Khamis, 1 Disember 2016

Rekod P. Pinang lebur

ARKIB : 25/04/1999
PERAK1 Pulau Pinang 0
JARINGAN tunggal pemain tengah Perak, Azrul Amri Burhan pada awal permainan membantu skuad Seladang menang 1-0, sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu liga, Pulau Pinang pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Azrul yang bermain baik sepanjang permainan penuh, merembat bola masuk dari jarak dekat pada minit ke-11 hasil sepakan sudut dari sebelah kanan Pulau Pinang.

Pulau Pinang, yang tewas besar 1-4 kepada Terengganu dalam Piala FA Selasa lalu, menurunkan bintang penyerangnya, Azman Adnan tetapi bekas penyerang kebangsaan dan Selangor itu gagal melepasi benteng kukuh Perak yang diterajui Roslan Hamid.

Begitu pun, pasukan pelawat lebih menguasai permainan apabila gandingan Azman dan Hasmawi Hassan kerap menghuru-harakan benteng Perak namun skuad juara Piala Malaysia itu tidak goyah.

Jelas peranan jurulatih Perak, Karl Heinz Weigang tetap diperlukan untuk melihat Seladang mencapai kemenangan selepas prestasi tidak menentu sebelum ini.

Biarpun lebih banyak bertahan, Perak, yang beraksi dalam dua perlawanan tanpa Weigang yang kembali ke negara minggu lalu, masih cuba mencari gol untuk melebarkan jaringan tetapi barisan serangannya yang dikemudi Mior Nor Samsul Kamal gagal menepati sasaran. Tidak banyak peluang menghasilkan gol dicipta oleh kedua-dua pasukan pada kedua-dua separuh masa kecuali satu peluang yang diperoleh Perak yang berjaya dimanfaatkan Azrul untuk Perak kembali bangkit memberi saingan dalam Perdana Satu.

Kekalahan Pulau Pinang yang juga juara bertahan Perdana Satu, tidak mengubah kedudukan skuad Moey Yoke Ham itu selaku pendahulu liga dengan 17 mata daripada lapan perlawanan.

Manakala Perak kekal di tangga kelapan liga dengan 10 mata selepas lapan perlawanan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rf9WaKNJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Mampukah Harimau Kumbang mengaum di Perak

ARKIB : 24/04/1999
BIARKAN aksi Piala FA berlalu dengan penuh kejutan kerana perhatian lebih tertumpu kepada saingan getir Liga Perdana Satu yang bersambung lagi malam ini.

Tentunya kekalahan 1-4 juara Liga Perdana Satu 1998, Pulau Pinang kepada Terengganu dalam Piala FA bukan ukuran sebenar skuad ''Harimau Kumbang'' yang hanya menurunkan ramai pemain simpanannya.

Sebaliknya, perlawanan dengan Perak dalam Liga Perdana Satu malam ini seharusnya menjadi detik pertemuan menarik antara dua juara, juara Piala Malaysia dan Liga Perdana Satu.

Namun, jika kekalahan besar Pulau Pinang kepada Terengganu menjadi ukuran, juara Piala Malaysia 1998, Perak nampaknya tersilap langkah kerana barisan yang akan turun ternyata berbeza.

Pastinya, pencipta jaringan hatrik sewaktu Pulau Pinang menewaskan Pahang 3-1, penyerang Azman Adnan kembali menjadi ''duri dalam daging'' kepada ''sang Seladang'' di Stadium Perak.

Dengan masih menjadi pendahulu liga setakat ini selepas mengutip 17 mata, Pulau Pinang akan memastikan kemenangan dalam tempoh 90 minit menjadi kenyataan untuk mencerahkan peluang bagi mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Satu.

Tentunya, Azman yang tidak dapat diturunkan dalam Piala FA kerana kecederaan, pulih untuk kembali ''menggempur'' tetapi pertahanan Perak masih teguh diterajui tonggak berpengalaman Roslan Abdul Hamid.

Di Stadium Darulmakmur, Kuantan, skuad ''Tok Gajah'' mahu menebus kekecewaan selepas ditewaskan Pulau Pinang dengan memberikan tentangan sengit ke atas Kedah.

Kehampaan menyaksikan kedudukannya di tangga kedua berubah ke tempat kelima dengan berbekalkan 12 mata menyemarakkan lagi semangat Pahang untuk memburu kemenangan.

Bagaimanapun, Pahang yang memiliki penyerang berbisa Azizul Kamaluddin dan pemain muda Wan Rohaimi Ismail sudaha tentu diuji kehebatan tonggak Kedah yang turut memiliki kelebihan seperti penjaring terhebatnya, Ahmad Zalghafari Manaf.

Sementara, Sabah di tangga tercorot mahu mengubah ''nasib'' dengan menjadikan Stadium Likas Medan untuk memperbaikki kedudukannya apabila menghadapi Sarawak.

Di Pantai Timur, Terengganu bersemangatkan kemenangan besar ke atas Pulau Pinang pasti lebih bersemangat untuk menentang Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, skuad ''Penyu'' mungkin di sambar ''Helang'' sekiranya tidak berhati-hati dengan Kuala Lumpur, barisan pemain muda yang sudah tentu ingin mengekalkan kedudukannya di tangga kedua dengan mengumpul 13 mata setakat ini.

Begitu juga, pertemuan Negeri Sembilan dengan Brunei tetap menarik dengan pelbagai aksi menghiburkan untuk menghidupkan aksi bola sepak tanah air.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Rf3MXX6X © Utusan Melayu (M) Bhd

Azman nyata lebih hebat

ARKIB : 19/04/1999
AKSI perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang kelmarin memperlihatkan kehebatan dua penyerang _ Azman Adnan dan Azizul Kamaluddin, tetapi kehebatan jelas menjadi milik pemain skuad Harimau Kumbang menerusi jaringan hatrik yang menewaskan Pahang 3-1.

Pertembungan antara dua pasukan handalan itu menjadi pilihan kerana kedua-duanya berada di tangga teratas. Di samping itu, Azman dan Azizul pula merupakan bekas penyerang kebangsaan yang dikatakan kembali menyinar musim ini.

Pastinya, penonton mahu menilai atau sekurang-kurangnya melihat sentuhan 'berbisa' kedua-dua penyerang berwibawa itu.

Yang menarik, perlawanan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang itu turut sama disaksikan jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.

Hajat penonton tercapai apabila Azman yang gagal menyempurnakan tendangan penalti di awal babak permainan membuktikan kehebatannya apabila memperoleh tiga jaringan buat pasukannya, Pulau Pinang.

Begitu juga Azizul, sekalipun dibayangi kehebatan Azman, selaku penyerang berwibawa, 'ayam tambatan' Pahang itu masih mampu memperlihatkan kemahirannya memperoleh jaringan tunggal untuk pasukannya.

Tidak hairan jika ada di kalangan penonton menyifatkan pertemuan antara Pulau Pinang dengan Pahang sebagai malam penuh aksi terutama apabila menyaksikan kewibawaan Azman.

Azman yang juga ketua pasukan Pulau Pinang ketika ditemui selepas perlawanan memberitahu, persembahan cemerlangnya itu berpunca daripada kegagalan menyempurnakan sepakan penalti.

''Selepas gagal sewaktu tendangan penalti, hati saya berkata bahawa kekecewaan hanya akan melemahkan saya. Sebab itulah saya segera berusaha melupakannya dan kembali menyemarakkan semangat mencari sebanyak jaringan untuk menebus kehampaan itu,'' katanya.

Ketika ditanya apakah kehadiran jurulatih kebangsaan Abdul Rahman turut menjadi penyumbang kepada prestasi cemerlangnya, Azman hanya berkata, sebelum beraksi, dia memberitahu kesemua pemain Pulau Pinang supaya menyifatkan pertemuan dengan Pahang sebagai perlawanan akhir.

Azman yang tidak menyentuh tentang prestasi terbaiknya dengan kehadiran Abdul Rahman, berkata, dia berharap dapat meneruskan keupayaan seperti diperlihatkannya untuk membantu Pulau Pinang mengekalkan piala Liga Perdana Satu di samping meraih kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RbNLamep © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 30 November 2016

Pulau Pinang biar sehebat harimau kumbang

ARKIB : 14/04/1999
SEGALA-GALANYA dimiliki Pulau Pinang, hanya keyakinan yang tinggi seharusnya kekal di dalam diri pemain untuk beraksi segarang ''harimau kumbang'' bagi menghadapi perlawanan Liga Perdana Satu yang akan datang, ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Zain Omar, memberitahu, ini disebabkan Pulau Pinang dibarisi ramai pemain berkualiti bagi memantapkan kesemua posisi.

''Jadi, pemain perlu mengekalkan prestasi terbaik menerusi aksi lebih yakin dengan mengikut rentak ditunjukkan sewaktu menewaskan Sabah 2-1 dalam tempoh 90 minit permainan.

''Kesemua posisi mantap, jadi tidak ada alasan menampakkan kita (Pulau Pinang) lemah, kecuali disebabkan oleh mereka sendiri,'' kata beliau di Pulau Pinang semalam.

Lebih menggembirakan, kata beliau, Pulau Pinang mempunyai pemain simpanan yang keupayaannya setanding dengan barisan kesebelasan utama.

Di barisan serangan, selain mempunyai penyerang berbisa, Azman Adnan, Pulau Pinang masih mempunyai pilihan sama ada untuk menyenaraikan bekas pemain Kelantan, Badrisan Kadir atau pemain muda, Hasmawi Hassan.

Begitu juga benteng pertahanannya kukuh diterajui Moey Kok Hong, Chee Wan Hoe dan V. Thinagaran selain mempunyai pemain simpanan berwibawa seperti Abdul Rahim Hassan yang merupakan tonggak kesebelasan utama musim lalu.

''Inilah keistimewaan Pulau Pinang, kita mantap di kesemua posisi termasuk barisan tengah yang boleh dikendalikan Wong Kah Loon, R. Sureshkumar atau Shahril Arsat,'' tambah beliau.

Bagaimanapun, kata Zain, pemain khususnya ''muka baru'' seperti Hasmawi tidak perlu merasa rendah diri walaupun kurang pengalaman dalam Liga Perdana Satu.

''Dia (Hasmawi) bermain dengan baik, malah menjaringkan satu daripada dua gol sewaktu menentang Sabah yang seharusnya menjadi pembakar semangat untuk terus bermain dengan lebih cemerlang,'' kata beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RUCzs5rD © Utusan Melayu (M) Bhd

Cuma P. Pinang terus unggul -- Prestasi naik turun 9 pasukan

ARKIB : 12/04/1999
KETIKA juara bertahan, Pulau Pinang terus unggul di persada liga, sembilan pasukan lain menghadapi prestasi tidak konsisten yang menyaksikan kedudukan mereka dalam carta bola sepak Liga Perdana Satu saling berubah.

Sesudah enam perlawanan diharungi, hanya skuad Harimau Kumbang yang dibimbing jurulatih Moey Yoke Ham dan diterajui penyerang yang masih dianggap terbaik di negara ini, Azman Adnan mampu mengukuhkan kedudukan.

Skuad Pulau Mutiara itu unggul di depan dengan 14 mata hasil tiga kemenangan dan tiga seri selain dua mata bonus selepas penentuan sepakan penalti.

Begitupun, kedudukan Pulau Pinang belum selesa kerana mereka hanya mempunyai kelebihan dua mata di depan pencabar terdekat, Pahang diikuti Sarawak, Negeri Sembilan yang kurang semata di belakang Tok Gajah.

Namun, saingan pencabar Pulau Pinang tidak seperti yang diharapkan. Pahang, Sarawak, Negeri Sembilan mahupun skuad muda Kuala Lumpur dan Kedah sukar diramal prestasi masing-masing.

Tok Gajah, biarpun hanya kalah sekali daripada enam perlawanan, prestasi mereka jelas turun naik.

Meskipun tiga kemenangan berjaya diraih dan kini di tangga kedua di belakang Pulau Pinang, kekalahan besar 0-4 kepada Brunei masih menghantui skuad tanpa jurulatih itu.

Biarpun berjaya menundukkan pasukan mentah Kuala Lumpur 3-0 pada perlawanan terbaru mereka, Pahang masih memerlukan sentuhan lebih cemerlang untuk memastikan misi besar musim ini tercapai.

Sarawak harus merasa aib sesudah gagal memberi saingan ke atas skuad muda Kedah. Kekalahan 0-4 yang sekali gus meranapkan rekod tanpa kalah Bujang Senang seharusnya tidak berlaku ke atas pasukan Abdul Jalil Rambli berdasarkan reputasi mereka selaku juara liga 1997.

Tetapi pujian harus diberi kepada skuad Kenari didikan Azman Eusoff serta Kuala Lumpur bimbingan Mat Zan Mat Aris.

Pasukan warga kota mengalami nasib yang sama seperti Kedah apabila rekod tanpa kalah mereka dileburkan Pahang kelmarin, namun Kuala Lumpur bahkan Kedah sebenarnya harus dipandang sebagai satu ancaman besar oleh pasukan-pasukan lain.

Nasib malang menimpa skuad juara Piala Malaysia, Perak yang terperosok di tangga ketujuh liga _ juga mangsa prestasi tidak konsisten.

Sesudah membuat permulaan baik pada awal kempen, anak buah Karl Heinz Weigang mula hilang arah apabila tewas tiga kali berturut-turut, 0-3 di tangan Sarawak, 0-1 kepada Negeri Sembilan dan terbaru kecundang pula 2-3 di tangan pasukan yang juga mengalami prestasi tidak konsisten musim ini, Brunei di Ipoh.

Brunei bagaimanapun mungkin sedikit lewat mendapat tonik apabila mula bangkit sesudah tewas empat kali berturut-turut sejak awal kempen.

Kemenangan besar 4-0 ke atas Pahang dan 3-2 ke atas Perak boleh dianggap sebagai petanda baik bagi skuad David Booth itu bahawa mereka masih kekal dengan misi mengulangi pencapaian terbaik musim 1996/97.

Malang bagi skuad juara Perdana Dua dan naib juara Piala Malaysia 1998, Terengganu yang masih tercari-cari kemenangan sulung sesudah kempen berlangsung enam perlawanan.

Apa pun, skuad yang belum tewas seperti Pulau Pinang harus berwaspada kerana mereka juga pasti melalui tempoh tidak konsisten.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RTviMjOY © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 November 2016

Pulau Pinang semakin ghairah

ARKIB : 11/04/1999
PEMBURUAN mata penuh terhasil buat Pulau Pinang untuk terus mengungguli carta bola sepak Liga Perdana Satu menerusi kemenangan 2-1 ke atas Sabah di Stadium Bandaraya, semalam.

Selepas menewaskan Kedah 1-0, Pulau Pinang memastikan tempoh 90 minit menjadi miliknya di depan 6,000 penonton di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, Sabah membuat kejutan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi Harun Laban sebelum pemain tuan rumah Hasmawi Hassan menyumbat gol minit ke-39, diikuti jaringan Azman Adnan pada minit ke-72.

Permulaan babak pertama gagal menyajikan aksi memberangsangkan daripada kedua-dua pasukan. Pulau Pinang yang menurunkan Hasmawi gagal menemui sentuhan sekali pun begitu serasi bergandingan dengan penyerang berbisa Azman Adnan.

Sabah yang lebih bersandarkan kepada penyerang David Rocastle untuk menyengat di barisan depan skuad pelawat. Namun dalam kehambaran aksi, Sabah mencipta peluang terbaik bermula dengan sepakan Rizal Abang Jad terkena palang gol Pulau Pinang.

Bola yang melantun kemudiannya disepak lemah oleh Harun ke penjuru gawang Pulau Pinang tetapi penjaga gol Azlisham Ibrahim gagal menyelamatkan jaringan minit ke-21.

Tanpa menunggu lama, Pulau Pinang menyamakan kedudukan dengan gerakan hampir sama seperti Sabah.

Sepakan R. Suresh Kumar terkena tiang gol Sabah yang kemudiannya menyaksikan bola melantun untuk Hasmawi yang menyepak mudah menewaskan Khairul Azman Mohamad pada minit ke-39.

Kedudukan 1-1 merancakkan lagi permainan yang mencetuskan pertelingkahan di tengah padang sehingga menyebabkan Rocastle dilayangkan kad kuning oleh pengadil Ishak Ismail sebelum berakhir babak pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Pulau Pinang banyak melakukan gerakan pantas dengan Azman memperoleh dua peluang terbaik.

Dalam satu pergelutan di depan pintu gol Sabah, tendangan kencang Azman ditepis penjaga gawang Khairul Azman pada minit ke-46 sebelum tendangan kali keduanya melepasi palang seminit kemudian.

Sabah pula kembali mengancam tetapi rembatan jarak 30 meter Jainin Tinin ditepis Azlisham pada minit ke-56.

Selepas beberapa kali percubaan, Ooi Hoe Guan melakukan rembatan cantik yang menyaksikan Khairul gagal menangkap kemas untuk Azman merembat masuk jaringan minit ke-72.

PULAU PINANG: Azlisham Ibrahim, Moey Kok Hong, V. Thinagaran, Chee Wan Hoe, Yong Woon Seang, Asmawi Bakiri, Ooi Hoe Guan, R. Suresh Kumar (Nordin Khamis), Fauzi Soh (Wong Kah Loon), Hasmawi Hassan, Azman Adnan.

SABAH: Khairul Azman Mohamad, Jainin Tinin (Yap Wai Loon), Burhan Ajui, Veselin Kovacevic, Madzalan Emoi (Gapor Mohamad), Dunian Sulog, Rizal Abang Jad, Harun Laban, Hendry Saimpon, Jelius Ating, David Rocastle.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RTId64HJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Azman tidak hampakan Pulau Pinang

ARKIB : 09/04/1999
BERSANDARKAN barisan sama, Pulau Pinang lebih bersemangat untuk menghadapi Sabah dalam perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Bandaraya, esok.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah dalam tempoh 90 minit permainan jelas membayangkan betapa Pulau Pinang ''serik'' untuk mencipta keputusan seri yang sering tidak menyebelahi skuad ''Harimau Kumbang.''

Kekalahan 3-5 kepada Sarawak menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam tempoh 90 minit menjadi iktibar betapa Pulau Pinang selaku juara Liga Perdana Satu 1998 memerlukan kemenangan mutlak.

Bagaimanapun, selepas mengharungi perlawanan dengan Kedah, Pulau Pinang kembali berkeyakinan untuk memastikan tiga mata penuh menjadi miliknya.

Jurulatih Moey Yok Ham berkata, Pulau Pinang membuktikan kemampuan untuk menewaskan Kedah yang juga merupakan sebuah pasukan handal sekalipun dibarisi ramai pemain baru.

''Saya berharap, mereka (pemain) akan mempergunakan setiap kesempatan yang terhidang ketika menghadapi Sabah nanti,'' tambah beliau.

Pulau Pinang akan menentang Sabah dengan barisan handalan yang diketuai penyerang berbisa, Azman Adnan untuk mencari kemenangan berterusan bagi mencerahkan peluang mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Satu.

Selain Azman, turut memperkuatkan Pulau Pinang ialah rakan sepasukannya dari Selangor, penjaga gol, Azlisham Ibrahim, Shahril Arsat dan Asmawi Bakiri.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RSlRafPP © Utusan Melayu (M) Bhd