Sabtu, 11 Mac 2017

P. Pinang semakin cerah, Pahang tertekan

ARKIB : 06/09/2000
DUA jaringan Ooi Hoe Guan di minit keenam dan 65 memastikan Pulau Pinang menundukkan Kuala Lumpur 2-0 dalam persaingan bola sepak kumpulan B Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mencatat keputusan seri 1-1 pada pertemuan pertama 22 Ogos lepas di Stadium Bandaraya.

Pulau Pinang tidak perlu menunggu lama untuk menemui sasarannya apabila Hoe Guan menewaskan penjaga gol tuan rumah, Jamsari Sabian pada minit keenam dengan sepakan rendah dari jarak kira-kira 15 meter selepas menerima hantaran Hasmawi Hassan.

Pasukan itu berjaya mendahului 2-0 apabila Hoe Guan sekali lagi membuat rembatan kencang dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Moey Kok Heng dari sebelah kanan.

Jaringan itu menamatkan cabaran Kuala Lumpur, Pulau Pinang pula seolah-olah sudah berpuas hati dengan kedudukan mereka.

Sementara itu, di Stadium Darul Makmur, Pahang kian terhimpit untuk menyaingi atau memburu salah satu tempat ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia apabila menyerah 0-1 kepada pendahulu kumpulan A, Selangor.

Pahang kini berada di laluan yang menyulitkan untuk mencerahkan peluangnya sekali gus masih gagal mencuci aib kekalahan besar 1-5 peringkat pertama di Shah Alam lalu.

Sambil luka Tok Gajah kian parah, Selangor pula dengan selesa mengukuhkan cengkamannya selaku peneraju kumpulan dengan kemenangan tipis ini dan pungutan sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Begitupun, Pahang beroleh kesempatan keemasan untuk membuka jaringan menerusi cubaan solo pemenang Kasut Emas Perdana Satu, Shahrin Majid, kira-kira 30 meter dari kotak penalti Selangor.

Rembatan kaki kirinya menepati sasaran tetapi tangan kanan penjaga gol lawan, Azmin Azram Aziz lebih dulu menyekat hasrat tuan rumah untuk mendahului dengan tepisan bola keluar pada minit kesembilan.

Empat minit kemudian, ujian hampir sama dari jarak jauh buat Azmin berulang. Kali ini didatangkan oleh seorang lagi pemenang Kasut Emas, Azizul Kamaluddin namun penjaga gol kebangsaan tidak mudah panik untuk mendakap kemas.

Menyerap segala asakan jarak jauh Tok Gajah, pasukan pelawat dalam pada itu secara perlahan-lahan mengintai sebarang ruang sambil mengharapkan kesilapan lawan mampu membuka laluan.

Hasilnya, angkara kawalan kurang cermat oleh benteng tuan rumah, K. Ramachandran, Selangor mencipta kejutan dengan jaringan pendahuluan pada minit ke-21.

Tanpa perlu mengerah banyak tenaga, penyerang Selangor, M. Chandran mencuri bola daripada kawalannya lalu memperdayakan penjaga gol lawan, Zuraimi Hassan untuk memimpin Selangor 1-0.

Sesudah seperti kebuntuan ilham untuk memecah tembok utuh Red Giant menerusi gerakan padang atau cubaan jarak jauh, sepakan sudut seminit sebelum babak pertama tiba-tiba mendatangkan peluang jaringan penyamaan buat Pahang.

Menyambut sepakan tersebut, ketua pasukan Azaruddin Aziz meledakkan rembatan deras ke sebelah kiri gawang Selangor tetapi kepala Chandran sempat menyapa dengan tandukan keluar di atas garisan gol untuk meredakan situasi.

Ketika babak kedua berusia 11 minit, tuan rumah menemui ruang untuk membolosi gawang Selangor melalui gerakan bersama Anuar Jusoh dan Azaruddin.

Sayangnya sekali lagi kehampaan berada di pihak Pahang apabila tolakan Azaruddin itu tersekat dek ketenangan Azmin yang mengekang gawang Selangor.

Menerusi ketangkasan sepasang tangannya dan pengalaman antarabangsa jugalah, Azmin berterusan menghampakan satu lagi cubaan Azaruddin pada minit ke-65 dan tandukan Wan Rohaimi Ismail, tiga minit kemudian.

Di sebalik kelekaan Pahang memburu gol itu, Selangor melalui asakan balas meraih kesempatan pada minit ke-75 dengan rembatan kencang Nazzab Hidzan tetapi ia cuma mengena palang gol sekali gus melegakan seketika Zuraimi.

Di Stadium Sarawak, bekas pemain tengah kebangsaan, Mohd. Nazri Yunos menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menyumbang kemenangan tipis 1-0 Sarawak ke atas Terengganu, sekali gus mencerahkan peluang skuad Bujang Senang untuk mara ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia dari kumpulan C.

Nazri menanduk masuk jaringan berharga itu pada babak kedua perlawanan minit ke-53 hasil hantaran silang Ramos Sari.

Ia adalah kemenangan ketiga Sarawak bagi mengumpul sembilan mata dan terus mencerahkan peluangnya ke suku akhir.

Terengganu yang sebelum ini tewas 2-0 kepada Sabah, perlu memastikan kemenangan pada perlawanan berikutnya bagi mengiringi Sarawak ke suku akhir.

Terengganu masih kekal mengumpul empat mata daripada empat perlawanan hasil satu kemenangan, satu seri dan dua tewas.

Bagaimanapun mereka kini berkongsi mata dengan Sabah tetapi di tangga tercorot kumpulan C selepas Johor FC dan Sabah seri tanpa jaringan di Pasir Gudang.

Johor FC di tangga kedua dengan lima mata.

Di Stadium Likas, Sabah dan Johor FC sekadar terikat tanpa jaringan dalam perlawanan kumpulan C.

Skuad tuan rumah yang memberi tentangan sengit bagaimanapun gagal menyempurnakan beberapa pelunag keemasan.

Keputusan seri ini bakal menyaksikan Sabah berdepan tugas berat untuk meneruskan cabaran ke suku akhir dengan hanya dua baki perlawanan.

Kejayaan menewaskan Terengganu 2-0, Sabtu lalu nampaknya belum memberi jaminan buat tuan rumah, walaupun Mohd Fareed Shah Hassan berjaya membolosi bentang lawan di minit ke-28.

Dia pantas melarikan bola selepas menerima hantaran daripada Madzalan Emoi, tetapi tolakan rakan sepasukannya itu gagal disempurnakan oleh penyerang Mohd Jaya Kassim.

Di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, tuan rumah Brunei mencatat keputusan seri 2-2 dengan Melaka dalam saingan kumpulan A.

Pemain tengah Abang Nosillmy mengejutkan pasukan pelawat di minit ke-15, sebelum penyerang Riwandi Wahid menjadikan kedudukan 2-0 untuk Brunei pada minit ke-58.

Melaka bangkit mendekatkan jurang menerusi Sri Jaafar Rahman di minit ke-77 dan seminit kemudian Hardi Jaafar berjaya menyamakan kedudukan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b0JxE8lu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan