Sabtu, 11 Mac 2017

P. Pinang semakin cerah, Pahang tertekan

ARKIB : 06/09/2000
DUA jaringan Ooi Hoe Guan di minit keenam dan 65 memastikan Pulau Pinang menundukkan Kuala Lumpur 2-0 dalam persaingan bola sepak kumpulan B Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mencatat keputusan seri 1-1 pada pertemuan pertama 22 Ogos lepas di Stadium Bandaraya.

Pulau Pinang tidak perlu menunggu lama untuk menemui sasarannya apabila Hoe Guan menewaskan penjaga gol tuan rumah, Jamsari Sabian pada minit keenam dengan sepakan rendah dari jarak kira-kira 15 meter selepas menerima hantaran Hasmawi Hassan.

Pasukan itu berjaya mendahului 2-0 apabila Hoe Guan sekali lagi membuat rembatan kencang dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Moey Kok Heng dari sebelah kanan.

Jaringan itu menamatkan cabaran Kuala Lumpur, Pulau Pinang pula seolah-olah sudah berpuas hati dengan kedudukan mereka.

Sementara itu, di Stadium Darul Makmur, Pahang kian terhimpit untuk menyaingi atau memburu salah satu tempat ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia apabila menyerah 0-1 kepada pendahulu kumpulan A, Selangor.

Pahang kini berada di laluan yang menyulitkan untuk mencerahkan peluangnya sekali gus masih gagal mencuci aib kekalahan besar 1-5 peringkat pertama di Shah Alam lalu.

Sambil luka Tok Gajah kian parah, Selangor pula dengan selesa mengukuhkan cengkamannya selaku peneraju kumpulan dengan kemenangan tipis ini dan pungutan sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Begitupun, Pahang beroleh kesempatan keemasan untuk membuka jaringan menerusi cubaan solo pemenang Kasut Emas Perdana Satu, Shahrin Majid, kira-kira 30 meter dari kotak penalti Selangor.

Rembatan kaki kirinya menepati sasaran tetapi tangan kanan penjaga gol lawan, Azmin Azram Aziz lebih dulu menyekat hasrat tuan rumah untuk mendahului dengan tepisan bola keluar pada minit kesembilan.

Empat minit kemudian, ujian hampir sama dari jarak jauh buat Azmin berulang. Kali ini didatangkan oleh seorang lagi pemenang Kasut Emas, Azizul Kamaluddin namun penjaga gol kebangsaan tidak mudah panik untuk mendakap kemas.

Menyerap segala asakan jarak jauh Tok Gajah, pasukan pelawat dalam pada itu secara perlahan-lahan mengintai sebarang ruang sambil mengharapkan kesilapan lawan mampu membuka laluan.

Hasilnya, angkara kawalan kurang cermat oleh benteng tuan rumah, K. Ramachandran, Selangor mencipta kejutan dengan jaringan pendahuluan pada minit ke-21.

Tanpa perlu mengerah banyak tenaga, penyerang Selangor, M. Chandran mencuri bola daripada kawalannya lalu memperdayakan penjaga gol lawan, Zuraimi Hassan untuk memimpin Selangor 1-0.

Sesudah seperti kebuntuan ilham untuk memecah tembok utuh Red Giant menerusi gerakan padang atau cubaan jarak jauh, sepakan sudut seminit sebelum babak pertama tiba-tiba mendatangkan peluang jaringan penyamaan buat Pahang.

Menyambut sepakan tersebut, ketua pasukan Azaruddin Aziz meledakkan rembatan deras ke sebelah kiri gawang Selangor tetapi kepala Chandran sempat menyapa dengan tandukan keluar di atas garisan gol untuk meredakan situasi.

Ketika babak kedua berusia 11 minit, tuan rumah menemui ruang untuk membolosi gawang Selangor melalui gerakan bersama Anuar Jusoh dan Azaruddin.

Sayangnya sekali lagi kehampaan berada di pihak Pahang apabila tolakan Azaruddin itu tersekat dek ketenangan Azmin yang mengekang gawang Selangor.

Menerusi ketangkasan sepasang tangannya dan pengalaman antarabangsa jugalah, Azmin berterusan menghampakan satu lagi cubaan Azaruddin pada minit ke-65 dan tandukan Wan Rohaimi Ismail, tiga minit kemudian.

Di sebalik kelekaan Pahang memburu gol itu, Selangor melalui asakan balas meraih kesempatan pada minit ke-75 dengan rembatan kencang Nazzab Hidzan tetapi ia cuma mengena palang gol sekali gus melegakan seketika Zuraimi.

Di Stadium Sarawak, bekas pemain tengah kebangsaan, Mohd. Nazri Yunos menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menyumbang kemenangan tipis 1-0 Sarawak ke atas Terengganu, sekali gus mencerahkan peluang skuad Bujang Senang untuk mara ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia dari kumpulan C.

Nazri menanduk masuk jaringan berharga itu pada babak kedua perlawanan minit ke-53 hasil hantaran silang Ramos Sari.

Ia adalah kemenangan ketiga Sarawak bagi mengumpul sembilan mata dan terus mencerahkan peluangnya ke suku akhir.

Terengganu yang sebelum ini tewas 2-0 kepada Sabah, perlu memastikan kemenangan pada perlawanan berikutnya bagi mengiringi Sarawak ke suku akhir.

Terengganu masih kekal mengumpul empat mata daripada empat perlawanan hasil satu kemenangan, satu seri dan dua tewas.

Bagaimanapun mereka kini berkongsi mata dengan Sabah tetapi di tangga tercorot kumpulan C selepas Johor FC dan Sabah seri tanpa jaringan di Pasir Gudang.

Johor FC di tangga kedua dengan lima mata.

Di Stadium Likas, Sabah dan Johor FC sekadar terikat tanpa jaringan dalam perlawanan kumpulan C.

Skuad tuan rumah yang memberi tentangan sengit bagaimanapun gagal menyempurnakan beberapa pelunag keemasan.

Keputusan seri ini bakal menyaksikan Sabah berdepan tugas berat untuk meneruskan cabaran ke suku akhir dengan hanya dua baki perlawanan.

Kejayaan menewaskan Terengganu 2-0, Sabtu lalu nampaknya belum memberi jaminan buat tuan rumah, walaupun Mohd Fareed Shah Hassan berjaya membolosi bentang lawan di minit ke-28.

Dia pantas melarikan bola selepas menerima hantaran daripada Madzalan Emoi, tetapi tolakan rakan sepasukannya itu gagal disempurnakan oleh penyerang Mohd Jaya Kassim.

Di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, tuan rumah Brunei mencatat keputusan seri 2-2 dengan Melaka dalam saingan kumpulan A.

Pemain tengah Abang Nosillmy mengejutkan pasukan pelawat di minit ke-15, sebelum penyerang Riwandi Wahid menjadikan kedudukan 2-0 untuk Brunei pada minit ke-58.

Melaka bangkit mendekatkan jurang menerusi Sri Jaafar Rahman di minit ke-77 dan seminit kemudian Hardi Jaafar berjaya menyamakan kedudukan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b0JxE8lu © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 6 Mac 2017

P. Pinang kempunan juara Liga

ARKIB : 30/07/2000
AKHIRNYA, Pulau Pinang terlepas peluang untuk menjulang piala Liga Perdana Satu selepas diberi tentangan sengit oleh Brunei dalam perlawanan penutup tirai yang berkesudahan tanpa jaringan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, semalam.

Ini adalah kegagalan kali kedua untuk Pulau Pinang selepas tewas dalam perlawanan akhir Piala FA kepada Terengganu Jun lalu.

Pulau Pinang juga gagal mengulangi kejayaannya menjulang piala Liga Perdana Satu selepas melakukannya pada 1998.

Selangor yang berkongsi 42 mata dengan Pulau Pinang tetapi berada di tangga kedua di belakang skuad ''harimau kumbang'' berdasarkan jaringan memastikan kejuaraan berkenaan setelah mengatasi Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Perlawanan di Bandar Seri Begawan cukup menarik kerana Pulau Pinang turun dengan penuh semangat untuk mencari tiga mata penuh untuk mengatasi Selangor yang turut berkongsi 42 mata tetapi kelebihan jaringan memihak kepada skuad ''harimau kumbang'' untuk menghuni tangga teratas liga.

Sebaik perlawanan bermula Pulau Pinang dikejutkan dengan serangan pantas Brunei yang memperoleh kesempatan menembusi kotak penalti pasukan pelawat.

Riwandi Wahid yang mendapat hantaran Radiman Abdul Rahman bagaimanapun gagal membuka tirai jaringan apabila sepakannya terkeluar pada minit ke-2.

Pasukan pelawat turut dihidangkan peluang keemasan hasil hantaran cantik Ng Kok Heng ke depan gawang Brunei tetapi tandukan Hasmawi Hassan berjaya ditepis penjaga gol Alizanda Sitom pada minit ke-11

Ternyata nasib masih tidak menyebelahi Pulau Pinang apabila sekali peluang keemasan terlepas setelah hantaran tinggi Moey Kok Hong sekadar menyaksikan bola tandukan Wong Kah Loon terkena palang pada minit ke-42, percubaan terakhir sebelum babak pertama berakhir dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Permulaan separuh masa kedua juga tidak memihak kepada Pulau Pinang apabila penjaga gawang Brunei, Azalinda Sitom berkasi cemerlang menepis rembatan kencang Moey Kok Hong pada minit ke-48.

Sebaliknya, Brunei terus mengancam menerusi hantaran Irwan Mohammad tetapi Abang Norsillmy Abang Taha menyepak tinggi melepasi palang gol Pulau Pinang pada minit ke-75.

BRUNEI: Alizanda Sitom, Saiful Rizal Awang, Rosli Liman, Salehuddin Damit, Sharimin Hairul Sharbini, Fadlin Galawat, Shahrul Rizal Abdul Rahman, Irwan Mohammad, Abang Norsillmy Abang Taha, Radiman Abdul Rahman, Riwandi Wahit.

PULAU PINANG: Kamarulzaman Hassan, Yong Woon Seang, Chee Wan Hoe, Khairil Zainal, Fauzi Soh, Ng. Kok Heng, Moey Kok Hong, R. Suresh Kumar, Wong Kah Loon (Mohd. Azli Fasya), Ooi Hoe Guan (Faizal Zainal), Hasmawi Hassan.

Sementara itu di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur menafikan langkahan Sabah ke Perdana Satu musim depan selepas menewaskan lawan itu 3-2.

Sabah akan bermain dalam Perdana Dua musim depan bersama Brunei.

Kuala Lumpur mendahului 2-1 pada separuh masa pertama hasil dua jaringan Rosli Derus pada minit ke-12 dan 15 dan Rizal Awang Jad merapatkan jurang untuk Sabah pada minit ke-22.

Bagaimanapun, Mohd. Farid Dewan melebarkan kedudukan 3-1 untuk Kuala Lumpur menerusi jaringan minit ke-51 sebelum Redzuan Ahmad Khan kembali merapatkan kedudukan 3-2 pada minit ke-69.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4aYcFoWE7

© Utusan Melayu (M) Bhd

P. Pinang sudah terbayang

ARKIB : 26/07/2000
 
PARA pemain Sabah meraikan kegembiraan selepas memperoleh gol pembukaan menerusi Rezuan Aman Khan (dua dari kanan) ketika bertemu Johor pada bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Likas, semalam. Sabah menang 3-1.

BAYANGAN piala liga bola sepak Perdana Satu semakin hampir buat Pulau Pinang yang membelasah Kuala Lumpur 4-0 dalam perlawanan menarik di Stadium Bandaraya, semalam.

Kemenangan besar Pulau Pinang itu diperoleh menerusi jaringan R. Suresh Kumar pada minit ke-16 dan 72, Moey Kok Hong (40) dan Hasmawi Hassan pada minit ke-50).

Walaupun mempunyai baki satu perlawanan menentang Brunei Sabtu ini, kejayaan Pulau Pinang semalam cukup berharga bagi melebarkan jurang dengan pencabar terdekatnya Selangor menerusi kelebihan jaringan selepas kedua-dua pasukan berkongsi 42 mata.

Dengan semangat membara, Pulau Pinang melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu Kuala Lumpur sebaik pengadil Anuar Abu meniupkan wisel permulaan permainan.

Hasilnya, selepas beberapa percubaan, Pulau Pinang tidak lagi mensia-siakan peluang untuk mencari jaringan pembukaan.

Hantaran Ng Kok Heng ke depan gawang Kuala Lumpur menyaksikan tandukan R. Suresh Kumar terkena palang tetapi bola melantun masuk ke dalam gol tanpa dapat diselamatkan penjaga gol Shaharuddin Ahmad pada minit ke-16.

Jaringan tersebut menyemarakkan lagi semangat pemain Pulau Pinang untuk terus memberi tekanan kepada Kuala Lumpur tetapi penjaga gol skuad warga kota menjadi penghalang apabila menepis beberapa percubaan berbahaya.

Bagaimanapun, nasib Kuala Lumpur bertambah malang apabila tanpa disangka, sepakan percuma Moey Kok Hong dari jarak 25 meter melencong masuk ke penjuru gawang Kuala Lumpur untuk Pulau Pinang menambah jaringan pada minit ke-40 bagi mendahului 2-0 sehingga berakhir babak pertama.

Separuh masa kedua juga membawa padah kepada Kuala Lumpur selepas menerima asakan berterusan daripada Pulau Pinang.

Sepakan percuma Fauzi Soh tepat ke kaki Moey Kok Hong, yang kemudiannya menolak pendek kepada Hasmawi Hassan untuk penyerang itu merembat kencang melepasi penjaga gol Shaharuddin Ahmad pada minit ke-50.

Asakan berterusan daripada Pulau Pinang memerangkap Kuala Lumpur yang semakin tertekan.

Pemain pertahanan Pulau Pinang, Yong Woon Seang bertindak bijak melorongkan bola kepada R. Suresh Kumar yang tidak melepaskan peluang menyepak masuk jaringan minit ke-72 untuk Pulau Pinang mendahului 4-0.

Sementara itu di Stadium Utama, Kangar, Perak terkeluar daripada persaingan untuk merebut gelaran juara Perdana Satu apabila hanya mampu mengutip satu mata selepas diikat Perlis tanpa jaringan.

Perlawanan semalam tidak menampakkan usaha bersemangat Perak walaupun menggempur hebat kubu pasukan tuan rumah tetapi Perlis gagah mempertahankan asakan Perak.

Dengan keputusan itu, Perak kini mengumpul 38 mata, empat mata di belakang Pulau Pinang dan Selangor yang berkongsi 42 mata.

Menang sekalipun pada perlawanan terakhir tidak menggugat kedua-dua pasukan itu tetapi sekurang-kurangnya pasukan Karl Heinz Weigang menduduki tempat ketiga liga
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4aYWmFkWB

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 4 Mac 2017

Jentera Pulau Pinang semakin mantap

ARKIB : 06/07/2000
KEMAMPUAN seluruh pemain untuk mengatur gerakan melegakan Pulau Pinang yang kini sudah bersedia beraksi di mana sahaja termasuk menghadapi Selangor dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Berdasarkan kepada perlawanan terdahulu, Pulau Pinang tidak lagi bergantung kepada pemain tertentu untuk menghasilkan gol kerana kesemua pemain yang disenaraikan mempunyai keupayaan merobek kubu lawan, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Jurulatih Irfan Bakti, memberitahu, komitmen kesemua pemain menguatkan keyakinan kepada Pulau Pinang untuk mempamerkan permainan lebih baik dalam usaha mengekalkan kedudukan di tangga teratas Perdana Satu.

''Walaupun Selangor sebuah pasukan yang kuat, saya tetap yakin dengan pemain Pulau Pinang kerana kemampuan mereka bermain di mana sahaja,'' kata beliau ketika dihubungi di Pulau Pinang, semalam.

Bagaimanapun, kata Irfan, pemain Pulau Pinang seharusnya memperbaiki beberapa kelemahan dalam usaha untuk memenuhi matlamat bagi mengungguli takhta Perdana Satu.

''Pemain memberikan komitmen cukup baik...cuma sedikit sahaja kelemahan perlu diatasi terutama dalam mencari penyudah yang berkesan,'' tambah beliau.

Menurut Irfan, pemain Pulau Pinang dapat melakukannya sebagaimana ditunjukkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini sehingga membolehkan skuad ''harimau kumbang'' melonjak ke kedudukan tersebut.

Sementara itu, jurulatih Pahang, Fuzemi Ibrahim berkata, kekalahan 0-1 kepada Pulau Pinang disebabkan pemainnya gagal menyaingi rentak permainan skuad ''harimau kumbang''.

''Kita (Pahang) sudah mengatur corak taktikal tetapi pemain gagal menunjukkan tahap permainan seperti diharapkan dalam separuh masa pertama yang menyebabkan pintu gol bocor pada minit ke-11,'' kata beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4aO2YVda9 © Utusan Melayu (M) Bhd

P. Pinang terus berkuasa

ARKIB : 05/07/2000
PULAU Pinang meneruskan penguasaan di tangga teratas bole sepak Liga Perdana Satu apabila menambah tiga mata penuh selepas menewaskan Pahang 1-0 dalam perlawanan di Stadium Bandaraya, semalam.

Jaringan tunggal pulau pinang diperoleh menerusi Moey Kok Hong pada minit ke-11.

Pada babak pertama, Pulau Pinang mula menunjukkan kebangkitan apabila Hasmawi Hassan membuat kencang dari jarak 25 meter, tetapi bola berjaya ditepis penjaga gol Pahang, Mudzar Mohamad pada minit ketiga permainan.

Pasukan pelawat mempamerkan aksi kurang bermaya apabila menerima asakan bertali arus tuan rumah yang akhirnya menghukum Pahang.

Berpunca dripada tindakan penjaga gawang Mudzar Mohamad menumbuk bola ke tengah padang, menyaksikan Fauzi Soh terus menyambar kesempatan yang terhidang dan melakukan rembatan kencang ke arah pintu gol Pahang.

Rembatan itu kemudian disudahi dengan tandukan Moey Kok Hong untuk jaringan pertama Pulau Pinang pada minit ke-11.

Tuan rumah mendapat peluang lagi turut tersaji selepas itu, namun barisan serangannya gagal memanfaatkan kesempatan sehingga berakhir babak pertama dengan Pulau Pinang mendahului 1-0.

Permulaan separuh masa kedua pula gagal menyajikan aksi menarik tanpa sebarang percubaan bahaya daripada kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, Pulau Pinang tetap mempunyai kesempatan hasil rembatan kencang Khairil Zainal dari jarak 30 meter, tetapi berjaya ditangkap penjaga gol gantian Pahang, Azrul Hisyam Yusof pada minit ke-67.

Begitu juga Pahang terlepas peluang apabila penjaga gol Pulau Pinang, Kamarulzaman Hassan menjadi penghalang selepas menepis rembatan kencang Wan Ahmad Ridzuan pada minit ke-73.

Pasukan tuan rumah kembali melakukan beberapa serangan balas tetapi gagal menepati sasaran.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4aNzYVc00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 21 Januari 2017

KEPUTUSAN PENUH SELANGOR 1-0 PULAU PINANG

OLEH – AHMAD YAAKOB
Selangor  1-0 Pulau Pinang
m-34 Adam Norazlin
m-44 Foerkey Doe
PEMAIN SELANGOR
22 MD ZARIF IRFAN
04 HALIM ZAINAL
13 RAZMAN ROSLAN
15 RAIMI MD NOOR
17 RIZAL FAHMI ROSID
18 UKAH
08 SAIFUL RIDUAN SELAMAT
09 ADAM NOR AZLIN
10 FORKEY DOE
20 SYAMI
23 S VENOOD
PEMAIN GANTIAN
19 AFIQ AZMI
03 K.KANNAN
24 FITRI SYAZWAN
PEMAIN PULAU PINANG
01 SYED ADNEY
02 MAFRY BALANG
04 REINALDO LOBO
05 DIOGO FERREIRA
19 REDZUAN SUHAIDI
14 SYAHMI
20 RAFIUDDIN RODIN
17 FAIZAT GHAZALI
23 ANDY RUSELL
13 FAIZ SUBRI
07 JAFRI FIRDAUS
PEMAIN GANTIAN
11 AZRUL AHMAD
18 ZULKHAIRI ZULKIFLI

21 FAILEE GHAZALI

KEPUTUSAN MASA PERTAMA SELANGOR 1-0 PULAU PINANG

OLEH – AHMAD YAAKOB
Selangor  1-0 Pulau Pinang
m-34 Adam Norazlin
m-44 Foerkey Doe
PEMAIN SELANGOR
22 MD ZARIF IRFAN
04 HALIM ZAINAL
13 RAZMAN ROSLAN
15 RAIMI MD NOOR
17 RIZAL FAHMI ROSID
18 UKAH
08 SAIFUL RIDUAN SELAMAT
09 ADAM NOR AZLIN
10 FORKEY DOE
23 S VENOOD
PEMAIN GANTIAN
19 AFIQ AZMI
PEMAIN PULAU PINANG

11 AZRUL AHMAD