Sabtu, 3 Disember 2016

Azman benam Kuala Lumpur

ARKIB : 23/05/1999
SKUAD Harimau Kumbang kembali garang dengan penjaring terbanyaknya, Azman Adnan mencipta hatrik ketika menewaskan Kuala Lumpur 4-2 dalam saingan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, semalam, lapor ZAINU'L AZHAR ASHA'RI dan YUSRI SAHAT.

Kekalahan 2-4 kepada Brunei menjadi pembakar semangat tuan rumah untuk meneruskan saingan memburu takhta Perdana Satu.

Azman mencipta hatrik menerusi gol minit ke-13, 35 dan 56 selepas Ooi Hoe Guan membuka tirai jaringan pada minit ke-12.

Kuala Lumpur pula sekadar menghasilkan dua jaringan menerusi ketua pasukan P. Saravanan pada minit ke-24 dan K. Hemadass pada minit ke-86.

Rentak permainan jelas memihak kepada Pulau Pinang tetapi sepakan Azman Adnan ditepis penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Idham Amiruddin.

Akhirnya gerakan Pulau Pinang berhasil juga apabila hantaran jauh Yong Woon Seang dirembat Azman yang menyebabkan bola terlepas daripada tangkapan Kamarul. Bola muntah itu disudahi Ooi Hoe Guan untuk jaringan sulung tuan rumah pada minit ke-12.

Azman menambah luka Kuala Lumpur apabila menjaringkan gol kedua selepas menggelecek Kamarul sebelum menendang masuk jaringan seminit kemudian.

Ketinggalan satu jaringan tidak melemahkan Kuala Lumpur untuk merapatkan jurang apabila beroleh satu peluang selepas pemainnya, K. Nanthakumar dijatuhkan Chee Wan Hoe di luar kawasan penalti tuan rumah.

Sepakan percuma yang diberikan pengadil D. Krishnan dari Pahang membawa jaringan oleh ketua pasukan Kuala Lumpur, P. Saravanan pada minit ke-24.

Bagaimanapun, keghairahan pelawat mencari penyamaan memakan diri apabila hantaran pemain tengah Pulau Pinang, R. Suresh Kumar di depan gawang Kuala Lumpur mudah ditolak masuk Azman pada minit ke-35 untuk skuad Harimau Kumbang mendahului 3-1 dalam babak pertama.

Permulaan babak kedua pula menambah derita Kuala Lumpur untuk Azman Adnan melengkapkan jaringan hatriknya pada minit ke-56.

Tuan rumah terus mengatur serangan tetapi percaturan jurulatih Mat Zan Mat Aris mengeluarkan Farid Dewan ternyata berhasil apabila pemain gantiannya, K. Hemadass menjaringkan gol keduanya pada minit ke-86.

Sementara itu, Brunei mematahkan sayap Kenari 3-2 di hadapan 8,000 penyokong Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tanpa penyerang berbisa, Ahmad Zalghafari Manaf dan Nurul Ahyat, barisan serangan Kedah ternyata tumpul untuk membolosi benteng Brunei.

Kelemahan itu memberi peluang kepada Brunei membolosi gawang Kedah sebanyak tiga kali menerusi Rosanan Samak (49), Mohd. Brian Iman Bothwell (66) dan Raphael Patron Akakpo, tiga minit kemudian.

Gol Kedah oleh Norizam Ali Hassan pada minit ke-21 dan Rafiz Abu Bakar pada minit terakhir perlawanan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RlqJJblN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan