ARKIB : 19/04/1999
AKSI perlawanan bola sepak
Perdana Satu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang kelmarin memperlihatkan
kehebatan dua penyerang _ Azman Adnan dan Azizul Kamaluddin, tetapi kehebatan
jelas menjadi milik pemain skuad Harimau Kumbang menerusi jaringan hatrik yang menewaskan
Pahang 3-1.
Pertembungan antara dua pasukan
handalan itu menjadi pilihan kerana kedua-duanya berada di tangga teratas. Di
samping itu, Azman dan Azizul pula merupakan bekas penyerang kebangsaan yang
dikatakan kembali menyinar musim ini.
Pastinya, penonton mahu menilai
atau sekurang-kurangnya melihat sentuhan 'berbisa' kedua-dua penyerang
berwibawa itu.
Yang menarik, perlawanan di
Stadium Bandaraya Pulau Pinang itu turut sama disaksikan jurulatih kebangsaan,
Abdul Rahman Ibrahim.
Hajat penonton tercapai apabila
Azman yang gagal menyempurnakan tendangan penalti di awal babak permainan
membuktikan kehebatannya apabila memperoleh tiga jaringan buat pasukannya,
Pulau Pinang.
Begitu juga Azizul, sekalipun
dibayangi kehebatan Azman, selaku penyerang berwibawa, 'ayam tambatan' Pahang
itu masih mampu memperlihatkan kemahirannya memperoleh jaringan tunggal untuk
pasukannya.
Tidak hairan jika ada di
kalangan penonton menyifatkan pertemuan antara Pulau Pinang dengan Pahang
sebagai malam penuh aksi terutama apabila menyaksikan kewibawaan Azman.
Azman yang juga ketua pasukan
Pulau Pinang ketika ditemui selepas perlawanan memberitahu, persembahan
cemerlangnya itu berpunca daripada kegagalan menyempurnakan sepakan penalti.
''Selepas gagal sewaktu
tendangan penalti, hati saya berkata bahawa kekecewaan hanya akan melemahkan
saya. Sebab itulah saya segera berusaha melupakannya dan kembali menyemarakkan
semangat mencari sebanyak jaringan untuk menebus kehampaan itu,'' katanya.
Ketika ditanya apakah kehadiran
jurulatih kebangsaan Abdul Rahman turut menjadi penyumbang kepada prestasi
cemerlangnya, Azman hanya berkata, sebelum beraksi, dia memberitahu kesemua
pemain Pulau Pinang supaya menyifatkan pertemuan dengan Pahang sebagai
perlawanan akhir.
Azman yang tidak menyentuh
tentang prestasi terbaiknya dengan kehadiran Abdul Rahman, berkata, dia
berharap dapat meneruskan keupayaan seperti diperlihatkannya untuk membantu
Pulau Pinang mengekalkan piala Liga Perdana Satu di samping meraih kejuaraan
Piala Malaysia musim ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RbNLamep
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan