ARKIB : 03/08/1998
SYABAS WIRAKU ... Penjaring gol
kemenangan Pulau Pinang ketika menewaskan Selangor 2-1 kelmarin, Merzagua
Abderrazak menjadi tumpuan ramai apabila menerima ucapan tahniah dan sambutan
meriah peminat skuad Harimau Kumbang itu sebaik sahaja tiba dengan bas dari
Kuala Lumpur, semalam.
Pulau Pinang mencipta sejarah
tersendiri dengan menjuarai bola sepak Liga Perdana Satu selepas menamatkan
perlawanannya di Shah Alam kelmarin dengan mengumpul 41 mata, memintas pencabar
terdekat, Pahang.
Inilah kejayaan paling gemilang
mereka dalam tempoh 16 tahun selepas kali pertama bergelar juara liga pada
1982.
KEJUARAAN liga hanya pencetus
semangat sedangkan ganjaran lebih besar menanti kesemua pemain Pulau Pinang
sekiranya berjaya merangkul piala paling berprestij, Piala Malaysia musim ini.
Selepas muncul juara liga
menerusi kemenangan 2-1 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam yang mendorong
Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) memberikan imbuhan RM50,000 kepada
kesemua wiranya, pasukan ''Harimau Kumbang'' diminta pula menghalakan impian
memburu Piala Malaysia.
Presiden FAP, Tan Sri Dr. Koh
Tsu Koon, berkata, pihaknya sedia menawarkan ganjaran besar jika pemain
merealisasikan impian meraih Piala Malaysia, sekali gus mencipta kejuaraan
berganda selepas Piala Liga.
''Setakat ini, kita bersetuju
memberikan RM50,000 untuk pemain yang membawa pulang Piala Liga kerana
bergantung kepada kemampuan semasa FAP,'' kata Dr. Koh.
Bagaimanapun, kata beliau,
segala-galanya bergantung kepada kedudukan ''kantung'' FAP yang mengalami sedikit
kemerosotan berikutan sambutan tidak menggalakkan daripada penonton dalam
beberapa perlawanan terutama sewaktu Piala Dunia.
''Kebiasaannya, hasil kutipan
tiket di gelanggang sendiri (Stadium Bandaraya) boleh mencapai RM80,000 dalam
sesuatu perlawanan tetapi disebabkan Piala Dunia, kita memperoleh antara
RM20,000 hingga RM30,000 sahaja ,'' kata beliau.
Dr. Koh berkata demikian kepada
pemberita sewaktu meraikan pegawai dan pemain Pulau Pinang sempena kejayaan
merangkul Piala Liga, dalam satu majlis di hadiri lebih 1,000 peminat pasukan
''Harimau Kumbang'' di Stadium Bandaraya, semalam.
Beliau yang juga Ketua Menteri
berharap kejayaan meraih Piala Liga akan memastikan peminat Pulau Pinang
memberikan sokongan berterusan kepada pasukan tersebut bagi mengatasi masalah
kewangan FAP.
Selain itu, kata Dr. Koh,
sektor korporat seharusnya sedia memberikan sumbangan seperti menjadi penaja
kepada pasukan Pulau Pinang yang berusaha untuk menjuarai Piala Malaysia.
Mengenai peluang Pulau Pinang
dalam kancah Piala Malaysia, Dr. Koh berkata, kesemua pemain seharusnya
mempunyai semangat tinggi seperti dibuktikan sewaktu mereka merangkul Piala
Liga.
''Jangan terlalu menekankan
soal ganjaran besar sedangkan keazaman dan semangat tinggi perlu diutamakan
bagi memastikan kejayaan Pulau Pinang seterusnya,'' tambah beliau.
Kata Dr. Koh, selepas meraikan
kejayaan bermakna buat Pulau Pinang itu, kesemua pegawai dan pemain tidak boleh
berehat panjang kerana perlu melakukan persediaan menghadapi Piala Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4KCvJTY15
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan