ARKIB : 03/03/2007
PULAU PINANG Harimau Kumbang
bakal berdepan tugas getir esok ekoran ketiadaan ramai pemain tonggak menjelang
perlawanan menentang Negeri Sembilan di Stadium Paroi dalam aksi Piala
Malaysia.
Ketua jurulatih, Josef Herel
berkata, dengan ketiadaan pemain utama dalam aksi keempat dalam Piala Malaysia
diakui memberi sedikit tekanan kepada skuad bimbingannya untuk mencari
kemenangan sulung.
Bagaimanapun katanya, keadaan
itu merupakan perkara biasa dalam bola sepak dan beliau perlu menggunakan
segala kekuatan yang ada untuk meneruskan saingan.
Walaupun terpaksa merehatkan
beberapa pemain utama selain ada yang digantung kerana kad kuning namun itu
bukan penyebab untuk kami mengaku kalah, katanya.
Herel memberitahu, percaturan
malam ini mungkin sedikit berubah kerana ketiadaan penjaga gol utama, S.
Shankar serta beberapa pemain seperti Nordin Khamis, V. Jeganatahan dan Durahim
Jamaludin.
Saya menasihatkan pemain yang
bakal diturunkan nanti agar bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan dan
berharap dapat mengulangi prestasi mantap ketika menundukkan Perlis di Kangar
dua hari lalu, katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Herel, pertemuan dengan
Perlis yang berkesudahan Pulau Pinang menang 1-0 dicapai kerana anak-anak
buahnya bermain mengikut percaturan yang telah ditetapkan.
Mereka bermain dengan baik.
Kemenangan itu bukan disebabkan nasib semata-mata dan saya yakin ia boleh
diulangi menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan esok (malam ini), katanya
lagi.
Jelasnya, anak didiknya kini
berada dalam keadaan baik, ditambah pula kemenangan ke atas Perlis dalam aksi
Liga Super Rabu lalu sedikit sebanyak memberi tonik serta menguatkan azam
mereka untuk mendapatkan keputusan lebih baik.
Katanya, walaupun mendapat
cemuhan penyokong kerana mempamerkan aksi yang dianggap tidak memuaskan, anak
didiknya dilihat terus cekal untuk memberikan saingan.
Saya puji persembahan mereka
baru-baru ini namun tetap berharap agar mereka tidak mudah lupa diri kerana
setiap lawan adalah berlainan kemampuan dan kekuatannya, jelasnya.
Bagaimanapun katanya, ia
bukanlah satu masalah besar kerana beliau tetap yakin barisan pemain simpanan
yang ada juga mampu merencanakan sesuatu untuk membantu pasukan mencatat
kemenangan seterusnya.
Dalam pada itu, penyerang Pulau
Pinang yang menjaringkan gol tunggal dalam pertemuan menentang Singa Utara Rabu
lepas, Mohd. Farizal Rozali bersedia menggempur benteng Rusa malam ini.
Beliau yang semakin terdesak
mencari lebih banyak gol untuk membantu pasukannya mengukuhkan kedudukan dalam
liga berazam memperbaiki mutu persembahannya menjelang perlawanan itu nanti.
Saya berpuas hati sekiranya
dapat menghasilkan gol kerana itu menjadi tugas utama ketika turun beraksi.
Saya harap esok (malam ini) tuah berpihak kepada saya untuk membuat lebih
jaringan, katanya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tMM0iIaN
© Utusan Melayu (M) Bhd