ARKIB : 01/05/2001
ENAM saingan bakal terhidang
untuk tatapan peminat bola sepak tanah air namun tumpuan utama seharusnya
pertemuan ``buku dengan ruas'' di antara pendahulu Liga Perdana Satu,
Terengganu yang berdepan pencabar kental Pulau Pinang malam ini, lapor ZAINUL
AZHAR ASHARI.
Reputasi tanpa kalah untuk
sepanjang enam daripada tujuh perlawanan setakat ini bukan sahaja menjulang
skuad ``penyu'' ke puncak takhta Liga Perdana Satu tetapi mencetus dendam
pasukan lawan terutama Pulau Pinang yang ingin memintas Terengganu selepas
hanya ketinggalan satu tangga di belakang.
Kemenangan penting buat
Terengganu sekalipun keputusan seri tidak akan mengubah kedudukan Pantai Timur
itu namun bagi melebarkan jurang setelah mengumpul 19 mata berbanding Pulau
Pinang (17 mata), skuad penyu memerlukan tiga mata penuh di gelanggang lawan
Stadium Batu Kawan.
Kehadiran Terengganu sudah
tentu disambut dengan saingan sengit bala tentera jurulatih Irfan Bakti yang
semakin garang bagaikan ``harimau kumbang'' untuk menghadapi pemain-pemain
handalan skuad ``penyu'' seperti penyerang Wan Rohaimi Ismail dan tonggak
pasukan kebangsaan, Rosdi Talib.
Berbeza pula pasukan di tangga
kelapan, Selangor (6 mata) masih tercari-cari hala tuju selepas kekalahan 0-1
kepada Negeri Sembilan, cuma membangkitkan semangat lawannya skuad tangga
tercorot Melaka (3 mata) yang malam ini cuba menagih untung di Stadium Shah
Alam.
Tidak kurang menarik perlawanan
di antara penghuni tangga ketiga, Kelantan yang menghadapi saingan terdekatnya
iaitu skuad ``bujang senang'' di Stadium Sarawak.
Kekalahan 0-2 kepada Selangor
bukannya jalan penamat bagi Kelantan yang tidak mahu kecewa lagi apabila
bertemu Sarawak kerana kegagalan bakal turun dari kedudukan asal.
Kelantan yang mengumpul 14 mata
memerlukan kemenangan atau sekurang-kurangnya seri kerana Sarawak hanya
ketinggalan satu mata di belakangnya untuk menghidupkan suasana di stadium
berkenaan.
Dua lagi perlawanan menarik
membabitkan Pahang dengan Johor di Stadium Darulmakmur, Kuantan manakala skuad
``warga kota'' menentang Negeri Sembilan di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala
Lumpur (KLFA) Cheras.
Pahang yang mengumpul 11 mata
kini menduduki tangga keenam sedangkan lawannya Kuala Lumpur cuma di tempat
kesembilan (6 mata).
Nun di utara, di Stadium Utama,
Kangar, pasukan tuan rumah Perlis yang menduduki tangga ketujuh (9 mata)
berdepan juara Piala Malaysia 2000, Perak yang setakat ini menjadi pasukan tiga
tangga terbawah (6 mata).
Pastinya, semangat ``singa
utara'' semakin bertambah, bukan sahaja disebabkan beraksi di gelanggang
sendiri malah untuk mencari semula penawar selepas tewas 1-3 kepada Terengganu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bahxeRKQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan