Sabtu, 24 Disember 2016

Peluang kedua P. Pinang

ARKIB : 07/06/2000
SEORANG petugas sedang memotong rumput padang di Stadium Bukit Kawan, Pulau Pinang yang akan menjadi gelanggang perlawanan akhir bola sepak Piala FA pada 10 Jun ini.

PELUANG kali kedua seharusnya tidak dilepaskan lagi oleh Pulau Pinang yang bakal berdepan dengan Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Negeri di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan pada 10 Jun ini.

Selepas gagal dalam percubaan kali pertama untuk menjulang piala tersebut apabila mengalami kekalahan tipis 0-1 kepada Selangor pada 1997, Pulau Pinang kini mempunyai peluang sekali lagi.

Pastinya, peluang terhidang menyemarakkan semangat Pulau Pinang yang bukan sahaja ''mengidam'' bagi mencipta sejarah meraih Piala FA buat kali pertama tetapi untuk meninggalkan kenangan manis memenanginya di stadium baru bernilai RM104 juta.

Pengurus skuad Pulau Pinang, Datuk Mohd. Zain Omar berkata, kesempatan beraksi dalam perlawanan akhir seharusnya direbut oleh pemain ''harimau kumbang''.

''Jika pemain berjaya mengharungi cabaran sehingga ke perlawanan akhir, kenapa mereka tidak boleh menjuarai Piala FA,'' kata beliau semalam.

Kata beliau, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri perlu menjadi dorongan kepada pemain untuk memastikan Pulau Pinang memenuhi impian untuk menjulang piala tersebut.

''Pemain harus ingat, kemenangan kali ini juga cukup manis kerana inilah perlawanan pertama di gelanggang baru Stadium Negeri di Batu Kawan.

''Tentunya manis memenangi Piala FA buat pertama kali dalam perlawanan bola sepak pertama diadakan di stadium berkenaan, tambahan pula perlawanan akhir,'' tambah beliau.

Bagaimanapun, kata Zain, pemain tidak seharusnya memandang rendah keupayaan Terengganu yang turut mempunyai keinginan sama dengan Pulau Pinang bagi merebut Piala FA.

''Dua pasukan mempunyai satu matlamat, sudah tentu masing- masing akan berusaha sebaik mungkin bagi mencapai cita- cita... jadi Pulau Pinang perlu berwaspada,'' kata beliau.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TkYud9vu © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Disember 2016

Semangat Pulau Pinang mula membara

ARKIB : 24/04/2000
PENCARIAN pertama yang dihasilkan Pulau Pinang menerusi kemenangan sulung 2-1 ke atas Perlis dalam saingan bola sepak Perdana Satu seharusnya menjadi penyemarak kepada pemain skuad 'Harimau Kumbang' untuk terus memungut mata penuh pada perlawanan akan datang.

Selepas menempuh dua perlawanan yang mencatat keputusan seri, 'kempunan' Pulau Pinang berakhir di gelanggang sendiri Stadium Bandaraya selepas diberi tentangan sengit oleh Perlis.

Jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti berkata, beliau lega dengan kemenangan pertama itu setelah pasukan bimbingannya sering kali menghadapi kesukaran untuk mempertahankan kubu setiap kali mendahului lawan.

''Dalam dua saingan Perdana Satu menentang Negeri Sembilan dan Perak, kita gagal menyekat lawan daripada menyamakan kedudukan selepas mendahului mereka,'' kata beliau selepas berakhir perlawanan di antara Pulau Pinang dengan Perlis di stadium berkenaan, kelmarin.

Bagaimanapun, kata beliau, pemain akhirnya memastikan Pulau Pinang memperoleh tiga mata berharga menerusi kemenangan ke atas Perlis.

Sementara itu, jurulatih Perlis, Tajuddin Nor memberitahu, kekalahan tersebut disebabkan kegagalan pemain mengekalkan rentak sebagaimana separuh masa pertama selepas menyambung aksi babak kedua.

''Kita menguasai permainan babak pertama tetapi tertekan menerusi asakan Pulau Pinang yang berjaya mencari dua gol dalam separuh masa kedua.

''Walaupun ketinggalan, Perlis tetap mempamerkan semangat tinggi sehingga berjaya merapatkan jurang menerusi gol minit ke-82,'' tambah beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4TIfLidum © Utusan Melayu (M) Bhd

P. Pinang cipta kemenangan pertama

ARKIB : 23/04/2000
PULAU PINANG memecah kebuntuan apabila mencipta kemenangan sulung dalam Perdana Satu selepas menewaskan Perlis 2-1 di Stadium Bandaraya semalam.

Selepas hanya seri dalam dua saingan sebelum ini, Pulau Pinang yang memberikan aksi hambar dalam separuh pertama bangkit mencipta kemenangan pada saingan babak kedua menerusi jaringan menerusi Ooi hoe Guan pada minit ke-59 dan Fauzi Soh pada minit ke-75.

Sementara Perlis memperoleh jaringan tunggal menerusi pemain gantian, Rushamazi Abd. Hamid pada minit ke-82

Menyedari Pulau Pinang tertekan, Perlis terus mencari kesempatan tetapi sepakan kencang Rozmin Musa sedikit tersasar dari pintu gol Pulau Pinang pada minit ke-28.

Bagaimanapun, Pulau Pinang kembali menyusun rentak dengan memperoleh satu peluang terbaik selepas melancarkan serangan balas tetapi rembatan pemain kebangsaan Ooi Hoe Guan juga tersasar pada minit-minit terakhir separuh masa pertama untuk mengikat kedudukan tanpa jaringan.

Berbeza saingan awal, Pulau Pinang pula memulakan babak kedua dengan serangan bertali arus sehingga mencemaskan Perlis yang memaksa penjaga golnya, Rosman Hussin bekerja keras.

Selepas berhempas pulas, gerakan Pulau Pinang berhasil apabila tolakan R. Suresh Kumar dirembat masuk Ooi Hoe Guan pada minit ke-59.

Pulau Pinang terus melancarkan serangan ke kubu lawan sehingga mengucar-ngacirkan rentak permainan Perlis.

Hasilnya, kesilapan seorang pemain pertahanan Perlis yang gagal menampan bola dengan kemas menyaksikan Fauzi Soh menyambar baik peluang yang terhidang untuk menendang ke penjuru gawang Perlis, mengecewakan Rosman untuk jaringan minit ke-75.

Namun, kelekaaan pemain Pulau Pinang memberi kesempatan kepada Perlis untuk merapatkan jurang menerusi sepakan pemain gantian, Rushamazi Abd. Hamid pada minit ke-82 untuk kedudukan berubah dengan Pulau Pinang mendahului 2-1.

PULAU PINANG: Azlisham Ibrahim, Moey Kok Hong, S. Nanthakumar, Abdul Rahim Hassan, Khairil Zainal Baharom, Wong Kah Loon, Yong Woon Seang (Fauzi Soh), R. Suresh Kumar (Nordin Kamis), Ooi Hoe Guan, Faizal Zainal (Zailani Jaafar), Hasmawi Hassan.

PERLIS: Rosman Hussin, Suhairi Abdul Karim, Mohd. Feriza Ismail, Nazaruddin Mohd. Zain, Mohd. Khairul Nizam Sahabudin Hussain, Mohd. Farouk Ismail, Rozmin Musa, V. Yogeshwaran, G. Shanmugan, S. Paidiyah Rau (Ridzuan Abu Shah), Manzoor Azwira Abdul Wahid (Rushamazi Abd. Hamid).


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TIWY5CCq © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Disember 2016

Pulau Pinang dapat bekalan cukup selesa

ARKIB : 12/04/2000
PULAU Pinang memperoleh bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Perak untuk aksi pusingan kedua apabila beraksi cemerlang menewaskan skuad Seladang 3-1 dalam perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala FA di Stadium Bandaraya, semalam, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Di hadapan penyokong sendiri, Pulau Pinang beraksi cemerlang apabila menjaringkan gol menerusi Hasmawi Hassan pada minit keenam dan 35 serta R. Suresh Kumar (74).

Perak pula yang menurunkan barisan pemain kebangsaan Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Mohd. Nor Derus, Syamsol Saad dan V. Saravanan, hanya mampu menjaringkan gol tunggal menerusi Liew Kit Kong pada minit ke-43.

Kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan aksi cukup meyakinkan tetapi Perak kecewa disebabkan kelalaian pemainnya sendiri.

Tindakan penjaga gol, Tay Seng Kiat keluar daripada gawangnya untuk menyelamatkan satu tendangan Pulau Pinang jelas mengundang padah.

Bola yang gagal ditumbuknya keluar daripada garisan penalti Perak singgah kepada Hasmawi Hassan menyepak masuk ke gawang yang kosong pada minit keenam.

Jaringan penyemarak semangat Pulau Pinang itu menyebabkan Perak terpaksa bertahan menerusi serangan yang bertali arus dilakukan oleh pasukan tuan rumah.

Siri serangan Pulau Pinang akhirnya memberi tekanan kepada pemain Perak yang kerap kali melakukan kesilapan.

Salah faham antara Shahrulnizam Sahat dan penjaga gol, Seng Kiat yang membiarkan tolakan Shamsul Mohd. Saad menyaksikan Hasmawi sekali lagi mencuri peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-35.

Ketinggalan dua jaringan memerah keringat pemain Perak untuk berhempas pulas merapatkan jurang yang terbukti membawa sedikit hasil.

Hantaran tinggi pemain Perak, M. Nagaraja akhirnya ditanduk Kit Kong yang gagal diselamatkan penjaga gol Azlisham Ibrahim pada minit ke-43 untuk menamatkan babak pertama Pulau Pinang mendahului 2-1.

Sebaik babak kedua bermula, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan pantas dengan percubaan menarik.

Namun malang buat Perak kerana terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila K. Nanthakumar yang menjatuhkan pemain lawan diperintah keluar padang oleh pengadil Nik Ahmad Nik Yaakub selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-72.

Ini memudahkan pergerakan Pulau Pinang untuk terus mengasak yang menyaksikan rembatan kencang jarak 25 meter oleh R. Suresh Kumar gagal diselamatkan penjaga gawang, Seng Kiat pada minit ke-74 untuk Pulau Pinang mendahului 3-1.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4TG22nuFl © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 10 Disember 2016

Pulau Pinang terpaksa buat rombakan

ARKIB : 14/10/1999
KEMENANGAN besar 5-0 ke atas Selangor rupa-rupanya memaksa Pulau Pinang Pinang membuat rombakan selepas tiga tonggaknya tidak dapat beraksi menentang Negeri Sembilan dalam kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini, ZAINU'L AZHAR ASH'ARI melaporkan.

Ketiga-tiganya ialah penjaga gawang Azlisham Ibrahim, R. Suresh Kumar dan Asmawi Bakiri yang menjadi 'nadi' penting bagi Pulau Pinang.

Jurulatih Moey Yok Ham memberitahu Azlisham dan Suresh Kumar masih belum sembuh daripada kecederaan, Asmawi pula digantung permainan kerana mengutip dua kad kuning.

Bagaimanapun, kata beliau, Pulau Pinang boleh mengatur gerakan menerusi pemain sedia ada yang boleh mengambil alih posisi ketiga-tiga tonggak tersebut selepas tempat mereka diisi barisan simpanan.

''Sememangnya kita merasakan kehilangan ketiga-tiga pemain ini tetapi Pulau Pinang mempunyai pilihan, lagipun pemain simpanan kita mampu memberikan saingan,'' katanya.

Kata jurulatih tersebut, walaupun Zami Mohd. Noor tidak beraksi kerana kecederaan tetapi kehadiran pemain handalan seperti Azmi Mohamad dan bekas pemain skuad Olimpik negara, Khairun Haled Masrom, Chow Chee Weng dan M. Elanggo tetap memberi cabaran.

Tanpa ketiga-tiga tonggak itu, Pulau Pinang yang sebelum ini terpaksa merehatkan V. Thinagaran disebabkan kecederaan berpanjangan dijangka menurunkan semula Zaidi Mat Ail, K. Nanthakumar dan Wong Kah Loon.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4SReR9Yld © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 9 Disember 2016

P. Pinang tetap risau hadapi Selangor

ARKIB : 07/10/1999
BIARPUN gelaran penyerang berbisa kini milik Pulau Pinang, skuad ''Harimau Kumbang'' masih menghormati Selangor yang dirasa cukup mengancam dengan kehadiran penyokong setianya untuk menggegar Stadium Bandaraya, Sabtu ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'AR.

Sehubungan itu, jurulatih Moey Yok Ham mengharapkan lebih ramai peminat Pulau Pinang memberikan sokongan padu kepada barisan ''Harimau Kumbang'' yang akan menentang Selangor di gelanggang sendiri.

''Senjata penting Selangor ialah sokongan padu penyokong setianya yang kini kembali mengikuti ke mana sahaja pasukan mereka bermain selepas Red giants selaku pasukan Perdana Dua layak beraksi ke Piala Malaysia .

''Selain daripada itu, kedudukan di antara Pulau Pinang dengan Selangor agak seimbang walaupun kita memiliki Azman yang muncul penjaring terbanyak Perdana Satu,'' tambah beliau.

Kata Moey, Pulau Pinang membayangkan bahawa Azman mungkin agak sukar untuk menghadapi Selangor kerana pasukan lamanya sudah pasti mengetahui sedikit banyak rahsia pemain itu.

''Dengan pasukan lain, mungkin mudah sedikit bagi Azman tetapi dengan red giants...pasti ramai (pemain Selangor) yang sudah masak dengan corak permainannya kerana penyerang ini pernah mewakili Selangor,'' kata Moey.

Bagaimanapun, kata jurulatih berkenaan, Pulau Pinang tetap berkeyakinan dengan kemampuan Azman yang dijangka dapat berbuat sesuatu apabila terdesak untuk mencari jaringan.

Di samping itu, kata Moey, pemain lain tidak seharusnya terlalu mengharapkan Azman, malah mereka sendiri perlu memberikan aksi memberangsangkan bagi membantu Pulau Pinang mengecapi kejayaan.

''Jangan terlalu mengharapkan Azman kerana pemain lain juga berupaya untuk bermain dengan baik sebagai sebuah pasukan,'' kata beliau.

Moey berkata, beliau akan membuat sedikit rombakan dalam menghadapi Selangor disebabkan masalah kecederaan dihadapi sewaktu menentang Perlis Sabtu lalu.

Dalam perlawanan menentang Perlis di Stadium Utama, Kangar, Pulau Pinang hanya membawa pulang satu mata apabila tewas menerusi sepakan penalti 6-7 selepas kedudukan masa permainan sebenar terikat 1-1.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SOh7VvzP © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 8 Disember 2016

16 pemain Harimau Kumbang musim 2016 kekal

DISEMBER 2016
WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
6 DISEMBER 2016
16 pemain Harimau Kumbang musim 2016 kekal
16 pemain Harimau Kumbang musim 2016 kekal Lobo (kanan) antara pertahanan utama Pulau Pinang sejak tahun 2015 yang kekal pada musim hadapan bersama pasukan. -Foto ZAMZURI BAKAR
SEBANYAK 16 pemain pada musim ini dikekalkan oleh Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2017.

Memetik laman web rasminya, pemain-pemain tersebut bersetuju untuk terus bersama Harimau Kumbang termasuk pertahanan import, Reinaldo Lobo yang merupakan tonggak utama pasukan sebelum ini.

Manakala tiga lagi import itu iaitu ketua pasukan,Matias Cordoba, Rantin Martin dan Jeoung Seouk tidak lagi bersama Pulau Pinang.

15 lagi pemain yang kekal adalah Elias Sulaiman, Faizat Ghazali, Failee Ghazali, Darwira Sazan, Syukur Saidin, Abdul Qayyum, Redzuan Suhaidi, Sani Anuar Kamsani, Syamer Kutty Abba, S Kumaahran, Jafri Firdaus Chew, Azrul Ahmad, Mafry Balang, Rafiuddin Roddin dan Faiz Subri.

Tambah FAP, proses pemilihan baharu pada fasa terakhir dan akan diumumkan selepas semua perkara membabitkan kontrak selesai.

"Pihak pengurusan akan mengumumkan pemain-pemain baharu dalam masa terdekat setelah rundingan kontrak dan pemeriksaan kesihatan selesai," katanya.

Pengumuman itu sedikit-sebanyak meredakan kebimbangan penyokong Pulau Pinang mengenai persiapan pasukan selepas pelantikan bekas pemain Manchester United, Ashley Westwood sebagai pengendali baharu Pulau Pinang bagi musim 2017

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 6 DISEMBER 2016