Jumaat, 29 Julai 2016

Strategi Moey menjadi

ARKIB : 26/03/1998
TINDAKAN berani jurulatih, Moey Yoke Ham melakukan perubahan taktikal pada 25 minit terakhir perlawanan separuh akhir pertama kelayakan Perdana Satu, membolehkan Pulau Pinang menewaskan Kelantan 4-2 di Stadium Bandaraya, kelmarin, YUSWAN YUNUS melaporkan.

Moey menyedari pasukannya berada dalam keadaan bahaya apabila ketinggalan 1-2 kepada skuad Kijang apabila Hashim Mustapha menyumbat gol kedua pasukannya pada minit ke-61.

Dalam suasana yang tertekan akibat cacian daripada penyokong sendiri, Moey melakukan beberapa perubahan yang membabitkan beberapa pemain di barisan hadapan skuad Harimau Kumbang.

Beliau memasukkan Domi Che Non menggantikan bek kiri, Fauzi Soh sebagai usaha memantapkan serangan di samping mengarahkan pemain import Brazil, Fabio Da Silva meninggalkan posisi tengah bagi berganding dengan Merzagua Abderrazak.

''Selain itu stopper, Abdul Rahim Hassan dimasukkan bagi membolehkan pemain serba boleh, Moey Kok Hong membantu barisan serangan,'' katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Ternyata perubahan itu mendatangkan hasil apabila Pulau Pinang berjaya menyumbat tiga gol pada 20 minit terakhir melalui, Chee Wan Hoe (70), Da Silva (84) dan Kok Hong (88), yang juga gol keduanya pada perlawanan itu.

Bagaimanapun Moey mengakui perlawanan kelmarin sebagai agak kasar dan agresif mengakibatkan pengadil Amir Sharifuddin Wong dari Perak, mengeluarkan lapan kad kuning, empat kepada setiap pasukan.

Domi, Kok Hong, Ng Kok Heng dan Yong Woon Seang bagi pihak Pulau Pinang, manakala Alif Rohaimin Azizhan, Ghapor Mohamed, Wong Kah Loon dan Luis Pablo Pozzuto bagi pasukan Kelantan.

Ekoran daripada itu, Moey kehilangan tiga tonggaknya, Kok Hong, Kok Heng dan Woon Seang bagi perlawanan kedua di Kota Bharu, Sabtu ini.

''Saya ingatkan mereka, sekiranya bermain cantik tetapi kalah, tiada faedah. Tetapi sekiranya bermain buruk dan menang, itu menunjukkan kebijaksanaan pasukan,'' kata Moey selepas latihan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4FnJ8EOMJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan