ARKIB : 11/01/2005
PULAU Pinang lebih selesa dilabel sebagai pasukan bukan pilihan tetapi menjanjikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan apabila tirai bola sepak Liga Super musim 2005 bermula akhir bulan ini.
Pulau Pinang memberi amaran awal dengan membariskan bekas pemain dari Kitchee FC di Liga Hong Kong, Ito Dan sekali gus menjadi pemain profesional pertama dari Jepun beraksi dalam Liga Malaysia.
Dibimbing bekas jurulatih skuad Singa Utara yang membawa Perlis muncul Juara Piala Malaysia musim lalu, Norizan Bakar dilihat mampu memberi sentuhan kejayaan buat skuad Harimau Kumbang.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Mohd. Zain Omar bagaimanapun berkata, kejayaan itu sukar dicapai tanpa sokongan dan komitmen tinggi pemain terhadap permainan mereka.
Selain itu katanya, para pemain turut mengharapkan sokongan padu penyokong setia Pulau Pinang menerusi sokongan yang tidak berbelah bagi termasuk ketika skuad Pulau Mutiara kecundang dalam sesuatu perlawanan.
``Pengurusan FAP optimis kerjasama dan sokongan pelbagai pihak termasuk media menerusi teguran kritis, Pulau Pinang mampu muncul pasukan yang digeruni dan dihormati lawan.
``Pulau Pinang berwajah baru. Sudah tentulah mengharapkan kejayaan manis pada musim baru Liga Super,'' katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Ito menandatangani kontrak bersama Pulau Pinang, semalam. Selain Ito, Pulau Pinang mengekalkan dua tonggak import musim lalu, pemain tengah Jose Marcio Barreto dan penyerang dari Rusia, Viatcheslav Melnikov.
Skuad Harimau Kumbang turut diperkuatkan oleh bekas pemain Perlis, Tengku Hazman Raja Hassan dan Mohd. Faizal Esahar di samping dua pemain Piala Presiden, penyerang, Mohd Farizal Rozali dan Azizul Ahmad Sabri.
Dalam pada itu, Norizan yang diharap dapat membentuk pasukan yang mantap bagi menyaingi pasukan elit dalam Liga Super berkata, kejayaan bersama Perlis telah berlalu dan bagi musim ini beliau mahu membuka `buku baru'.
``Mana-mana jurulatih pun memang diharapkan untuk membawa kejayaan bagi pasukannya. Hasrat saya memberi yang terbaik untuk Pulau Pinang,'' katanya.
Walau apa pun Norizan berkata, bagi mencapai kejayaan beliau memerlukan kesungguhan dan komitmen tinggi semua pemain di samping sokongan pengurusan dan penyokong Pulau Pinang.
Beliau berkata, kemampuan Pulau Pinang bukan dilihat daripada aspek individu tetapi dinilai menerusi persefahaman dan keserasian setiap pemain dalam pasukan.
``Kegagalan atau kejayaan pasukan bukan bergantung kepada satu atau dua orang pemain, tetapi semua pemain yang membarisi Pulau Pinang,'' katanya.
Menyentuh kemungkinan Pulau Pinang menambah seorang lagi pemain import, Norizan berkata; ``Keperluan bagi Pulau Pinang ialah di barisan pertahanan bagi mengukuhkan benteng sedia ada''.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan