Ahad, 4 Disember 2016

P. Pinang semakin sukar

ARKIB : 14/06/1999
PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) kecewa dengan persembahan buruk para pemain Pulau Pinang ketika menentang Pahang di Stadium Darulmakmur, kelmarin.

Keputusan perlawanan itu menyebabkan Pulau Pinang, yang menjuarai liga bola sepak Perdana Satu musim lalu kini sukar memepertahankan kejuaraan musim ini.

Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata: ''Saya kecewa dengan mutu permainan yang ditunjukkan pemain Pulau Pinang kelmarin.

''Pemain sepatutnya bermain bersungguh-sungguh di peringkat awal lagi kerana Pulau Pinang boleh mempertahankan kedudukannya yang agak baik sebelum ini,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis taklimat menghadapi pilihan raya Pergerakan Wanita UMNO Permatang Pauh dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, semalam.

Dr. Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas kekalahan Pulau Pinang 0-1 kepada Pahang di Kuantan, kelmarin.

Perlawanan itu dicemari insiden pergaduhan antara pemain pertahanan Pahang, K. Ramachandran dan penyerang Azman Adnan sehingga kedua-dua dibuang padang.

Lebih malang lagi, Azman yang menjadi tonggak utama serangan tidak dapat beraksi pada perlawanan terakhir musim ini kerana penggantungan automatik akibat insiden di Kuantan itu.

Dr. Ibrahim berkata, pasukan Pulau Pinang sekarang semakin sulit untuk mempertahankan gelaran juara liga.

Selain memenangi perlawanan terakhir menentang Perak dengan jaringan besar di Stadium Bandaraya Sabtu ini, mereka juga mengharapkan Pahang kalah kepada Kedah di Alor Setar.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RsXGKmBb © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan