Isnin, 7 November 2016

Pulau Pinang berjaya pikat hati Azman

ARKIB : 15/11/1998
PULAU Pinang akan memikat pemain penyerang sensasi Selangor, Azman Adnan besama-sama beberapa pemain dari Johor dan Kelantan untuk menyarung jersi Harimau Kumbang bagi membawa cabaran pada Liga Perdana musim depan, lapor ZULKIFLI ABDULLAH.

Selain Azman yang sudah digugurkan dari skuad Selangor, bekas penyerang kebangsaan itu dijangka akan berganding dengan beberapa pemain 'ternama' di posisi bahagian tengah dan penyerang berikutan ketiadaan tiga pemain import nanti.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Dr. Ibrahim Saad yakin, skuad Pulau Pinang akan berwajah baru dan menjadi pasukan terkuat untuk mengharungi cabaran hebat dalam liga itu yang bermula Mac tahun depan.

Beliau yakin dapat memikat Azman yang sudah pun menyatakan persetujuan untuk mewakili Pulau Pinang apatah lagi selepas kontraknya tidak lagi disambung skuad ''Red Giants.''

Dr. Ibrahim begitu optimistik mendapatkan khidmat Azman biar pun pernah menimbulkan kontroversi antara Negeri Sembilan dengan Selangor pada musim lalu.

Pada waktu itu, Azman yang mulanya dijadualkan menandatangani kontrak dengan Negeri Sembilan tiba-tiba mengubah fikiran sebaliknya mengikat kontrak dengan Selangor.

''Azman akan menjadi jentera penyerang utama dengan dibantu oleh beberapa pemain lain dari Kelantan dan Johor untuk mengisi kekosongan pemain import yang tidak lagi dibenarkan beraksi pada musim depan,'' katanya di Pulau Pinang semalam.

Pulau Pinang kini mempunyai tiga pemain import, Balla Modou Conde (Guinea), Merzagua Abderrazzak (Maghribi) dan Riyad Abbbas (Iraq).

Beliau juga membayangkan hasrat untuk mencari penjaga gol lain bagi menjaga gawang pasukan juara Liga Perdana Satu itu yang kini menjadi tanggungjawab bekas penjaga gol kebangsaan, Ahmad Sobri Ismail.

Dengan rombakan itu katanya, FAP akan menggugurkan tujuh pemain termasuk beberapa pemain utama dan simpanan kerana gagal menunjukkan prestasi membanggakan ketika beraksi pada musim ini.

Menurut Dr. Ibrahim, dua pemain berpotensi dari skuad Piala Presiden akan diserap dalam pasukan Liga Perdana musim depan untuk membawa cabaran hebat dan usaha untuk mempertahankan gelaran juara liga.

''FAP akan mengeluarkan surat tawaran kepada para pemain tempatan untuk terus mewakili pasukan Pulau Pinang atau digugurkan daripada skuad negeri pada Isnin ini,'' tambah beliau.

Katanya, FAP juga mengekalkan khidmat jurulatihnya, Moey Yok Ham dan melantik Mohamad Bakar sebagai penasihat teknikal tetap dalam persatuan itu.

Dr. Ibrahim merasa bangga atas kejayaan Pulau Pinang yang berjaya membolot beberapa kejuaraan pada tahun ini iaitu selain Piala Liga Perdana Satu turut menjuarai Piala Agong dan Piala Emas Raja-Raja.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PJsPCZlP © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 6 November 2016

Nasib P. Pinang seperti telur di hujung tanduk

ARKIB : 08/11/1998
SAINGAN terakhir Pulau Pinang bagi peringkat kumpulan memberikan kemenangan kepada skuad Harimau Kumbang yang menewaskan Terengganu 1-0 di Stadium Bandaraya semalam.

Namun jaringan tunggal Moey Kok Hong pada minit ke-86 masih menyukarkan Pulau Pinang untuk mara ke separuh akhir selepas hanya memungut 13 mata sedangkan perlawanan malam tadi adalah yang terakhir bagi tuan rumah.

Sebaliknya kekalahan ini menangguhkan hajat juara Perdana Dua, Terengganu yang terpaksa berdepan satu lagi perlawanan Sabtu ini bertemu Negeri Sembilan sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Bagaimanapun saingan terdekatnya, Negeri Sembilan sudahpun mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Paroi pada perlawanan yang lain.

Tiupan wisel tanda bermula babak pertama daripada pengadil, Nik Ahmad Yaakob seolah-olah membakar semangat Pulau Pinang yang begitu terdesak mencari kemenangan buat mencerahkan laluan ke separuh akhir.

Nasib tidak menyebelahi tuan rumah apabila sepakan lambung Riyadh Abbas sekadar singgah di palang gol pelawat seawal minit ketiga.

Perlawanan semakin rancak dalam separuh masa kedua tetapi tindakan pemain Terengganu Wan Ahmad Redzuan mengasari lawan memaksa pengadil melayangkan dua kad kuning kepadanya sekali gus menjejaskan corak pasukan pelawat.

Walaupun beraksi 10 pemain, Terengganu tetap kebal sehingga menyukarkan Pulau Pinang mencari jaringan termasuk rembatan kencang Ng Kok Heng dari jarak 25 meter mampu ditepis penjaga gol Zubir Ibrahim pada minit ke-48.

Setelah berhempas pulas Pulau Pinang memperoleh jaringan apabila hantaran Merzagua Abderazzak disudahi dengan tandukan masuk Moey Kok Hong pada minit ke-86.

P. PINANG: Ahmad Sobri Ismail, Moey Kok Hong, Chee Wan Hoe, Abdul Rahim Hassan, S. Nanthakumar, Yong Woon Seang, Ng Kok Heng (R. Sureskumar), Balla Modou Conde, Riyadh Abbas, Domi Che Non (Ooi Hoe Guan), Merzaggua Abderrazak.

TERENGGANU: Zubir Ibrahim, Azman Ismail, Anuar Jusoh, Syamsol Saad, Badrul Afzan (Baharuddin Ali), Jean Nyima, Rosdi Talib, Mohd. Noor Derus (Rosadhi Wahab), Seidu Issifu, Samuel Chebli, Wan Ahmad Redzuan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PF1EuhDv © Utusan Melayu (M) Bhd

Juara Liga kini tertekan

ARKIB : 04/11/1998
Juara Liga kini tertekan
KEDUDUKAN juara Perdana Satu, Pulau Pinang ibarat nyawa di hujung pedang biarpun mudah menjinakkan Kuala Lumpur 3-1 dalam perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras malam tadi.

Tiga gol menerusi Merzagua Abderazzak (m-21), Riyadh Abbas (m-30) dan G. Shanmugam (m-48) belum lagi menjamin kedudukan Pulau Pinang selesa ke separuh akhir ketika saingan terdekat Negeri Sembilan menewaskan Kedah 3-2 di Stadium Darulaman.

Pulau Pinang sekadar mengutip 10 mata berbaki satu perlawanan manakala Negeri Sembilan hasil kemenangan ke atas Kedah mengutip 13 mata berkongsi dengan Terengganu yang tidak beraksi tetapi memiliki kelebihan dua permainan.

Kini skuad Pulau Mutiara perlu menewaskan Terengganu dalam perlawanan terakhir di gelanggang sendiri sambil mengharapkan Negeri Sembilan turut tewas dalam perlawanan yang lain.

Buat Kuala Lumpur turut berdepan nasib yang sama dengan Pulau Pinang mengharapkan dua perlawanan lagi bakal memihak kepada mereka untuk mencipta kemenangan.

Hujan lebat yang turun sebelum perlawanan bermula langsung tidak menjejaskan rentak permainan rancak kedua-dua pasukan.

Kuala Lumpur mendapat peluang mencemaskan benteng lawan namun Mior Nor Shamsul sekadar melepaskan rembatan liar tidak menepati sasaran pada minit ke-15.

Ancaman berterusan mengancam pertahanan pelawat yang dikemudi oleh Balla Modou Conde, larian deras G. Muthu mengelecek beberapa pemain lawan namun sepakannya sekadar melintasi depan pintu gol.

Pulau Pinang melakukan serangan pantas Yong Woon Seang membuat hantaran cantik tepat ke Merzagua yang terlebih dahulu mengelecek pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Azmin Azram pada minit ke-21.

Belumpun sempat skuad wargakota mengatur gerakan mencari gol merapatkan jurang kekebalan Azmin tercabar lagi.

Giliran Riyadh Abbas meledakkan rembatan cantik dari luar kotak penalti melihat bola terus menerjah jaring dan gagal diselamatkan oleh Azmin pada minit ke-30.

Tiba minit babak kedua bermula Pulau Pinang memperkukuhkan kedudukan apabila G. Shanmugam tidak mensia-siakan hantaran lambung Merzagua untuk menyepak masuk menewaskan Azmin buat kali ketiga.

Pada minit ke-54, Kuala Lumpur bangkit merapatkan jurang apabila bekas pemain skuad Olimpik 2000, Azmir Nor Hakim menolak mudah gol pertama menewaskan Ahmad Sabri Ismail.

Oleh: AMRAN MULUP

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4PDOLC5E5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 5 November 2016

FAP tidak bercadang pikat Azman

ARKIB : 13/10/1998
PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) belum bercadang ''memikat'' mana-mana tonggak handalan tempatan termasuk Azman Adnan yang menjadi rebutan kebanyakan pasukan negeri selepas berakhir khidmat pemain import dalam Liga Malaysia, musim depan, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan khidmat pemain import tidak boleh digunakan pada tahun depan bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh persatuan-persatuan bola sepak negeri berikutan kegawatan ekonomi, FAP masih belum mengambil sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad, memberitahu, pihaknya belum memberi kata putus sama ada mahu mendapatkan khidmat pemain handalan seperti Azman Adnan bagi menggantikan penyerang importnya.

Pulau Pinang kini mempunyai tiga pemain import, Balla Modou Conde (Guinea), Merzagua Abderrazzak (Maghribi) dan Riyad Abbas (Iraq).

''Biarkan negeri lain memburu Azman kerana kita buat masa ini mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada persaingan merebut Piala Malaysia.

''Ini bukannya bermakna Pulau Pinang langsung tidak mahukan pemain handalan seperti Azman, cuma buat masa ini kita belum memikirkannya lagi,'' kata beliau ketika dihubungi semalam.

Azman yang sebelum ini begitu sukar untuk direbut beberapa pasukan kerana tidak dilepaskan oleh Selangor, kini ''bebas'' selepas kontraknya tidak lagi disambung skuad ''Red Giants.''

Perebutan mendapatkan Azman pernah menimbulkan kontroversi antara Negeri Sembilan dengan Selangor pada musim lalu.

Pada waktu, Azman yang mulanya dijadualkan menandatangani kontrak dengan Negeri Sembilan tiba-tiba mengubah fikiran sebaliknya mengikat kontrak dengan Selangor.

Kehadiran Azman bagaimanapun gagal membantu Selangor untuk merebut kejuaraan liga. Malah Selangor gagal menempatkan diri dalam persaingan Piala Malaysia.

Selangor yang pernah menjuarai Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut sejak 1995, akhirnya mengambil keputusan drastik dengan menggugurkan Azman bersama-sama Shahril Arsat, Azlisham Ibrahim, Asmawi Bakiri, K. Gunalan, Amali Amir, Mohamad Gadaafi Mohd Karim dan Hairil Zamri Rashid.

''Begitu juga lain-lain pemain (Selangor), FAP masih belum membuat sebarang keputusan walaupun terdapat pasukan negeri sedang bersaing merebut mereka,'' kata beliau.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4P6gunEPu © Utusan Melayu (M) Bhd

Woon Seang kini bersih

ARKIB : 30/10/1998
PEMAIN pertahanan Pulau Pinang, Yong Woon Seang dibersihkan daripada sebarang salah laku sewaktu perlawanan Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan pada Sabtu lepas dan bebas bermain pada perlawanan seterusnya Sabtu ini.

Lembaga Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan bahawa pengadil Awaluddin Hassan melakukan kesilapan ketika melayangkan kad merah ke atas Woon Seang dan oleh itu Woon Seang yang diarah keluar padang adalah mangsa kesilapan pengadil dalam perlawanan yang berkesudahan dengan kekalahan Pulau Pinang 1-4.

Mesyuarat dua jam di Wisma FAM di Kelana Jaya yang dipengerusikan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman itu mendapati kesilapan pengadil ketika melayangkan kad merah ke atas Woon Seang itu adalah berpunca daripada ''kesilapan identiti''.

Abdul Aziz berkata berdasarkan kepada hujah-hujah daripada kedua-dua pihak dan setelah meneliti perlawanan itu menerusi rakaman video, FAM mengambil keputusan membatalkan kad merah itu dan membenarnya turun ke padang pada perlawanan berikut di mana Pulau Pinang akan menentang Kedah di Stadium Bandaraya Sabtu ini.

''FAM juga merujukkan kes ini kepada FIFA sebelum membuat keputusan...ini disebabkan kesilapan identiti,'' katanya.

Pada perlawanan minggu lepas itu, Woon Seang diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning keduanya pada minit ke-44. Dia dilayangkan kad kuning pertama pada minitg ke-35.

Segala-galanya bermula apabila pemain pertahanan Negeri Sembilan, A Ganeson melakukan terjahan keras hingga menjatuhkan ketua pasukan Pulau Pinang Balla Conde dan bola terkeluar daripada kawasan permainan tetapi Awaluddin tidak meniup wisel.

Sebaliknya, dia berhenti untuk melihat keadaan Conde dan kesempatan itu segera digunakan Negeri Sembilan untuk membuat lontaran ke dalam.

Ini menimbulkan kemarahan Woong Seang dan rakan sepasukannya Moey Kok Hong yang meluru ke arah Ganeson tanpa merujukkan perkara itu kepada pengadil.

Permainan terpaksa dihentikan kira-kira lima minit apabila pengadil melayangkan kad kuning kepada Woon Seang dan Ganeson selepas berunding dengan pembantunya.

Abdul Aziz berkata FAM, bagaimanapun menolak permohonan Pulau Pinang agar diadakan perlawanan semula dan sehubungan itu keputusan perlawanan kekal.

Namun demikian, Pulau Pinang terus menderita apabila jurulatih Moey Yoke Ham dan pegawai perubatan Ahamad Rahmat digantung satu perlawanan setelah kedua-duanya didapati masuk ke dalam padang tanpa kebenaran.

Sementara itu Abdul Aziz berkata nasib pengadil dan pembantunya G. Arumugam akan ditentukan Jawatankuasa Pengadil yang akan bersidang sedikit masa lagi.
sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4P8j5

Selasa, 1 November 2016

Harimau Kumbang kena sengat

ARKIB : 07/10/1998
HANYA tiga saingan menghentikan langkah bergaya Pulau Pinang apabila tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur dalam perlawanan Kumpulan A, Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Selepas mencipta dua kemenangan, menang besar 4-1 ke atas Negeri Sembilan dan menewaskan Kedah 2-1, Pulau Pinang gagal mencipta jaringan berterusan kerana kelekaan pemain sendiri.

Agak menyedihkan juara liga itu tewas di gelanggang sendiri, di hadapan 5,000 penonton yang menyaksikan S. Paidiyah Rau melenyapkan harapan skuad Harimau Kumbang untuk mengutip mata penuh hasil jaringan pada minit ke-55.

Padang yang licin akibat hujan menyukarkan kedua-dua pasukan untuk melakukan gerakan cantik bagi mencari jaringan.

Tidak ada percubaan menarik dapat dilakukan oleh Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sebaik pengadil, Jamil Zakaria meniupkan wisel tanda permulaan babak pertama.

Sikap pemain Pulau Pinang yang terlalu bergantung kepada Merzagua Abderrazzak sering kali membantutkan serangan skuad Harimau Kumbang itu, yang sering melakukan hantaran tidak menentu.

Selama 30 minit berlangsung, Pulau Pinang masih gagal menembusi benteng Kuala Lumpur untuk memudahkan skuad warga kota itu bertindak balas.

Sebaliknya, ketumpulan barisan penyerang Kuala Lumpur yang diterajui Meor Nor Samsul dan Paidiyah Rau melegakan penjaga gol Harimau Kumbang, Ahmad Sobri Ismail.

Hanya seminit sebelum tirai separuh masa pertama ditutup, Domi Che Non memperoleh peluang terbaik tetapi rembatan kencangnya melepasi palang gol Pulau Pinang untuk kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Separuh masa kedua mengundang bahaya buat Kuala Lumpur apabila tandukan Balla Modou Conde disudahi dengan tendangan Merzagua , tetapi penjaga gol Azmin Azram Aziz sempat menepis percubaan minit ke-51.

Di sebalik keghairahan Pulau Pinang, tanpa disangka Kuala Lumpur mengatur gerakan balas yang memerangkap benteng pertahanan skuad Harimau Kubdang.

Hantaran pemain tengah, Azlan Meri ke dalam kotak penalti Pulau Pinang, menyaksikan beberapa pemain pertahanan pasukan tuan rumah melakukan kesilapan sehingga memudahkan Paidiyah Rau melakukan tendangan kencang menewaskan penjaga gol Ahmad Sobri pada minit ke-55.

Ketinggalan satu jaringan membangkitkan semangat Pulau Pinang untuk mencari gol, tetapi masih gagal meskipun pertahanan Kuala Lumpur diajak berhempas pulas.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4OlF5NEPS © Utusan Melayu (M) Bhd

Domi lebur rekod Kedah

ARKIB : 04/10/1998

REKOD tanpa kalah Kedah kepada Pulau Pinang selama 10 tahun akhirnya lebur apabila tewas 1-2 dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Setar malam tadi.

Domi Che Non yang masuk menggantikan pemain ayam tambatan Pulau Pinang, Riyadh Abbas muncul sebagai wira skuad Harimau Bintang apabila menjaringkan dua gol untuk memberi kemenangan kepada pasukannya.

Kekalahan itu sekali gus memusnahkan harapan skuad Kenari untuk meneruskan cabaran dalam Piala Malaysia setelah tewas dengan Terengganu 0-3 minggu lalu.

Pulau Pinang sejak awal permainan mencemaskan gawang gol tuan rumah dengan beberapa gerakan tetapi tiada penyudah yang baik untuk mencuri gol.

Seawal minit ketiga, S. Nanthakumar melorongkan bola di hadapan pintu gol Kenari tetapi tidak disambut oleh pemain Pulau Pinang.

Kedah memperoleh gol pertama hasil daripada kesilapan penjaga gol Pulau Pinang, Ahmad Sobri Ismail dan Andre Nascimento tidak melepaskan peluang.

Skuad Harimau Bintang yang ketinggalan satu gol bermain dalam keadaan tertekan bagaimanapun terus mengasak gawang Kedah.

Kedah gagal mengambil kesempatan daripada kepincangan Pulau Pinang yang kehilangan ayam tambatannya, Riyadh Abbas yang terpaksa dikeluarkan selepas dijatuhkan oleh Roslan Abdul Rahim.

Pulau Pinang yang juga tidak menurunkan Merzagua Abderrazak kerana cedera hampir mendapat gol penyamaan pada minit ke-32 apabila Yong Woon Seang membuat rembatan kencang dari jarak dekat di hadapan gol Kedah tetapi penjaga gol, S. Ragesh bertindak cemerlang.

Kemasukan Domi Che Non menggantikan Riyadh Abbas mengubah rentak permainan apabila lima minit sebelum separuh masa pertama tamat, Pulau Pinang mendapat gol penyamaan.

Sepakan Domi ke gawang kanan gol Kedah tidak dicabar oleh pertahanan skuad Kenari yang telah membuka ruang kepada pemain gantian tersebut.

Domi sekali lagi menggegarkan Stadium Darulaman apabila menanduk masuk bola hantaran G. Shanmugam untuk mendahului Kenari 2-1 pada minit terakhir separuh masa pertama.

Carlos Roberio hampir memperoleh gol penyamaan Kedah pada minit ke-50 menerusi tandukan hasil tendangan percuma Andre Nascimento tetapi Ahmad Sobri menampan bola.

Pertahanan Kedah yang kurang mantap sekali lagi hampir mengundang padah kepada skuad Kenari pada minit ke-65 apabila G. Shanmugam berjaya melepaskan diri daripada kawalan pemain Kedah.

Tendangan Shanmugam bagaimanapun berjaya ditahan oleh S. Ragesh tetapi bola yang datang bergolek semula di hadapannya tersasar keluar apabila ditolak ke gawang gol sekali lagi.

Oleh: NIZAM HAMID

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4OkYD7spJ © Utusan Melayu (M) Bhd