dikutip pasukannya memandangkan Pulau Pinang juga bermain
baik untuk menyajikan permainan yang menghiburkan ribuan penonton.
Namun beliau berasa lebih
gembira sekiranya Merah Kuning berjaya mengutip mata penuh kelmarin kerana pada
pengamatannya tiga mata berhak dibawa pulang anak buahnya.
''Pemain bermain baik, tersusun
dan mengikut segala arahan dengan kita menguasai hampir keseluruhan permainan
melainkan 20 minit akhir perlawanan yang akhirnya menyaksikan Moey Kok Hong
menyamakan kedudukan pada minit ke-78,'' terangnya.
Wicks memuji prestasi Amali Amir
yang pertama kali diturunkan dalam kesebelasan pertama musim ini selain penjaga
gol Azlisham Ibrahim yang berjaya mempamerkan kehebatan seperti yang dipamerkan
pada musim 1995.
''Pemain baru Amali untuk
beraksi di gelanggang yang dipenuhi hampir keseluruhan penyokong tuan rumah,
tetapi dia berjaya membuktikan, manakala Azlisham sudah memperolehi keyakinan
untuk menjaga gawang selepas memanaskan bangku simpanan musim lalu,'' ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JBOGg1U0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan