Selasa, 1 November 2016

Domi lebur rekod Kedah

ARKIB : 04/10/1998

REKOD tanpa kalah Kedah kepada Pulau Pinang selama 10 tahun akhirnya lebur apabila tewas 1-2 dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Setar malam tadi.

Domi Che Non yang masuk menggantikan pemain ayam tambatan Pulau Pinang, Riyadh Abbas muncul sebagai wira skuad Harimau Bintang apabila menjaringkan dua gol untuk memberi kemenangan kepada pasukannya.

Kekalahan itu sekali gus memusnahkan harapan skuad Kenari untuk meneruskan cabaran dalam Piala Malaysia setelah tewas dengan Terengganu 0-3 minggu lalu.

Pulau Pinang sejak awal permainan mencemaskan gawang gol tuan rumah dengan beberapa gerakan tetapi tiada penyudah yang baik untuk mencuri gol.

Seawal minit ketiga, S. Nanthakumar melorongkan bola di hadapan pintu gol Kenari tetapi tidak disambut oleh pemain Pulau Pinang.

Kedah memperoleh gol pertama hasil daripada kesilapan penjaga gol Pulau Pinang, Ahmad Sobri Ismail dan Andre Nascimento tidak melepaskan peluang.

Skuad Harimau Bintang yang ketinggalan satu gol bermain dalam keadaan tertekan bagaimanapun terus mengasak gawang Kedah.

Kedah gagal mengambil kesempatan daripada kepincangan Pulau Pinang yang kehilangan ayam tambatannya, Riyadh Abbas yang terpaksa dikeluarkan selepas dijatuhkan oleh Roslan Abdul Rahim.

Pulau Pinang yang juga tidak menurunkan Merzagua Abderrazak kerana cedera hampir mendapat gol penyamaan pada minit ke-32 apabila Yong Woon Seang membuat rembatan kencang dari jarak dekat di hadapan gol Kedah tetapi penjaga gol, S. Ragesh bertindak cemerlang.

Kemasukan Domi Che Non menggantikan Riyadh Abbas mengubah rentak permainan apabila lima minit sebelum separuh masa pertama tamat, Pulau Pinang mendapat gol penyamaan.

Sepakan Domi ke gawang kanan gol Kedah tidak dicabar oleh pertahanan skuad Kenari yang telah membuka ruang kepada pemain gantian tersebut.

Domi sekali lagi menggegarkan Stadium Darulaman apabila menanduk masuk bola hantaran G. Shanmugam untuk mendahului Kenari 2-1 pada minit terakhir separuh masa pertama.

Carlos Roberio hampir memperoleh gol penyamaan Kedah pada minit ke-50 menerusi tandukan hasil tendangan percuma Andre Nascimento tetapi Ahmad Sobri menampan bola.

Pertahanan Kedah yang kurang mantap sekali lagi hampir mengundang padah kepada skuad Kenari pada minit ke-65 apabila G. Shanmugam berjaya melepaskan diri daripada kawalan pemain Kedah.

Tendangan Shanmugam bagaimanapun berjaya ditahan oleh S. Ragesh tetapi bola yang datang bergolek semula di hadapannya tersasar keluar apabila ditolak ke gawang gol sekali lagi.

Oleh: NIZAM HAMID

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4OkYD7spJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan