Khamis, 25 Mei 2017

P. Pinang hormati keupayaan MPPJ



ARKIB : 25/02/2005
 
PULAU PINANG - Kunjungan skuad Pulau Mutiara ke Stadium Petaling Jaya, Selangor esok tetap dianggap penting meskipun berdepan MPPJ Selangor yang belum mencatat sebarang kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini.

Skuad bimbingan Norizan Bakar menganggap pertemuan dengan pasukan terbawah liga itu sama hebat dan rancak ketika beraksi dengan skuad lain dalam Liga Super atau Piala FA. Pulau Pinang tekad dengan misi mencatat kemenangan, selepas rekod tanpa kalah mereka lebur kepada Juara Piala Malaysia, Perlis di gelanggang sendiri minggu lalu.

Norizan dalam nada merendah diri berkata; ``Kita hormati semua pasukan dalam Liga Super dan perlu bersedia.''

Sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya skuad Harimau Kumbang memandang mudah pertemuan dengan bekas Juara Piala Malaysia musim 2003 itu ketika di bawah bimbingan Dollah Salleh.

Percaturan di atas kertas pertemuan dengan anak buah Redzuan Abdullah dilihat mudah bagi Pulau Pinang kerana selain rekod empat kekalahan dan satu keputusan seri, rangkaian serangan MPPJ kurang menyengat dengan sekadar lima jaringan daripada lima perlawanan.

``Dalam bola sepak kita tidak boleh membuat perbandingan seperti itu (kedudukan dalam liga). Pasukan yang dianggap kuat dan dilihat berpeluang untuk menang mencatat keputusan sebaliknya,'' kata Norizan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemain supaya memandang serius setiap pertemuan sama ada membabitkan pasukan kuat atau lemah kerana semua pasukan dalam Liga Super mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iACvEkWc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan