Khamis, 8 Disember 2016

16 pemain Harimau Kumbang musim 2016 kekal

DISEMBER 2016
WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
6 DISEMBER 2016
16 pemain Harimau Kumbang musim 2016 kekal
16 pemain Harimau Kumbang musim 2016 kekal Lobo (kanan) antara pertahanan utama Pulau Pinang sejak tahun 2015 yang kekal pada musim hadapan bersama pasukan. -Foto ZAMZURI BAKAR
SEBANYAK 16 pemain pada musim ini dikekalkan oleh Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2017.

Memetik laman web rasminya, pemain-pemain tersebut bersetuju untuk terus bersama Harimau Kumbang termasuk pertahanan import, Reinaldo Lobo yang merupakan tonggak utama pasukan sebelum ini.

Manakala tiga lagi import itu iaitu ketua pasukan,Matias Cordoba, Rantin Martin dan Jeoung Seouk tidak lagi bersama Pulau Pinang.

15 lagi pemain yang kekal adalah Elias Sulaiman, Faizat Ghazali, Failee Ghazali, Darwira Sazan, Syukur Saidin, Abdul Qayyum, Redzuan Suhaidi, Sani Anuar Kamsani, Syamer Kutty Abba, S Kumaahran, Jafri Firdaus Chew, Azrul Ahmad, Mafry Balang, Rafiuddin Roddin dan Faiz Subri.

Tambah FAP, proses pemilihan baharu pada fasa terakhir dan akan diumumkan selepas semua perkara membabitkan kontrak selesai.

"Pihak pengurusan akan mengumumkan pemain-pemain baharu dalam masa terdekat setelah rundingan kontrak dan pemeriksaan kesihatan selesai," katanya.

Pengumuman itu sedikit-sebanyak meredakan kebimbangan penyokong Pulau Pinang mengenai persiapan pasukan selepas pelantikan bekas pemain Manchester United, Ashley Westwood sebagai pengendali baharu Pulau Pinang bagi musim 2017

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 6 DISEMBER 2016

Ahad, 4 Disember 2016

P. Pinang semakin sukar

ARKIB : 14/06/1999
PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) kecewa dengan persembahan buruk para pemain Pulau Pinang ketika menentang Pahang di Stadium Darulmakmur, kelmarin.

Keputusan perlawanan itu menyebabkan Pulau Pinang, yang menjuarai liga bola sepak Perdana Satu musim lalu kini sukar memepertahankan kejuaraan musim ini.

Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata: ''Saya kecewa dengan mutu permainan yang ditunjukkan pemain Pulau Pinang kelmarin.

''Pemain sepatutnya bermain bersungguh-sungguh di peringkat awal lagi kerana Pulau Pinang boleh mempertahankan kedudukannya yang agak baik sebelum ini,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis taklimat menghadapi pilihan raya Pergerakan Wanita UMNO Permatang Pauh dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, semalam.

Dr. Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas kekalahan Pulau Pinang 0-1 kepada Pahang di Kuantan, kelmarin.

Perlawanan itu dicemari insiden pergaduhan antara pemain pertahanan Pahang, K. Ramachandran dan penyerang Azman Adnan sehingga kedua-dua dibuang padang.

Lebih malang lagi, Azman yang menjadi tonggak utama serangan tidak dapat beraksi pada perlawanan terakhir musim ini kerana penggantungan automatik akibat insiden di Kuantan itu.

Dr. Ibrahim berkata, pasukan Pulau Pinang sekarang semakin sulit untuk mempertahankan gelaran juara liga.

Selain memenangi perlawanan terakhir menentang Perak dengan jaringan besar di Stadium Bandaraya Sabtu ini, mereka juga mengharapkan Pahang kalah kepada Kedah di Alor Setar.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RsXGKmBb © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 3 Disember 2016

Pulau Pinang kutip dua mata di Sarawak

ARKIB : 30/05/1999
PULAU Pinang menghampakan Sarawak 3-1 menerusi sepakan penalti sekalipun kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Sarawak, Petra Jaya, semalam.

Skuad Harimau Kumbang menyudahkan penalti menerusi Hasmawi Hasan, V. Thinagaran dan Ng Kok Heng sementara tuan rumah membalas menerusi Samsul Napiah.

Bujang Senang sebelum itu pada masa permainan sebenar membuka tirai jaringan menerusi Ibrahim Mantali seawal minit kelima selepas merembat cantik bola sepakan sudut Ramos Sari.

Namun Harimau Kumbang menyamakan kedudukan apabila tendangan kencang Moey Kok Hong pada minit ke-78 menepati sasaran hasil sepakan percuma di luar kotak penalti.

Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Stadium Bandaraya, 3 April lalu tetapi kemenangan berpihak kepada Sarawak 5-3 melalui sepakan penalti.

Malang menimpa Ibrahim apabila diperintah keluar padang pada minit ke-22 selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil, Zainal Abidin Yaacob kerana bertindak kasar terhadap pemain lawan.

Turut menerima nasib yang sama ialah pemain Pulau Pinang, R. Suresh Kumar apabila turut terbabit dalam insiden yang hampir mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pasukan.

Sekalipun beraksi dengan 10 pemain, tuan rumah dan pelawat tetap bersemangat melancarkan serangan bertali arus dan mempamerkan corak permainan yang menarik.

Sementara itu, penyerang, Mohd. Farid Dewan yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua, menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki enam minit untuk membantu Kuala Lumpur menewaskan Kedah 2-1 di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Sebelum itu, Kedah membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi Norizam Ali Hassan tetapi G. Muthu menyamakan kedudukan pada minit ke-42.

Namun, Kuala Lumpur membuat kejutan awal dengan percubaan pertama menerusi pemain tengah, Azmir Nor Hakim Burhan yang menyepak kencang ke gawang pada minit ke-23 tetapi penjaga gol Kedah, Azuan Othman bertindak cemerlang melayangkan badan menepis keluar.

Tersentak dengan ancaman itu, Kenari bangkit menyusun gerakan dan lima minit kemudian, Farouk Ismail membuat umpanan lintang ke tengah dan B. Alagavelu melonjak tinggi untuk menanduk tetapi bola terkena palang gol.

Norizam yang berada di depan gol pantas menolak masuk bola muntah itu untuk gol pembukaan menewaskan penjaga gol warga kota, Kamarul Idham Amiruddin.

Mohd. Nizaruddin Yusof berjaya melorongkan bola kepada Muthu selepas berlaku pergelutan di depan gawang Kedah dan Muthu tenang merembat masuk untuk mengikat kedudukan 1-1 pada babak pertama.

Pemain pertahanan Kenari, Adrien Jurad Chamrong diperintah keluar padang kerana mengasari dari belakang pemain Kuala Lumpur.

Kesempatan itu digunakan Kuala Lumpur mengasak kubu Kedah tetapi dua peluang terbaik disia-siakan oleh S. Saravanan dan Muthu pada minit ke-55 dan 57.

Namun, Kuala Lumpur pula terpaksa beraksi sepuluh pemain pada minit ke-85 apabila Mohd. Khairi Zainuddin dilayangkan kad merah kerana menerima kad kuning kedua.

Begitu pun, Farid akhirnya berjaya menghadirkan gol yang dinanti-nanti seminit selepas itu apabila tendangannya terkena kaki pertahanan Kedah, Zainal Abidin yang terus menerjah jaring.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RmsYF0TN © Utusan Melayu (M) Bhd

Azman benam Kuala Lumpur

ARKIB : 23/05/1999
SKUAD Harimau Kumbang kembali garang dengan penjaring terbanyaknya, Azman Adnan mencipta hatrik ketika menewaskan Kuala Lumpur 4-2 dalam saingan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, semalam, lapor ZAINU'L AZHAR ASHA'RI dan YUSRI SAHAT.

Kekalahan 2-4 kepada Brunei menjadi pembakar semangat tuan rumah untuk meneruskan saingan memburu takhta Perdana Satu.

Azman mencipta hatrik menerusi gol minit ke-13, 35 dan 56 selepas Ooi Hoe Guan membuka tirai jaringan pada minit ke-12.

Kuala Lumpur pula sekadar menghasilkan dua jaringan menerusi ketua pasukan P. Saravanan pada minit ke-24 dan K. Hemadass pada minit ke-86.

Rentak permainan jelas memihak kepada Pulau Pinang tetapi sepakan Azman Adnan ditepis penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Idham Amiruddin.

Akhirnya gerakan Pulau Pinang berhasil juga apabila hantaran jauh Yong Woon Seang dirembat Azman yang menyebabkan bola terlepas daripada tangkapan Kamarul. Bola muntah itu disudahi Ooi Hoe Guan untuk jaringan sulung tuan rumah pada minit ke-12.

Azman menambah luka Kuala Lumpur apabila menjaringkan gol kedua selepas menggelecek Kamarul sebelum menendang masuk jaringan seminit kemudian.

Ketinggalan satu jaringan tidak melemahkan Kuala Lumpur untuk merapatkan jurang apabila beroleh satu peluang selepas pemainnya, K. Nanthakumar dijatuhkan Chee Wan Hoe di luar kawasan penalti tuan rumah.

Sepakan percuma yang diberikan pengadil D. Krishnan dari Pahang membawa jaringan oleh ketua pasukan Kuala Lumpur, P. Saravanan pada minit ke-24.

Bagaimanapun, keghairahan pelawat mencari penyamaan memakan diri apabila hantaran pemain tengah Pulau Pinang, R. Suresh Kumar di depan gawang Kuala Lumpur mudah ditolak masuk Azman pada minit ke-35 untuk skuad Harimau Kumbang mendahului 3-1 dalam babak pertama.

Permulaan babak kedua pula menambah derita Kuala Lumpur untuk Azman Adnan melengkapkan jaringan hatriknya pada minit ke-56.

Tuan rumah terus mengatur serangan tetapi percaturan jurulatih Mat Zan Mat Aris mengeluarkan Farid Dewan ternyata berhasil apabila pemain gantiannya, K. Hemadass menjaringkan gol keduanya pada minit ke-86.

Sementara itu, Brunei mematahkan sayap Kenari 3-2 di hadapan 8,000 penyokong Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tanpa penyerang berbisa, Ahmad Zalghafari Manaf dan Nurul Ahyat, barisan serangan Kedah ternyata tumpul untuk membolosi benteng Brunei.

Kelemahan itu memberi peluang kepada Brunei membolosi gawang Kedah sebanyak tiga kali menerusi Rosanan Samak (49), Mohd. Brian Iman Bothwell (66) dan Raphael Patron Akakpo, tiga minit kemudian.

Gol Kedah oleh Norizam Ali Hassan pada minit ke-21 dan Rafiz Abu Bakar pada minit terakhir perlawanan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RlqJJblN © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 2 Disember 2016

P. Pinang dikejar Tok Gajah, burung Kenari

ARKIB : 10/05/1999
PULAU Pinang memang berhak dibenarkan menerajui liga di sebalik kemenangan tipis 4-3 dalam aksi bola sepak Perdana Satu kelmarin tetapi pada masa yang sama, bahang ancaman Pahang dan Kedah tidak boleh dipandang remeh lagi, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Kebangkitan Azman Adnan dan Ooi Hoe Guan dengan tiga gol dalam masa tiga minit begitu mengagumkan, biarpun agak terdesak untuk membantu Pulau Pinang pulih daripada rentetan kekalahan yang menghantui kebelakangan ini.

Namun apabila Pahang pula melangkah bergaya dengan membenam Sarawak 2-0 di Kuantan, masa untuk pemain Pulau Pinang terlalu bergembira sebenarnya tidak perlu berpanjangan.

Ini kerana masalah kecederaan buku lali Azman dibimbangi mampu berulang setelah bekerja keras memastikan Pulau Pinang terus unggul di Stadium Bandaraya, kelmarin.

Brunei mungkin lawan yang tenggelam timbul prestasinya tetapi kadangkala mampu menyengat dan pernah mengejutkan Negeri Sembilan di Seremban musim ini.

Pahang turut tampil sebagai pelawat esok dan menantinya ialah juara Piala Malaysia, Perak yang menghuni tangga kedua tercorot liga.

Berbanding Pulau Pinang, peluang skuad Tok Gajah meraih tiga mata sekali gus merampas teraju liga agak cerah di Ipoh namun jika hasrat itu tidak menjadi, pertemuan Negeri Sembilan-Kedah di Seremban mungkin boleh mencipta gambaran sebaliknya.

Negeri sudah dihampakan Pulau Pinang 3-4 kelmarin dan sentuhan kecundang seterusnya cuma akan menolak skuad Rusa itu menghampiri paras pertengahan kedudukan liga.

Kedah yang cuma menang penalti dengan Terengganu sebaliknya sudah tentu enggan bertangguh lagi esok daripada terus mengancam Pulau Pinang yang cuma dipisahkan dengan dua mata.

Manakala carta Perdana Dua menyaksikan prestasi terumbang-ambing bekas gergasi Piala Malaysia, Selangor walaupun masih unggul tanpa sebarang kekalahan selepas 11 perlawanan.

Namun anak buah Mike Pejic itu boleh berharapkan perubahan positif hari ini apabila menilai kedudukan tercorot TNB Kelantan _ pencabar mereka di Shah Alam nanti.

Johor FC berada dalam laluan yang selesa untuk kekal menerajui Perdana Dua dan menewaskan 'abang sendiri' Johor di Pasir Gudang bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan jika mengukur keputusan pertemuan pertama, Mac lalu.

Szumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RjwmhZgI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tugas perit P. Pinang, Selangor

ARKIB : 04/05/1999
KESUKARAN bukan alasan khususnya buat pasukan yang tewas dalam pusingan pertama Piala FA kerana persaingan lebih perit sedang menanti malam ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Juara Liga Perdana Satu '98, Pulau Pinang kini bagaikan 'harimau kumbang' yang terluka akibat kekalahan 1-4 kepada Terengganu dalam pusingan pertama, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pasti, 'anak-anak buah' jurulatih Yunus Alif menghadapi tentangan sengit Pulau Pinang yang masih tidak mahu mengaku kalah sekalipun tewas 1-4.

Jurulatih Moey Yok Ham pula mahukan pemainnya berhempas pulas mengekang Terengganu daripada terus mencari kemenangan di Stadium Bandaraya.

''Sekiranya Terengganu berjaya mencari tiga jaringan di Kuala Terengganu, kenapa kita tidak boleh melakukannya di stadium sendiri,'' kata Moey yang masih mengharapkan Pulau Pinang layak beraksi dalam Piala FA sekalipun agak sukar.

Keperitan turut dirasakan Selangor untuk menghadapi Pahang, pasukan yang menewaskan Red Giants 3-1 dalam pusingan pertama di Stadium Darul Makmur.

Walaupun berbekalkan kelebihan dua jaringan, Pahang sudah tentu mengharapkan rangkaian penyerang berbisanya, Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail untuk terus menggempur Selangor.

Jika dua negeri berjiran di Pantai Timur, Terengganu dan Pahang agak selesa, lain pula dengan empat pasukan, Sarawak, Sabah, Melaka dan Kedah.

Sarawak hanya menang 1-0 ke atas Perak untuk menyaksikan skuad 'Seladang' masih berkemampuan untuk bangkit mencari kemenangan di gelanggang sendiri.

Perlawanan Liga Perdana Satu boleh dijadikan contoh betapa, Perak yang tewas 1-4 kepada Kedah di Stadium Darulaman secara tiba-tiba 'mengamuk' di gelanggang sendiri untuk mencipta kemenangan 2-1.

Begitu juga dengan Melaka yang belum begitu selamat selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 tetapi agak bernasib baik kerana pusingan kedua membawa sedikit kelebihan kepada skuad 'Hang Tuah' apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Sabah juga mencipta kemenangan tipis pusingan pertama sehingga mengundang saingan sengit di Stadium Utama yang menjadi kubu kuat Perlis.

Di Stadium Darulaman, Kedah perlu berwaspada bertemu Telekom Melaka selepas menewaskan pasukan bertaraf kelab itu 2-1.

Bagaimanapun, empat pasukan - Kelantan, Johor, Chempaka Negeri Sembilan dan Negeri Sembilan buntu mencari jaringan untuk memilih malam ini sebagai penentu.

Kelantan menentang Johor di Stadium Sultan Mohamed Ke-4 selepas terikat tanpa jaringan dalam saingan pusingan pertama manakala pertalian dua 'saudara' terpaksa diketepikan gara-gara pertembungan penting antara Chempaka Negeri Sembilan dan Negeri Sembilan.

Kedudukan 2-2 antara Chempaka NS - Negeri Sembilan membuka ruang untuk kedua-dua pasukan mencari kemenangan.

Soal gelanggang tidak boleh dijadikan alasan kerana kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RgUap8fo © Utusan Melayu (M) Bhd

Kedudukan Pulau Pinang belum terjamin

ARKIB : 03/05/1999
PULAU Pinang kini perlu merumus strategi terbaik selepas diaibkan Terengganu dengan kekalahan 0-1 walaupun masih mampu menerajui bola sepak Liga Perdana Satu.

Kekalahan pencabar terdekat, Kedah yang dikekang Perak dengan 1-2 di gelangang lawan nyata memberi kelebihan buat skaud Harimau Kumbang yang hanya dibezakan dari segi jaringan dengan negeri Sembilan.

Masing-masing kini berkongsi 18 mata, tetapi Pulau Pinang terselamat selepas menyumbat 10 gol dengan enam kali gawangnya bolos, berbanding negeri sembilan dengan 14 jaringan dan 16 kali bolos.

Jika Negeri Sembilan bukan dianggap 'berbahaya' buat Pulau Pinang untuk terus menjadi pendahulu liga, maka Pahang pastinya semakin hampir di tangga ketiga kini.

Kemenangan bergaya 5-1 ke atas sabah sudah cukup untuk membuktikan hasrat skuad dari Pantai Timur ini untuk memastikan juara milik mereka.

Dipisahkan dengan satu mata nampaknya bukan masalah besar buat Pahang yang kelihatan lebih kukuh selepas mengumpul 18 jaringan dan hanya membenarkan gawang dibolosi 11 kali.

Dari tangga kelima, Pahang terus melonjak dua anak tangga kepada tempat ketiga, suatu pencapaian yang agak memberangsangkan lebih-lebih lagi apabila menafikan kehebatan penjaga gol Sabah, Khairul Azman yang pernah disifatkan penjaga gawang terbaik negara.

Malah penyerang berbisa Tok Gajah, Azizul Kamaluddin mungkin kini masih mengenangkan detik-detik bersejarah pertemuan ini selepas berjaya mencipta hatrik pertamanya pada musim 1999 menerusi jaringan pada minit ke-42, 43 dan 74.

Kedah pula dirundung malang apabila terperosok ke tangga keempat untuk mengambil alih kedudukan Sarawak sebelum ini selepas kedudukan terbaiknya di tangga kedua dirampas pula oleh Negeri Sembilan.

Berbekalkan 17 mata keseluruhan hasil 10 perlawanan belum menjanjikan sesuatu yang terbaik buat mereka, malah semakin menjarakkan kedudukan Kenari.

Kedah sekadar meraih tiga kemenangan, lima kali seri dan tewas dua kali dengan menghasilkan 17 jaringan, serta 11 kali pintu gol mereka dibolosi.

Sementara itu, Terengganu yang seolah-olah menjadi badi kekal buat Pulau Pinang hanya meningkat satu anak tangga di tempat kelima.

Terima kasih buat nasihat jurulatih kebangsaan yang juga bekas jurulatih negeri skuad Penyu, Abdul Rahman Ibrahim selaku pencetus utama semangat pemain, namun pastinya, itu hanya sebahagian dorongan selain aksi hebat pemain sendiri untuk menggugat gawang lawan.

Sarawak bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga selepas turun dua anak tangga dari kedudukan keempat kepada keenam selepas impian mereka dileburkan negara skuad jiran, Brunei.

Mengumpul 15 mata menyukarkan lagi buat Bujang Senang meneruskan kemaraan ke persada liga, tetapi tiada apa yang mustahil dalam bola sepak.

Kuala Lumpur kini mengekori rapat di belakang Sarawak dengan kekurangan satu mata selepas gagal memastikan kemenangan ke atas Negeri Sembilan akibat sepakan penalti 2-4 apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa penuh permainan.

Kemenangan 2-1 ke atas Kedah tidak menjanjikan ruang mudah buat skuad Seladang untuk meningkat secara mendadak, apabila dikejar oleh Brunei yang berjaya menyelamatkan aib daripada menghuni tangga tercorot.

Kedudukan paling bawah kini bertukar milik kepada Sabah yang kecundang kepada Pahang 0-5 di gelanggang lawan dan perlu bangkit membuang aib.

Sabah hanya mampu memenangi dua pertemuan, tiga kali seri dan kalah lima kali setakat ini menerusi 10 perlawanan, bersama tujuh jaringan dan 13 kali dibolosi lawan.

Persaingan berikutnya selain menentukan siapakah pendahulu liga berikutnya, juga bakal menjadi gelanggang penentuan tentang pasukan mana paling wajar menghuni tangga tercorot.

Apa pun, fokus tetap kepada pendahulu liga, Pulau Pinang yang kini terpaksa bekerja lebih keras menyelamatkan maruah di depan penyokong sendiri apabila sekali lagi berdepan skuad Penyu dalam Piala FA, esok.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RgLFA5HT © Utusan Melayu (M) Bhd