ARKIB : 30/10/1998
PEMAIN pertahanan Pulau Pinang,
Yong Woon Seang dibersihkan daripada sebarang salah laku sewaktu perlawanan
Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan pada Sabtu lepas dan bebas bermain
pada perlawanan seterusnya Sabtu ini.
Lembaga Disiplin Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) memutuskan bahawa pengadil Awaluddin Hassan melakukan
kesilapan ketika melayangkan kad merah ke atas Woon Seang dan oleh itu Woon
Seang yang diarah keluar padang adalah mangsa kesilapan pengadil dalam
perlawanan yang berkesudahan dengan kekalahan Pulau Pinang 1-4.
Mesyuarat dua jam di Wisma FAM
di Kelana Jaya yang dipengerusikan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman itu mendapati
kesilapan pengadil ketika melayangkan kad merah ke atas Woon Seang itu adalah
berpunca daripada ''kesilapan identiti''.
Abdul Aziz berkata berdasarkan
kepada hujah-hujah daripada kedua-dua pihak dan setelah meneliti perlawanan itu
menerusi rakaman video, FAM mengambil keputusan membatalkan kad merah itu dan
membenarnya turun ke padang pada perlawanan berikut di mana Pulau Pinang akan
menentang Kedah di Stadium Bandaraya Sabtu ini.
''FAM juga merujukkan kes ini
kepada FIFA sebelum membuat keputusan...ini disebabkan kesilapan identiti,''
katanya.
Pada perlawanan minggu lepas
itu, Woon Seang diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning keduanya
pada minit ke-44. Dia dilayangkan kad kuning pertama pada minitg ke-35.
Segala-galanya bermula apabila
pemain pertahanan Negeri Sembilan, A Ganeson melakukan terjahan keras hingga
menjatuhkan ketua pasukan Pulau Pinang Balla Conde dan bola terkeluar daripada
kawasan permainan tetapi Awaluddin tidak meniup wisel.
Sebaliknya, dia berhenti untuk
melihat keadaan Conde dan kesempatan itu segera digunakan Negeri Sembilan untuk
membuat lontaran ke dalam.
Ini menimbulkan kemarahan Woong
Seang dan rakan sepasukannya Moey Kok Hong yang meluru ke arah Ganeson tanpa
merujukkan perkara itu kepada pengadil.
Permainan terpaksa dihentikan
kira-kira lima minit apabila pengadil melayangkan kad kuning kepada Woon Seang
dan Ganeson selepas berunding dengan pembantunya.
Abdul Aziz berkata FAM,
bagaimanapun menolak permohonan Pulau Pinang agar diadakan perlawanan semula
dan sehubungan itu keputusan perlawanan kekal.
Namun demikian, Pulau Pinang
terus menderita apabila jurulatih Moey Yoke Ham dan pegawai perubatan Ahamad
Rahmat digantung satu perlawanan setelah kedua-duanya didapati masuk ke dalam
padang tanpa kebenaran.
Sementara itu Abdul Aziz
berkata nasib pengadil dan pembantunya G. Arumugam akan ditentukan Jawatankuasa
Pengadil yang akan bersidang sedikit masa lagi.
sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4P8j5
Tiada ulasan:
Catat Ulasan