Jumaat, 17 Mac 2017

Rekod P. Pinang musnah

ARKIB : 02/05/2001
Oleh MOHD. SHAHIR KASSIM
PENDAHULU Perdana Satu, Terengganu terus unggul apabila meranapkan rekod tanpa kalah Pulau Pinang dengan kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan mendebarkan di Stadium Batu Kawan, semalam.

Terengganu yang menguasai perlawanan sejak minit pertama mencipta beberapa gerakan menarik melalui rangkaian penyerang Wan Rohaimi Ismail, Sapian Wahid, Hairuddin Omar dan Rosdi Talib mengkucar-kacirkan pertahanan Pulau Pinang yang diketuai Chee Wan Hoe.

Serangan bertubi-tubi Terengganu membuahkan hasil apabila memperoleh gol pada minit ke-32 menerusi Sapian yang menyepak kencang menewaskan penjaga gol Kamaruzaman Hassan setelah menerima hantaran lintang daripada Wan Rohaimi.

Pulau Pinang yang tidak menurunkan jeneral padang, Mohd. Nor Derus pada babak pertama terkapai-kapai mencari rentak untuk mengatur serangan bagi mencari gol.

Menyedari hakikat itu jurulatih skuad Pulau Mutiara, Irfan Bakti mengeluarkan ayam tambatan, Asmawi Hassan pada babak kedua untuk memasukkan Mohd. Nor berjaya mengubah rentak permainan dengan menguasai babak kedua.

Perjudian Irfan memasukkan Mohd. Nor hampir membuahkan hasil apabila Harimau Kumbang memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan gagal memanfaatkan peluang apabila tandukan kencangnya sedikit tersasar dari gawang gol Terengganu.

Ooi Hoe Guan yang menerima hantaran daripada Abd. Aziz Ismail memperoleh peluang untuk menutup aib kalah di gelanggang sendiri gagal memanfaatkan peluang apabila sepakannya sedikit tersasar di sebelah kiri gawang Terengganu.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bajPw5RZ

© Utusan Melayu (M) Bhd

P. Pinang uji kekentalan Terengganu

ARKIB : 01/05/2001
ENAM saingan bakal terhidang untuk tatapan peminat bola sepak tanah air namun tumpuan utama seharusnya pertemuan ``buku dengan ruas'' di antara pendahulu Liga Perdana Satu, Terengganu yang berdepan pencabar kental Pulau Pinang malam ini, lapor ZAINUL AZHAR ASHARI.

Reputasi tanpa kalah untuk sepanjang enam daripada tujuh perlawanan setakat ini bukan sahaja menjulang skuad ``penyu'' ke puncak takhta Liga Perdana Satu tetapi mencetus dendam pasukan lawan terutama Pulau Pinang yang ingin memintas Terengganu selepas hanya ketinggalan satu tangga di belakang.

Kemenangan penting buat Terengganu sekalipun keputusan seri tidak akan mengubah kedudukan Pantai Timur itu namun bagi melebarkan jurang setelah mengumpul 19 mata berbanding Pulau Pinang (17 mata), skuad penyu memerlukan tiga mata penuh di gelanggang lawan Stadium Batu Kawan.

Kehadiran Terengganu sudah tentu disambut dengan saingan sengit bala tentera jurulatih Irfan Bakti yang semakin garang bagaikan ``harimau kumbang'' untuk menghadapi pemain-pemain handalan skuad ``penyu'' seperti penyerang Wan Rohaimi Ismail dan tonggak pasukan kebangsaan, Rosdi Talib.

Berbeza pula pasukan di tangga kelapan, Selangor (6 mata) masih tercari-cari hala tuju selepas kekalahan 0-1 kepada Negeri Sembilan, cuma membangkitkan semangat lawannya skuad tangga tercorot Melaka (3 mata) yang malam ini cuba menagih untung di Stadium Shah Alam.

Tidak kurang menarik perlawanan di antara penghuni tangga ketiga, Kelantan yang menghadapi saingan terdekatnya iaitu skuad ``bujang senang'' di Stadium Sarawak.

Kekalahan 0-2 kepada Selangor bukannya jalan penamat bagi Kelantan yang tidak mahu kecewa lagi apabila bertemu Sarawak kerana kegagalan bakal turun dari kedudukan asal.

Kelantan yang mengumpul 14 mata memerlukan kemenangan atau sekurang-kurangnya seri kerana Sarawak hanya ketinggalan satu mata di belakangnya untuk menghidupkan suasana di stadium berkenaan.

Dua lagi perlawanan menarik membabitkan Pahang dengan Johor di Stadium Darulmakmur, Kuantan manakala skuad ``warga kota'' menentang Negeri Sembilan di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras.

Pahang yang mengumpul 11 mata kini menduduki tangga keenam sedangkan lawannya Kuala Lumpur cuma di tempat kesembilan (6 mata).

Nun di utara, di Stadium Utama, Kangar, pasukan tuan rumah Perlis yang menduduki tangga ketujuh (9 mata) berdepan juara Piala Malaysia 2000, Perak yang setakat ini menjadi pasukan tiga tangga terbawah (6 mata).

Pastinya, semangat ``singa utara'' semakin bertambah, bukan sahaja disebabkan beraksi di gelanggang sendiri malah untuk mencari semula penawar selepas tewas 1-3 kepada Terengganu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bahxeRKQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 16 Mac 2017

P. Pinang temui ramuan paling mujarab



ARKIB : 26/03/2001
PULAU PINANG sudah menemui ramuan paling mujarab untuk mencipta sejarah selaku juara pada saingan bola sepak Piala FA 2001 selepas muncul pasukan pertama mara ke suku akhir kelmarin.

Skuad Harimau Kumbang bimbingan Irfan Bakti yakin mampu menebus kegagalan musim lalu apabila mereka terlepas peluang mendakap piala itu selepas tumpas kepada Terengganu pada perlawanan akhir.

Bagi Irfan resipinya cukup mudah iaitu jangan memberi belas kasihan kepada lawan pada sebarang perlawanan jika mahu melakar sejarah kali ini.

Katanya, Pulau Pinang juga mengambil pendekatan tersendiri dalam menempuh saingan piala FA dengan menganggap setiap perlawanan yang dilalui itu sebagai `final' dan membelasah pasukan lawan dengan jaringan besar.

``Bagi saya mudah, apabila anda berada dalam tempoh perlawanan 90 minit, tiada unsur kasihan untuk melakukan jaringan besar.

``Inilah yang saya tekankan kepada setiap pemain. Saya minta maaflah kepada pasukan kelab yang menerima kekalahan yang mengaibkan,'' katanya ketika dihubungi di Pulau Pinang, semalam.

Pasukan itu mara ke suku akhir hasil agregat 9-1 ke atas Telekom Melaka selepas memenangi perlawanan kedua pusingan kedua 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Anak buah Irfan kini dijangka bertemu Perlis yang terkenal dengan gelaran Singa Utara pada suku akhir nanti selepas lawannya itu menjadikan Selangor mangsa untuk kemenangan 3-0.

Kejayaan ini membolehkan Perlis berada dalam keadaan selepas menjelang saingan kedua di Shah Alam, esok, sekalipun gelanggang lawan itu dianggap keramat buat Selangor.

Begitupun Irfan tidak bercadang memperkecilkan keupayaan Perlis mahupun Selangor, jika ditakdirkan bertemu salah satu pasukan itu di suku akhir.

Mengulas skuad Harimau Kumbang yang agak `lambat panas' dan lebih suka mengganas di babak kedua permainan, Irfan pantas menafikannya: ``Saya sering memarahi pemain agar melakukan yang terbaik di babak pertama.

``Mereka perlu memburu jaringan cemerlang di babak kedua. Bagi saya, kedua-dua babak permainan adalah penting jika mahu mencipta kemenangan.''

Irfan juga berkata, pemain Pulau Pinang harus mengamalkan etika profesional, walaupun bertemu pasukan bertaraf kelab.

``Etika ini penting supaya pemain lebih matang, bukan sahaja dalam Piala FA tetapi pada saingan Liga Perdana,'' ujarnya.

Pulau Pinang akan berehat daripada saingan Piala FA untuk memberikan tumpuan latihan persiapan menjelang Liga Perdana menentang Selangor di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, 31 Mac ini.

Mereka akan menyambung aksi suku akhir Piala FA menentang pemenang pusingan kedua, Perlis atau Selangor pada 5 Mei nanti.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bYwz7P1Z
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 15 Mac 2017

Pulau Pinang mahu gandingan pertahanan mantap



ARKIB : 23/02/2001
SELAIN memiliki penyerang kembar yang bakal menggegar, Pulau Pinang kini boleh mengukir senyum kerana benteng pertahanannya mampu untuk mengekang pelbagai strategi asakan pasukan lawan selepas mengharungi enam perlawanan persahabatan.

Jurulatih, Irfan Bakti mula boleh mencongak barisan pertahanannya bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan kelab Divisyen Dua Switzerland _ FC Wvelflingen Ahad ini sebelum menghadapi ujian sebenar saingan bola sepak Piala FA bulan depan.

Keserasian Chee Wan Hoe, Yong Wong Seang, S. Nanthakumar dan Abdul Rahim Hassan walaupun belum menempuh ujian sebenar telah mengecewakan banyak penyerang lawan.

``Saya tidak mahu mendabik dada dengan pencapaian mereka kerana banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.

``Mereka belum lagi menempuh ujian sebenar, berhadapan dengan pasukan yang mempunyai pelbagai strategi untuk mencari gol,'' katanya ketika ditemui di Stadium Bandaraya, kelmarin.

Selepas mengharungi enam perlawanan barisan pertahanan yang dibarisi oleh Rahim, Chee, Yong, Nanthakumar, K Karunakaran dan Abdul Aziz Merican hanya melepaskan empat jaringan.

``Walaupun jaringan yang dilepaskan agak kecil saya masih mencari gandingan pertahanan yang betul-betul mantap,'' ujarnya.

Selepas menempuh enam perlawanan persahabatan barisan hadapan skuad Pulau Mutiara berjaya merobek gawang lawan menerusi 19 jaringan.

Dalam perlawanan Selasa lalu, Pulau Pinang menewaskan Kuala Lumpur 2-1 menerusi jaringan Mohd Noor Derus dan R. Suresh Kumar.

Dalam Kejohanan Empat Penjuru anjuran Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang berakhir Ahad lalu skuad Pulau Mutiara memenangi semua perlawanan menewaskan Pahang 4-0, Perlis 2-1 dan Gombak FC dari Singapura 1-0.

Sebelum ini dalam perlawanan persahabatan awal anak didik Irfan juga berjaya menumpaskan Telekom Melaka 6-2 dan Asell Kedah, 4-0.

Selain perlawanan persahabatan dengan FC Wvelflingen, Pulau Pinang juga akan bertemu Geylang FC dari Singapura di Stadium Negeri Batu Kawan pada 5 Mac.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bPRKojt9
© Utusan Melayu (M) Bhd