Rabu, 9 November 2016

Thinagaran, Shahril berhijrah ke Pulau Pinang

ARKIB : 25/11/1998
SETELAH barisan serangan diperkuatkan Azman Adnan, benteng pertahanan ''harimau kumbang'' pula akan lebih mantap apabila ketua pasukan Perlis, V. Thinagaran dan pemain tengah Shahril Arsat dari Selangor bersedia untuk ''beralih angin'' ke Pulau Pinang, musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Dr. Ibrahim Saad, memberitahu, selain Thinagaran dan Shahril, beberapa lagi pemain pasukan negeri turut berada dalam senarai pemilihan ''harimau kumbang.''

Namun, kata beliau, penyerang Domi Che Non dan penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail digugurkan berbanding dua pemain, Moey Kok Hong dan Chee Wan Hoe yang ''diikat'' lebih awal bagi membawa cabaran musim depan.

''Selain Azman, pada dasarnya Thinagaran sudah bersetuju untuk mewakili Pulau Pinang musim depan, begitu juga dengan Shahril.

''Pulau Pinang juga sedang meneliti untuk menyerapkan dua pemain Piala Presiden dan tonggak pasukan Piala Emas Raja-Raja Pulau Pinang, Hasnizal dan Hasrinizam Hashim,'' kata beliau.

Kedua-dua adik beradik, Hasnizal dan Hasrinizam dipilih untuk mengikuti latihan skuad ''harimau kumbang'' selepas menunjukkan prestasi cemerlang sewaktu membantu Pulau Pinang menewaskan Kedah 4-0 untuk menjuarai Piala Agong baru-baru ini.

Azman menjadi sandaran terbaik Pulau Pinang yang ketandusan penyerang berkaliber pada musim depan selepas FAP mengambil keputusan menggugurkan Domi.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PW5YNNhv © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan