Isnin, 6 Mac 2017

P. Pinang sudah terbayang

ARKIB : 26/07/2000
 
PARA pemain Sabah meraikan kegembiraan selepas memperoleh gol pembukaan menerusi Rezuan Aman Khan (dua dari kanan) ketika bertemu Johor pada bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Likas, semalam. Sabah menang 3-1.

BAYANGAN piala liga bola sepak Perdana Satu semakin hampir buat Pulau Pinang yang membelasah Kuala Lumpur 4-0 dalam perlawanan menarik di Stadium Bandaraya, semalam.

Kemenangan besar Pulau Pinang itu diperoleh menerusi jaringan R. Suresh Kumar pada minit ke-16 dan 72, Moey Kok Hong (40) dan Hasmawi Hassan pada minit ke-50).

Walaupun mempunyai baki satu perlawanan menentang Brunei Sabtu ini, kejayaan Pulau Pinang semalam cukup berharga bagi melebarkan jurang dengan pencabar terdekatnya Selangor menerusi kelebihan jaringan selepas kedua-dua pasukan berkongsi 42 mata.

Dengan semangat membara, Pulau Pinang melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu Kuala Lumpur sebaik pengadil Anuar Abu meniupkan wisel permulaan permainan.

Hasilnya, selepas beberapa percubaan, Pulau Pinang tidak lagi mensia-siakan peluang untuk mencari jaringan pembukaan.

Hantaran Ng Kok Heng ke depan gawang Kuala Lumpur menyaksikan tandukan R. Suresh Kumar terkena palang tetapi bola melantun masuk ke dalam gol tanpa dapat diselamatkan penjaga gol Shaharuddin Ahmad pada minit ke-16.

Jaringan tersebut menyemarakkan lagi semangat pemain Pulau Pinang untuk terus memberi tekanan kepada Kuala Lumpur tetapi penjaga gol skuad warga kota menjadi penghalang apabila menepis beberapa percubaan berbahaya.

Bagaimanapun, nasib Kuala Lumpur bertambah malang apabila tanpa disangka, sepakan percuma Moey Kok Hong dari jarak 25 meter melencong masuk ke penjuru gawang Kuala Lumpur untuk Pulau Pinang menambah jaringan pada minit ke-40 bagi mendahului 2-0 sehingga berakhir babak pertama.

Separuh masa kedua juga membawa padah kepada Kuala Lumpur selepas menerima asakan berterusan daripada Pulau Pinang.

Sepakan percuma Fauzi Soh tepat ke kaki Moey Kok Hong, yang kemudiannya menolak pendek kepada Hasmawi Hassan untuk penyerang itu merembat kencang melepasi penjaga gol Shaharuddin Ahmad pada minit ke-50.

Asakan berterusan daripada Pulau Pinang memerangkap Kuala Lumpur yang semakin tertekan.

Pemain pertahanan Pulau Pinang, Yong Woon Seang bertindak bijak melorongkan bola kepada R. Suresh Kumar yang tidak melepaskan peluang menyepak masuk jaringan minit ke-72 untuk Pulau Pinang mendahului 4-0.

Sementara itu di Stadium Utama, Kangar, Perak terkeluar daripada persaingan untuk merebut gelaran juara Perdana Satu apabila hanya mampu mengutip satu mata selepas diikat Perlis tanpa jaringan.

Perlawanan semalam tidak menampakkan usaha bersemangat Perak walaupun menggempur hebat kubu pasukan tuan rumah tetapi Perlis gagah mempertahankan asakan Perak.

Dengan keputusan itu, Perak kini mengumpul 38 mata, empat mata di belakang Pulau Pinang dan Selangor yang berkongsi 42 mata.

Menang sekalipun pada perlawanan terakhir tidak menggugat kedua-dua pasukan itu tetapi sekurang-kurangnya pasukan Karl Heinz Weigang menduduki tempat ketiga liga
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4aYWmFkWB

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan