ARKIB : 10/07/2005
Pemain Pahang, Rosdi Talib
(kanan) berjaya mengawal bola walaupun cuba ditarik pemain pertahanan Perak,
V.Thirumurugam pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Makmur
malam tadi. Pahang muncul naib juara Liga Super selepas menang 1-0 - Gambar
Ghazali Basri.
KUALA LUMPUR - Kekalahan
membawa padah buat Sabah dan Public Bank yang akan beraksi dalam Liga Perdana
musim depan selepas masing-masing tewas dalam perlawanan terakhir bola sepak
Liga Super, malam tadi.
Ketika Sabah dan Public Bank
memikirkan nasib malang mereka, Pahang pula mengukir senyuman apabila
dinobatkan selaku naib juara Liga Super selepas menewaskan Perak 1-0 di Stadium
Darul Makmur.
Mohd. Fadzli Saari muncul hero
Pahang apabila menggegarkan gawang Perak dengan merembat kencang selepas
menerima hantaran cantik daripada Bernard Samuel Tchoutang pada minit ke-40.
Kemenangan milik Pahang cukup
melegakan, menebus kehampaan anak didik Zainal Abidin Hassan menjulang
kejuaraan liga yang dirampas oleh Perlis.
Di Stadium Likas, Sabah yang
menduduki tangga terbawah liga menderita gara-gara gol jaringan pemain sendiri,
Leosmar Nascimento pada minit ke-70 membawa padah kekalahan tipis 1-0 kepada
MPPJ.
Kejayaan itu memastikan juara
Piala Malaysia 2003, MPPJ mengiringi Perlis, Pahang, Perak dan Telekom yang
lebih awal mengekalkan kedudukan ke Liga Super musim 2006.
Di Stadium Bandaraya, Pulau
Pinang menghela nafas lega dengan gol tunggal jaringan Jose Marcio Barreto
seawal minit keempat memastikan skuad Pulau Mutiara kekal di Liga Super musim
depan.
Di Stadium Utama, juara Liga
Super musim ini, Perlis meneruskan aksi cemerlang apabila menewaskan Telekom
4-0.
Kemenangan manis itu turut
diserikan dengan upacara ringkas tetapi meriah apabila Pemangku Raja Perlis,
Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Jamalullail menyerahkan Piala Liga Super
2005 kepada ketua pasukan Singa Utara, Mohd. Khaironnisam Shahabuddin sejurus
wisel penamat ditiup.
Sebaik pemain pertahanan
kebangsaan itu menjulang piala tersebut, Stadium Utama bergema dengan sorakan
lebih 25,000 penyokong dan persembahan bunga api yang menerangi ruang angkasa
bandar Kangar diiringi lagu `We Are The Champion'.
Gol-gol Perlis dijaringkan oleh
Zacharia Simukonda (m-46 dan m-90) Yusri Che Lah (m-64) dan Adrien Jurad
Chamrong (m-87).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iiVfU3Ql
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan