ARKIB : 20/04/2011
PEMAIN Harimau Muda B, Muhamad Farizzuan Azhar (kiri) menghalang pemain
Pulau Pinang, S. Kumaresan pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Negeri Batu
Kawan, Pulau Pinang, kelmarin.
BUKIT MERTAJAM - Pulau Pinang tidak mahu menoleh ke belakang selepas berjaya
mengutip mata pertama dalam Liga Perdana selepas 12 perlawanan apabila seri
tanpa jaringan dengan Harimau Muda B di Stadium Negeri Batu Kawan, kelmarin.
Pengendalinya, Abdul Rahim Hassan berkata, satu mata itu amat berharga
untuk menjadi pemangkin semangat kepada pasukannya untuk terus mengutip mata
pada perlawanan seterusnya.
Menurut Rahim, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan pemain
terutama beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden, yang mengekang asakan
bertali arus pasukan pelawat.
"Biarpun gagal menjaringkan gol, saya bersyukur kerana kami akhirnya
dapat satu mata selepas mempersia-siakan banyak peluang sebelum ini apabila
bolos 30 gol dan hanya mampu mendapat tujuh gol.
"Jadi pemain harus mengekalkan prestasi pada perlawanan akan datang
terutama pada Jumaat ini menentang Pos Malaysia di tempat sendiri,"
katanya.
Tambah Rahim, pemain sudah tiada masa untuk berehat tetapi harus
menumpukan perhatian serta bekerja keras memperbaiki kelemahan.
Jelasnya, antara kelemahan dalam pasukan adalah jentera serangan yang
tumpul dan tidak kreatif mencari gol, jadi ia perlu diatasi segera.
Selain itu katanya, pihak pengurusan juga akan mencari beberapa pemain
muda berpotensi bagi mengisi kekosongan beberapa posisi ekoran masalah kecederaan
beberapa pemain utama.
"Dalam perlawanan semalam dua pemain kami digantung perlawanan
manakala beberapa lagi cedera, jadi saya terpaksa menggantikan mereka dengan
pemain skuad Piala Presiden.
"Saya gembira kerana mereka memberikan persembahan yang mantap.
"Saya juga akan beri peluang kepada pemain muda ini untuk tonjolkan
kelebihan mereka dan berharap mereka tak takut bersaing dengan pemain yang
lebih berpengalaman dalam saingan liga ini," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5e6O843xC
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan