Sabtu, 10 September 2016

Pulau Pinang aibkan Pahang

ARKIB : 10/06/1998
Pulau Pinang aibkan Pahang
PAHANG terkeluar daripada persaingan merebut Piala FA setelah terpaksa akur pada kehebatan Pulau Pinang yang mara ke pusingan sukur akhir dengan agregat 1-4 pada perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Darulmakmur, malam tadi, lapor BORHAN ABU SAMAH.

Pulau Pinang yang bertandang ke gelanggang lawan dengan kelebihan agregat satu gol bertindak cemerlang mengawal perlawanan walaupun tuan rumah begitu ghairah mendapatkan gol awal.

Minit 17 pemain pertahanan Pahang, Emmanuel Kofi Ampiah telah naik ke atas dengan larian pantasnya dan mengelecek dua pemain pertahanan Pulau Pinang sebelum menyilangkan bola kepada Jalaludin Jaafar yang menerjah bola ke dalam gol.

Selepas gol pendahuluan Tok Gajah terus garang merempuh benteng pertahanan lawan yang dibarisi lima pemain begitu kental untuk dibolosi.

Bagaimanapun Chee Wan Hoe berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 untuk pasukan pelawat dengan rembatan dari kira-kira 30 meter kiri luar kotak penalti yang berjaya menewaskan Mudzar Mohamad.

Empat minit kemudian Yong Hoe Guan pula terus menghukum kelekaan barisan pertahanan Pahang setelah berjaya menggelecek dua pemain pertahanan di tengah kotak penalti sebelum memperdayakan Mudzar yang menerpa keluar untuk gol pendahuluan.

Jorgen Erik Larsen yang buntu dengan persembahan tidak bermaya anak buahnya terpaksa mengeluarkan penyerang utamanya, Viatcheslav Melnikov pada babak kedua dan memasukkan pemain muda, Mohd Ikhwan Padah Nordin pada babak kedua.

Bagaimanapun percaturan Larsen tidak menjadi apabila Mohd Ikhwan gagal membaca gerakan yang diatur oleh Jozsef Duro dan Azaruddin Aziz yang turut masuk pada babak kedua.

Bagaimanapun pasukan pelawat yang sesekali melakukan serangan nampak lebih berbisa dengan beberapa cubaan dari jarak jauh.

Pada minit ke-86 Balla Modou Conde terus melebarkan penguasaan Pulau Pinang dengan jaringan penutup melalui rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan Mudzar sekali lagi.

tfhelneuPAHANG: Mudzar Mohamad, Jalaludin Jaafar (Ahmad Shukri Mustapha), Suhaimi Mohd Nor, Khairulniza Mustaffa, Mohd Ali Tahar, Emmanuel Kofi Ampiah, Jozsef Duro, Viatcheslav Melnikov (Mohd Ikhwan Padah Nordin), Azizul Kamaludin, Shahrul Nizam Sahat (Azaruddin Aziz) dan Shaharudin Rosdi.

Sabah mara

Di Stadium Larkin, Johor Bahru, ISHAK SALLEH melaporkan, Johor FC tidak mampu untuk beraksi di suku akhir meskipun menang 1-0 ke atas Sabah.

Kemenangan tersebut tidak memadai kerana Sabah sudahpun menang dengan jumlah besar, 3-0 semasa perlawanan pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebelum ini.

Pasukan tuan rumah bagaimanapun berpuas hati selepas Anuar Mat Yusop berjaya menjaringkan gol kemanangan pada minit ke-86.

Perlawanan malam tadi jelas menunjukkan Sabah tidak menggunakan sepenuhnya tenaga yang ada namun masih mampu menyekat kemaraan Johor FC.

Sabah yang banyak bertahan bagaimanapun melepaskan gol selepas pemain import Johor FC, Mirko Jurilj yang membuat tendangan percuma lalu disambut oleh Anuar bagi memberi kemenangan kepada pasukan tuan rumah.

Kedah layak

Sementara itu, Kedah yang menang tipis di Alor Setar 1-0 sebelum ini memberi ruang untuk layak ke suku akhir selepas seri 4-4 pada perlawanan kedua di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi, lapor ISMAIL MOHAMAD.

Perlawanan kedua-dua pasukan sememangnya rancak sehingga memberi kepuasan kepada 5,000 penonton yang membanjiri stadium berkenaan.

Gol Kedah dijaringkan oleh Zulfatah Dzulkarnain minit ke-11 dan 50, Andre Luis Nascimento (51) dan Carlos Telxreira Barreto (60) manakala Kelantan menerusi Wong Kah Loon (59), Mohd. Badrisham Kadir (61), (82) dan Hashim Mustapha (63).

Kerancakan permainan kedua-dua pasukan terutama pada babak kedua memperlihatkan gol yang dijaringkan berselang seli antara satu sama lain.

Pasukan tuan rumah yang beraksi cemerlang terlepas peluang terbaik untuk menambah gol pada minit terakhir tetapi kecekapan penjaga gol Kedah Amran Omar menyelamatkan sepakan Hashim memberi keceriaan kepada pasukan pelawat.

Perlawanan tersebut dianggap menarik sehingga tiada sebarang kejadian buruk berlaku meskipun kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan untuk mara ke suku akhir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JsI9MglX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan