ARKIB : 10/06/1998
Pulau Pinang aibkan Pahang
PAHANG terkeluar daripada
persaingan merebut Piala FA setelah terpaksa akur pada kehebatan Pulau Pinang
yang mara ke pusingan sukur akhir dengan agregat 1-4 pada perlawanan kedua
pusingan kedua di Stadium Darulmakmur, malam tadi, lapor BORHAN ABU SAMAH.
Pulau Pinang yang bertandang ke
gelanggang lawan dengan kelebihan agregat satu gol bertindak cemerlang mengawal
perlawanan walaupun tuan rumah begitu ghairah mendapatkan gol awal.
Minit 17 pemain pertahanan
Pahang, Emmanuel Kofi Ampiah telah naik ke atas dengan larian pantasnya dan
mengelecek dua pemain pertahanan Pulau Pinang sebelum menyilangkan bola kepada
Jalaludin Jaafar yang menerjah bola ke dalam gol.
Selepas gol pendahuluan Tok Gajah
terus garang merempuh benteng pertahanan lawan yang dibarisi lima pemain begitu
kental untuk dibolosi.
Bagaimanapun Chee Wan Hoe
berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 untuk pasukan pelawat dengan
rembatan dari kira-kira 30 meter kiri luar kotak penalti yang berjaya
menewaskan Mudzar Mohamad.
Empat minit kemudian Yong Hoe
Guan pula terus menghukum kelekaan barisan pertahanan Pahang setelah berjaya
menggelecek dua pemain pertahanan di tengah kotak penalti sebelum memperdayakan
Mudzar yang menerpa keluar untuk gol pendahuluan.
Jorgen Erik Larsen yang buntu
dengan persembahan tidak bermaya anak buahnya terpaksa mengeluarkan penyerang
utamanya, Viatcheslav Melnikov pada babak kedua dan memasukkan pemain muda,
Mohd Ikhwan Padah Nordin pada babak kedua.
Bagaimanapun percaturan Larsen
tidak menjadi apabila Mohd Ikhwan gagal membaca gerakan yang diatur oleh Jozsef
Duro dan Azaruddin Aziz yang turut masuk pada babak kedua.
Bagaimanapun pasukan pelawat
yang sesekali melakukan serangan nampak lebih berbisa dengan beberapa cubaan
dari jarak jauh.
Pada minit ke-86 Balla Modou
Conde terus melebarkan penguasaan Pulau Pinang dengan jaringan penutup melalui
rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan Mudzar sekali lagi.
tfhelneuPAHANG: Mudzar Mohamad,
Jalaludin Jaafar (Ahmad Shukri Mustapha), Suhaimi Mohd Nor, Khairulniza
Mustaffa, Mohd Ali Tahar, Emmanuel Kofi Ampiah, Jozsef Duro, Viatcheslav
Melnikov (Mohd Ikhwan Padah Nordin), Azizul Kamaludin, Shahrul Nizam Sahat
(Azaruddin Aziz) dan Shaharudin Rosdi.
Sabah mara
Di Stadium Larkin, Johor Bahru,
ISHAK SALLEH melaporkan, Johor FC tidak mampu untuk beraksi di suku akhir
meskipun menang 1-0 ke atas Sabah.
Kemenangan tersebut tidak
memadai kerana Sabah sudahpun menang dengan jumlah besar, 3-0 semasa perlawanan
pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebelum ini.
Pasukan tuan rumah bagaimanapun
berpuas hati selepas Anuar Mat Yusop berjaya menjaringkan gol kemanangan pada
minit ke-86.
Perlawanan malam tadi jelas
menunjukkan Sabah tidak menggunakan sepenuhnya tenaga yang ada namun masih
mampu menyekat kemaraan Johor FC.
Sabah yang banyak bertahan
bagaimanapun melepaskan gol selepas pemain import Johor FC, Mirko Jurilj yang membuat
tendangan percuma lalu disambut oleh Anuar bagi memberi kemenangan kepada
pasukan tuan rumah.
Kedah layak
Sementara itu, Kedah yang
menang tipis di Alor Setar 1-0 sebelum ini memberi ruang untuk layak ke suku
akhir selepas seri 4-4 pada perlawanan kedua di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV,
Kota Bharu, malam tadi, lapor ISMAIL MOHAMAD.
Perlawanan kedua-dua pasukan
sememangnya rancak sehingga memberi kepuasan kepada 5,000 penonton yang
membanjiri stadium berkenaan.
Gol Kedah dijaringkan oleh
Zulfatah Dzulkarnain minit ke-11 dan 50, Andre Luis Nascimento (51) dan Carlos
Telxreira Barreto (60) manakala Kelantan menerusi Wong Kah Loon (59), Mohd.
Badrisham Kadir (61), (82) dan Hashim Mustapha (63).
Kerancakan permainan kedua-dua
pasukan terutama pada babak kedua memperlihatkan gol yang dijaringkan berselang
seli antara satu sama lain.
Pasukan tuan rumah yang beraksi
cemerlang terlepas peluang terbaik untuk menambah gol pada minit terakhir
tetapi kecekapan penjaga gol Kedah Amran Omar menyelamatkan sepakan Hashim
memberi keceriaan kepada pasukan pelawat.
Perlawanan tersebut dianggap
menarik sehingga tiada sebarang kejadian buruk berlaku meskipun kedua-dua
pasukan memerlukan kemenangan untuk mara ke suku akhir.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JsI9MglX
© Utusan Melayu (M) Bhd