Isnin, 8 Ogos 2016

P. Pinang aibkan Sabah

PULAU PINANG mencipta kemenangan kedua apabila menewaskan Sabah 1-0 dalam perlawnan bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Setelah garang dalam perlawanan pembukaan menerusi jaringan 3-0 ke atas Negeri Sembilan, Pulau Pinang terpaksa menunggu sehingga minit ke-80 untuk memperolehi jaringan tunggal menerusi Balla Modou Conde yang sekali gus melengkapkan jumlah enam mata untuk skuad Harima Kumbang itu.

Sabah pula terpaksa menanggung aib apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut dibelasah Pahang 0-3 di Stadium Likas, dalam perlawanan yang lalu.

Tanpa gerakan merbahaya, persembahan hambar menjadikan kedua-dua pasukan terlalu berhati-hati mengatur gerakan sebaik bermula babak pertama.

Begitu juga dengan pasukan tuan rumah, yang melepaskan satu peluang keemasan apabila sepakan kencang Balla Modou Conde menyaksikan bola muntah daripada dakapan penjaga gol, Khairul Azman Mohamad.

Bagaimanapun penyerang Pulau Pinang, Merzagua Abderrazak yang berada di depan gawang Sabah lambat menyambar peluang pada minit ke-29.

Permulaan separuh masa kedua penuh dengan adegan lebih tegang menerusi kekasaran yang dipamerkan pemain kedua-dua pasukan.

Dengan pergerakan Pulau Pinang masih tersekat, Sabah kembali menguasai rentak permainan sepanjang 21 minit babak kedua berlangsung.

Peluang keemasan terhidang apabila Sabah memperolehi tendangan percuma tetapi sepakan cantik Yap Wai Loon dari jarak 30 meter ditepis penjaga gol, Ahmad Sobri pada minit ke-73.

Aksi berbalas serangan kembali tersaji untuk giliran pemain gantian Pulau Pinang Ooi Hoe Guan membuat satu sepakan cantik yang sekadar melewati pintu gol pasukan pelawat seminit kemudian.

Akhirnya kemarau gol diatasi Pulau Pinang apabila hantara Merzagua Abderrazak di tanduk masuk Balla Conde untuk jaringan minit ke-80.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4GjSlFOcW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan