Syajaratulhuda Mohamad Rosli
1 April 2017
Boo Lim (duduk kiri), Zainal
Abidin (dua dari kiri) dan Zairil (duduk kanan) bersama beberapa pemain Pulau
Pinang menunjukkan jersi baharu pasukan itu.
KETUA Jurulatih Pulau Pinang
baharu, Zainal Abidin Hassan optimis dalam menghadapi Felda United, Ahad nanti.
Menurutnya, sesi latihan berjalan
lancar bermula Isnin lalu dan berharap akan memperolehi kemenangan pada 9 April
nanti.
Beliau turut berharap agar
Harimau Kumbang membawa pulang tiga mata penuh pada perlawanan pertama dibawah
bimbingannya kerana menyifatkannya sebagai amat penting.
"Latihan berjalan dengan
lancar dan persediaan dibuat sejak hari pertama saya membimbing Pulau Pinang.
Apa yang penting, disiplin yang tinggi dalam pasukan, insyaALLAH kita akan
memperoleh kemenangan nanti.
"Saya yakin Pulau Pinang
akan menunjukkan prestasi yang baik namun saya tetap berdoa agar empat pemain
yang mengalami kecederaan dapat beraksi semula untuk menentang Felda
nanti," katanya kepada media.
Zainal Abidin berkata, Jafri
Chew, S Kumaahran, Rafiuddin Roddin, dan Andy Russell sedang dipulihkan
daripada kecederaan untuk waktu ini.
"Untuk waktu ini, semua
pemain yang mendapat panggilan kebangsaan telah pulang dan menjalini latihan
dengan segera. Nigel Dambiyaba pula akan mula berlatih pada Isnin ini kerana
dia baru tiba dari Papua New Guinea.
"Apa yang penting, saya mahu
pemain bermain dalam keadaan yang selesa dan tenang," katanya.
Terdahulu, Zainal Abidin bersama
Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari dan
Pengurus Besar Hotel Lone Pine, Khoo Boo Lim hadir di majlis kerjasama antara
FAP dan Hotel Lone Pine dalam penjualan dan promosi jersi baharu Harimau
Kumbang di Batu Feringghi di sini.
Mengulas tentang perkara itu,
Zairil berkata, FAP kini bekerjasama dengan lebih 80 hotel sekitar negeri ini
dalam penjualan jersi baharu itu.
"Jersi ini boleh dibeli di
hotel-hotel sekitar Pulau Pinang yang mana, peminat bolasepak tidak perlu lagi
ke pejabat FAP untuk pembelian jersi. Disamping mempromosikan jersi yang akan
dipakai sepanjang musim ini, ia juga bertujuan mempromosi bolasepak Pulau
Pinang.
"Terima kasih kepada
Persatuan-Persatuan Hotel Malaysia (MAH) kerana menyokong pasukan Pulau Pinang
dengan sudi bekerjasama dalam mempromosikan jersi. Peminat bolasepak boleh
mendapatkannya di kedai dalam hotel
dengan harga RM65," katanya
Sumber=SINAR HARIAN ONLINE 1
April 2017