Rabu, 16 November 2016

PP kekal rentak juara

ARKIB : 12/03/1999
MESKIPUN hanya berbekalkan satu aksi di gelanggang luar pada perlawanan ujian, jurulatih Pulau Pinang Moey Yok Ham yakin dengan persiapan pasukannya menghadapi perlawanan pembuka tirai Bola Sepak Perdana Satu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi 20 Mac ini.

Malah Pulau Pinang sudah bersedia menghadapi Negeri Sembilan selepas menempuh beberapa siri perlawanan ujian termasuk Kejohanan Empat Penjuru di Stadium Bandar Raya baru-baru ini.

Berdasarkan keupayaan pemain pada kejohanan tersebut, jurulatih itu yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya mengharungi cabaran musim baru.

Pulau Pinang mengekalkan rekod tanpa kalah menerusi kemenangan 4-0 ke atas Kelab Bola Sepak Haadyai, mengalahkan Harimau Tapanuli (Medan) 3-2 dan seri 2-2 dengan Tanjung Pagar F.C (pasukan Liga Singapura).

Kata Yok Ham, keserasian yang ditunjukkan pemain menerusi perlawanan ujian dan Kejohanan Empat Penjuru itu menggembirakannya kerana ia berjaya membentuk pasukan yang cukup matang bagi menghadapi saingan di mana sahaja.

''Saya memang ingin mengadakan banyak perlawanan ujian di gelanggang luar tetapi hanya sempat menentang Perlis di Stadium Utama, Kangar, kerana kesuntukan masa,'' kata Yok Ham di Pulau Pinang, semalam.

Bagaimanapun, kata beliau, Pulau Pinang sudah melepasi beberapa siri perlawanan ujian di Stadium Bandar Raya yang sudah cukup sebagai persiapan menempuh Perdana Satu musim ini.

''Bagi saya, saingan di luar gelanggang sendiri bukan alasan untuk melemahkan sesebuah pasukan kerana aksi sebenar pemain yang menjadi penentu,'' tambah beliau.

Ditanya tentang pemain, Yok Ham memberitahu, cuma terdapat kecederaan kecil yang menimpa beberapa pemain tetapi dijangka mereka dapat pulih sebelum bermula perlawanan liga dengan Negeri Sembilan.

Pulau Pinang musim ini diperkuatkan dengan beberapa pemain negeri lain seperti penyerang handalan, Azman Adnan dari Selangor dalam usaha mengekalkan juara Liga Perdana Satu di samping memburu kejuaraan baru iaitu Piala FA dan Piala Malaysia.

Selain Azman, turut menyarung jersi Pulau Pinang musim ini ialah S. Ragesh (Kedah), Azlisham Ibrahim, Asmawi Bakiri dan Shahril Arsat (Selangor), Wong Kah Loon dan Badrisan Kadir (Kelantan) serta V. Thinagaran (Perlis)

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QA33WwRN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan