Rabu, 16 November 2016

PP kekal rentak juara

ARKIB : 12/03/1999
MESKIPUN hanya berbekalkan satu aksi di gelanggang luar pada perlawanan ujian, jurulatih Pulau Pinang Moey Yok Ham yakin dengan persiapan pasukannya menghadapi perlawanan pembuka tirai Bola Sepak Perdana Satu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi 20 Mac ini.

Malah Pulau Pinang sudah bersedia menghadapi Negeri Sembilan selepas menempuh beberapa siri perlawanan ujian termasuk Kejohanan Empat Penjuru di Stadium Bandar Raya baru-baru ini.

Berdasarkan keupayaan pemain pada kejohanan tersebut, jurulatih itu yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya mengharungi cabaran musim baru.

Pulau Pinang mengekalkan rekod tanpa kalah menerusi kemenangan 4-0 ke atas Kelab Bola Sepak Haadyai, mengalahkan Harimau Tapanuli (Medan) 3-2 dan seri 2-2 dengan Tanjung Pagar F.C (pasukan Liga Singapura).

Kata Yok Ham, keserasian yang ditunjukkan pemain menerusi perlawanan ujian dan Kejohanan Empat Penjuru itu menggembirakannya kerana ia berjaya membentuk pasukan yang cukup matang bagi menghadapi saingan di mana sahaja.

''Saya memang ingin mengadakan banyak perlawanan ujian di gelanggang luar tetapi hanya sempat menentang Perlis di Stadium Utama, Kangar, kerana kesuntukan masa,'' kata Yok Ham di Pulau Pinang, semalam.

Bagaimanapun, kata beliau, Pulau Pinang sudah melepasi beberapa siri perlawanan ujian di Stadium Bandar Raya yang sudah cukup sebagai persiapan menempuh Perdana Satu musim ini.

''Bagi saya, saingan di luar gelanggang sendiri bukan alasan untuk melemahkan sesebuah pasukan kerana aksi sebenar pemain yang menjadi penentu,'' tambah beliau.

Ditanya tentang pemain, Yok Ham memberitahu, cuma terdapat kecederaan kecil yang menimpa beberapa pemain tetapi dijangka mereka dapat pulih sebelum bermula perlawanan liga dengan Negeri Sembilan.

Pulau Pinang musim ini diperkuatkan dengan beberapa pemain negeri lain seperti penyerang handalan, Azman Adnan dari Selangor dalam usaha mengekalkan juara Liga Perdana Satu di samping memburu kejuaraan baru iaitu Piala FA dan Piala Malaysia.

Selain Azman, turut menyarung jersi Pulau Pinang musim ini ialah S. Ragesh (Kedah), Azlisham Ibrahim, Asmawi Bakiri dan Shahril Arsat (Selangor), Wong Kah Loon dan Badrisan Kadir (Kelantan) serta V. Thinagaran (Perlis)

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QA33WwRN © Utusan Melayu (M) Bhd

Asmawi gembira di Pulau Pinang

ARKIB : 10/03/1999
PENGHIJRAHAN dari Selangor ke Pulau Pinang membuka kembali peluang kepada Asmawi Bakiri untuk beraksi di posisi tengah (midfield) sekalipun terpaksa bekerja keras kerana dibayangi pemain lain sebelum menghadapi Perdana Satu musim ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Bagaimanapun, Asmawi tidak akan memilih posisi sekiranya jurulatih Moey Yok Ham mahukannya beraksi sebagai pemain bek kanan.


''Memang posisi kegemaran saya di bahagian midfield tetapi saya juga boleh bermain sebagai bek kanan kerana mempunyai pengalaman beraksi di kedua-dua posisi sewaktu bersama Selangor sebelum ini,'' kata pemain itu di Pulau Pinang, semalam.

Menurut Asmawi, dia mula mewakili Selangor sebagai pemain midfield pada 1993 sebelum beralih ke posisi bek kanan dua tahun kemudian.

''Dengan Pulau Pinang, harapan saya untuk bermain di posisi tengah cerah kerana posisi bek kanan akan menjadi milik Ng Kok Heng yang diletakkan di situ sejak musim-musim sebelum ini,'' tambahnya.

Namun, bekas pemain Selangor itu berpendapat bahawa dia masih perlu bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama musim ini.

Katanya, setakat ini, dia berganding dengan rakan sepasukan dari Selangor, Shahril Arsat dan bekas pemain Kelantan, Wong Kah Loon di barisan tengah.

Mengenai perbezaan antara Selangor dengan Pulau Pinang, Aswami memberitahu, terdapat banyak perbezaan dalam corak permainan kedua-dua pasukan.

''Selangor memberi keutamaan kepada kemahiran individu manakala Pulau Pinang lebih banyak bergantung kepada seluruh jentera pasukan,'' katanya.

Asmawi juga beranggapan, pasukan Pulau Pinang musim ini lebih mantap kerana dibarisi pemain berwibawa di kesemua posisi dalam usaha mengekalkan piala Perdana Satu di samping memburu kejuaraan baru, Piala FA dan Piala Malaysia.

Selain Asmawi, Shahril dan Kah Loon, Pulau Pinang mengikat penyerang handalan, Azman Adnan serta penjaga gol Azlisham Ibrahim dari Selangor, S. Ragesh (Kedah), V. Thinagaran (Perlis) dan Badrisan Kadir (Kelantan).

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Q9r0qGL7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 11 November 2016

S. Ragesh mencari cabaran baru

ARKIB : 12/01/1999
WALAUPUN tempatnya seolah-olah sudah terjamin dalam skuad yang pernah bergelar juara berganda, penjaga gawang S. Ragesh tetap memilih cabaran apabila menerima tawaran untuk beraksi dengan Pulau Pinang musim ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Sebaliknya, penghijrahan dari Kedah ke Pulau Pinang memaksa Ragesh bersaing merebut tempat sebagai penjaga gol utama selepas ''harimau kumbang'' turut mengikat Azlisham Ibrahim dari Selangor.

Ragesh, 26, bekas pemain skuad Olimpik Atlanta di bawah bimbingan jurulatih dari Perancis, Claude Le Roy mengakui bahawa kedatangannya ke Pulau Pinang terpaksa menempuh saingan mencabar.

''Kebiasaannya tonggak tempatan merasakan kedudukan sengit kerana di ancam pemain luar tetapi saya dan Azlisham adalah tenaga dari pasukan negeri lain yang terpaksa berentap hanya untuk merebut satu posisi,'' katanya semalam.

Namun, kata Ragesh, dia tidak menyesal selepas mengubah haluan kerana Pulau Pinang bukannya pasukan belasahan lagi seperti dahulu, malah tahun lalu sahaja mampu meraih kejuaraan Liga Perdana Satu.

''Saya mewakili Kedah mulai 1996 hingga 1998 dengan merasai pingat kejuaraan Piala FA serta naib juara liga tetapi tahun ini, saya yakin untuk meneruskan kejayaan dengan Pulau Pinang pula,'' katanya.

Menurut Ragesh, selain dia dan Azlisham, kemasukan pemain handalan pertahanan seperti V. Thinagaran (Perlis), Azman Adnan, Asmawi Bakiri, Shahril Arsat (Selangor), Wong Kah Loon dan Badrisan Kadir (Kelantan) membayangkan kekuatan Pulau Pinang.

''Pulau Pinang mempunyai kekuatan di kesemua posisi, pasti akan memberikan cabaran hebat dalam Perdana Satu musim ini,'' katanya.

Penjaga gawang itu memberitahu, walaupun cabaran untuk mengawal pintu gol Pulau Pinang, dia menyifatkannya sebagai perkembangan sihat yang boleh membantunya berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Pi6xSman © Utusan Melayu (M) Bhd

Pulau Pinang cari penyerang

ARKIB : 11/01/1999
HARIMAU kumbang hanya berkehendakkan seorang lagi penyerang sewaktu pintu tertutup rapat buat pemain posisi lain untuk mencuba nasib dengan Pulau Pinang bagi membawa cabaran musim ini.

Jurulatih Moey Yoke Ham, berkata, Pulau Pinang memerlukan seorang penyerang bagi mempertajamkan barisan depannya itu selepas mengikat bekas pemain Selangor dan Kelantan, Azman Adnan dan Badrisan Kadir untuk berganding dengan tonggak tempatan G. Shanmugam.

''Jika boleh, kita mahu mengekalkan empat penyerang bagi menghadapi musim 1999 yang panjang sebagaimana tahun lalu di mana Pulau Pinang diperkuatkan rangkaian Domi Che Non, tonggak import dari Maghribi Merzagua Abdderrazak, Shanmugam dan Fuad Mohd. Noor,'' kata beliau ketika dihubungi, di sini, semalam.

Bagaimanapun, juara Perdana Satu 1998 itu menggugurkan Domi dan Fuad untuk menghadapi cabaran musim baru 1999 yang lebih hebat dengan mengikat Azman serta Badrisan.

Sementara Merzagua pula gagal meneruskan khidmatnya kerana terpaksa akur di atas keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tidak membenarkan lagi pemain import yang sudah tamat kontrak mewakili pasukan negeri musim ini.

Sehubungan itu, kata Yoke Ham, beliau mencuba seorang pemain tempatan yang kini mewakili sebuah kelab di Pulau Pinang untuk diketengahkan dalam Perdana Satu.

''Kita sedang mencuba pemain ini, sama ada dia layak dipilih atau dapat menerima tawaran bermain dalam Perdana Satu, belum diputuskan.

''Ini bermakna, sesiapa sahaja pemain di barisan serangan termasuk dari pasukan negeri lain masih boleh mencuba nasib dengan Pulau PInang sebelum pendaftaran dengan FAM pada 28 Februari ini,'' tambah beliau.

Yoke Ham menjelaskan, Pulau Pinang tidak memerlukan pemain pertahanan yang sudah ''teguh'' dibarisi bekas pemain Perlis, V. Thinagaran bersama-sama tonggak musim lalu termasuk Moey Kok Hong, Chee Wan Hoe, Abdul Rahim Hassan, K. Nanthakumar serta Fauzi Soh.

Pulau Pinang turut mendapatkan khidmat penjaga gol Kedah, S. Ragesh dan Azlisham Ibrahim dari Selangor untuk mengawasi gawangnya setelah mengetepikan Ahmad Sobri Ismail.

Begitu juga barisan tengah Pulau Pinang yang semakin mantap kerana diperkuatkan bekas pemain Kelantan Woh Kah Loon dan Shahril Arsat serta Asmawi Bakiri dari Selangor.

Dengan penghijrahan pemain handalan dari Perlis, Kedah, Kelantan serta Selangor untuk bersama-sama pemain tempatan bagi membawa cabaran Pulau Pinang musim ini, Yoke Ham berkata, Pulau Pinang sudah mempunyai sebuah pasukan lengkap.

''Dengan barisan pemain ini, kita sudah mempunyai pasukan utama, cuma jika boleh kita mahu menambah seorang penyerang lagi,'' kata beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PhuSJdBY © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 10 November 2016

Azman hampir pasti sertai Pulau Pinang

ARKIB : 28/11/1998
AZMAN Adnan (kiri) dan Ibrahim Saad menjawab soalan semasa sidang akhbar di Pulau Pinang semalam.

BEKAS penyerang sensasi Selangor, Azman Adnan pasti menyarung jersi Pulau Pinang secara sah tidak lama lagi selepas bersetuju beraksi bersama skuad Harimau Kumbang musim depan, lapor AZLI AHAD.

Menyertai Azman dalam kempen Pulau Pinang ialah Shahril Arshat dan Azlisham Ibrahim yang turut menandatangani surat persetujuan tersebut semalam.

Sekalipun belum menandatangani kontrak, ketiga-tiga pemain ini dijangka mampu memperkukuhkan lagi impian Harimau Kumbang untuk mengekalkan gelaran dua kali berturut-turut.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Dr. Ibrahim Saad mengesahkan pada dasarnya persetujuan telah dicapai dengan pemain terbabit dan kini Azman, Shahril dan Azlisham sekadar menunggu untuk menurunkan tandatangan dalam dokumen kontrak masing-masing.

''Azman Adnan sememangnya menjadi idaman pasukan ini dan kita tidak teragak-agak untuk mengambil beliau memandangkan pasukan ini memerlukan penyerang berbisa setelah ketiadaan dua penyerang import iaitu , Merzagua Abderrazzaque dan Riyadh Abbas''.

''Walaupun banyak mendapat tawaran dari negeri lain, Azman yang akan tamat kontraknya bersama Selangor pada 31 Disember ini berjanji tidak akan mengulangi peristiwa hitam yang mana menimbulkan kontroversi antara pasukan Negeri Sembilan dan Selangor,'' katanya.

Beliau berkata demikian di majlis menandatangani surat persetujuan di pejabat FAP di Jalan Utama di Pulau Pinang, semalam.

Selain Azman yang akan ke England dalam program meningkatkan mutu permainan selama tiga minggu, Moey Yoke Ham juga akan berangkat ke Frankfurt, Jerman bagi menjalani kursus kejurulatihan di sana.

Dr. Ibrahim berkata, FAP berharap dengan adanya program ini ia akan dapat meningkatkan lagi kemahiran serta mutu permainan setiap pemain serta skuad tersebut pada musim hadapan.

''Kita tidak mahu tewas dengan kiraan gol seperti apa yang terjadi pada musim ini malahan sedang berusaha menebus kekecewaan tersebut pada musim hadapan,'' tambahnya lagi.

Beliau memberitahu, pasukan Pulau Pinang juga berminat untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain lagi dari Johor, Kelantan dan Perlis bagi memperkemaskan pasukan tersebut serta menggantikan tujuh pemain yang digugurkan dari skuad itu.

Mereka yang ditamatkan perkhidmatan ialah, Domi Che Non, Sabri Abdul Rani, Ahmad Sobri Ismail, Mohd. Fuad Mat Noor dan Abdul Gaffoor Hoosen.

Dr. Ibrahim Saad yang yakin dengan keupayaan skuad yang akan dibentuk nanti, pasukan Pulau Pinang tidak akan menghadapi masalah apabila timbul masalah kecederaan pada pemain senior nanti.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Pb5tZNQF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 9 November 2016

Thinagaran, Shahril berhijrah ke Pulau Pinang

ARKIB : 25/11/1998
SETELAH barisan serangan diperkuatkan Azman Adnan, benteng pertahanan ''harimau kumbang'' pula akan lebih mantap apabila ketua pasukan Perlis, V. Thinagaran dan pemain tengah Shahril Arsat dari Selangor bersedia untuk ''beralih angin'' ke Pulau Pinang, musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Dr. Ibrahim Saad, memberitahu, selain Thinagaran dan Shahril, beberapa lagi pemain pasukan negeri turut berada dalam senarai pemilihan ''harimau kumbang.''

Namun, kata beliau, penyerang Domi Che Non dan penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail digugurkan berbanding dua pemain, Moey Kok Hong dan Chee Wan Hoe yang ''diikat'' lebih awal bagi membawa cabaran musim depan.

''Selain Azman, pada dasarnya Thinagaran sudah bersetuju untuk mewakili Pulau Pinang musim depan, begitu juga dengan Shahril.

''Pulau Pinang juga sedang meneliti untuk menyerapkan dua pemain Piala Presiden dan tonggak pasukan Piala Emas Raja-Raja Pulau Pinang, Hasnizal dan Hasrinizam Hashim,'' kata beliau.

Kedua-dua adik beradik, Hasnizal dan Hasrinizam dipilih untuk mengikuti latihan skuad ''harimau kumbang'' selepas menunjukkan prestasi cemerlang sewaktu membantu Pulau Pinang menewaskan Kedah 4-0 untuk menjuarai Piala Agong baru-baru ini.

Azman menjadi sandaran terbaik Pulau Pinang yang ketandusan penyerang berkaliber pada musim depan selepas FAP mengambil keputusan menggugurkan Domi.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PW5YNNhv © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 7 November 2016

Penyu singkir P. Pinang

ARKIB : 15/11/1998
TERENGGANU tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi tetapi kekalahan itu tidak menghalang peluang skuad Penyu itu ke separuh akhir.

Sebaliknya, Pulau Pinang yang meletakkan harapan tinggi dengan mengharapkan keputusan pertarungan itu terpaksa menerima hakikat nasib lebih menyebelahi Terengganu.

Perlawanan yang berlangsung di hadapan kira-kira 10,000 penonton itu menyaksikan Abdul Halim Jantan muncul wira Negeri Sembilan menerusi dua jaringan emasnya pada minit ke-55 dan 56.

Sepak mula membangkitkan semangat juang kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan dalam pertarungan menarik dan penuh mendebarkan.

Terengganu yang sememangnya mengharapkan kemenangan tidak berputus asa melancarkan serangan dari segenap penjuru untuk memburu jaringan.

Gabungan tonggak utama Seidu Issifu, Badrul Hisham Abdullah yang turut didukung ketua pasukan, Anuar Jusoh memperhebatkan gerakan bagi mengekang barisan pasukan pelawat.

Sehingga minit ke-34 pasukan tuan rumah terpaksa mengeluarkan penjaga golnya, Zubir Ibrahim kerana kecederaan dan digantikan Tay Sin Kiat.

Pertukaran itu sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan Terengganu dan meresahkan para penonton tuan rumah yang menyandarkan harapan tinggi.

Seidu Issifu, Mohd. Noor Derus, Samuel Chebli masih tidak mahu menyerah kalah untuk mencari ruang jaringan namun banyak peluang yang dicipta tidak dimanfaatkan.

Enam minit berlangsungnya separuh masa kedua, suasana stadium yang sebelumnya gamat dengan sorakan bertukar sepi berikutan jaringan Abdul Halim yang mendapat umpanan Faizal Zainal.

Gol tersebut terus membangkit keghairahan pasukan pelawat untuk menambah jaringan menerusi pemain yang sama, Abdul Halim seminit kemudian.

Kedua-dua gol itu mengkucarkacirkan permainan skuad Penyu yang seolah-olah tersentak dengan jurang gol tersebut mendorong jurulatihnya, Abdul Rahman Ibrahim membuat pertukaran.

Badrul Afzan Ghazali menggantikan Azman Ismail dan tidak lama selepas itu pertukaran kedua memasukkan Baharuddin Ali untuk mengambil alih tugas Mohd. Naszreen Tee.

Minit terakhir perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mengubah kedudukan namun kemenangan muktamad berakhir dan Terengganu terpaksa menyerah kalah 0-2.

Kemenangan itu juga membuktikan Negeri Sembilan mengekalkan kedudukannya di tangga teratas Kumpulan A dengan memungut 19 mata dan layak ke separuh akhir diiringi Terengganu yang masih 13 mata.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PJvRWP4v

© Utusan Melayu (M) Bhd