ARKIB : 12/04/1999
KETIKA juara bertahan, Pulau
Pinang terus unggul di persada liga, sembilan pasukan lain menghadapi prestasi
tidak konsisten yang menyaksikan kedudukan mereka dalam carta bola sepak Liga
Perdana Satu saling berubah.
Sesudah enam perlawanan
diharungi, hanya skuad Harimau Kumbang yang dibimbing jurulatih Moey Yoke Ham
dan diterajui penyerang yang masih dianggap terbaik di negara ini, Azman Adnan
mampu mengukuhkan kedudukan.
Skuad Pulau Mutiara itu unggul
di depan dengan 14 mata hasil tiga kemenangan dan tiga seri selain dua mata bonus
selepas penentuan sepakan penalti.
Begitupun, kedudukan Pulau
Pinang belum selesa kerana mereka hanya mempunyai kelebihan dua mata di depan
pencabar terdekat, Pahang diikuti Sarawak, Negeri Sembilan yang kurang semata
di belakang Tok Gajah.
Namun, saingan pencabar Pulau
Pinang tidak seperti yang diharapkan. Pahang, Sarawak, Negeri Sembilan mahupun
skuad muda Kuala Lumpur dan Kedah sukar diramal prestasi masing-masing.
Tok Gajah, biarpun hanya kalah
sekali daripada enam perlawanan, prestasi mereka jelas turun naik.
Meskipun tiga kemenangan
berjaya diraih dan kini di tangga kedua di belakang Pulau Pinang, kekalahan
besar 0-4 kepada Brunei masih menghantui skuad tanpa jurulatih itu.
Biarpun berjaya menundukkan
pasukan mentah Kuala Lumpur 3-0 pada perlawanan terbaru mereka, Pahang masih
memerlukan sentuhan lebih cemerlang untuk memastikan misi besar musim ini
tercapai.
Sarawak harus merasa aib
sesudah gagal memberi saingan ke atas skuad muda Kedah. Kekalahan 0-4 yang
sekali gus meranapkan rekod tanpa kalah Bujang Senang seharusnya tidak berlaku
ke atas pasukan Abdul Jalil Rambli berdasarkan reputasi mereka selaku juara
liga 1997.
Tetapi pujian harus diberi
kepada skuad Kenari didikan Azman Eusoff serta Kuala Lumpur bimbingan Mat Zan
Mat Aris.
Pasukan warga kota mengalami
nasib yang sama seperti Kedah apabila rekod tanpa kalah mereka dileburkan
Pahang kelmarin, namun Kuala Lumpur bahkan Kedah sebenarnya harus dipandang
sebagai satu ancaman besar oleh pasukan-pasukan lain.
Nasib malang menimpa skuad
juara Piala Malaysia, Perak yang terperosok di tangga ketujuh liga _ juga
mangsa prestasi tidak konsisten.
Sesudah membuat permulaan baik
pada awal kempen, anak buah Karl Heinz Weigang mula hilang arah apabila tewas
tiga kali berturut-turut, 0-3 di tangan Sarawak, 0-1 kepada Negeri Sembilan dan
terbaru kecundang pula 2-3 di tangan pasukan yang juga mengalami prestasi tidak
konsisten musim ini, Brunei di Ipoh.
Brunei bagaimanapun mungkin
sedikit lewat mendapat tonik apabila mula bangkit sesudah tewas empat kali
berturut-turut sejak awal kempen.
Kemenangan besar 4-0 ke atas
Pahang dan 3-2 ke atas Perak boleh dianggap sebagai petanda baik bagi skuad
David Booth itu bahawa mereka masih kekal dengan misi mengulangi pencapaian
terbaik musim 1996/97.
Malang bagi skuad juara Perdana
Dua dan naib juara Piala Malaysia 1998, Terengganu yang masih tercari-cari
kemenangan sulung sesudah kempen berlangsung enam perlawanan.
Apa pun, skuad yang belum tewas
seperti Pulau Pinang harus berwaspada kerana mereka juga pasti melalui tempoh
tidak konsisten.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RTviMjOY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan