ARKIB : 03/08/1998
PULAU Pinang menamatkan
penantian 16 tahun apabila dimahkotakan selaku juara Perdana Satu mengetepikan
saingan utama Pahang dengan kelebihan satu mata, lapor AMRAN MULUP.
Kejayaan ini pastinya
meletakkan Pulau Pinang kembali selaku pasukan berstatus elit dan bakal menjadi
tumpuan apabila kempen Piala Malaysia bermula bulan depan.
Kali terakhir skuad Harimau
Kumbang merangkul gelaran liga pada 1982 namun perjuangan terakhir malam
kelmarin jelas membuktikan Pulau Pinang tidak boleh dinafikan kehebatan sebenar
mereka.
Kejayaan ini sedikit sebanyak
menebus kehampaan mereka ketika sekadar meraih naib juara Piala FA musim lalu
tunduk 1-0 kepada Selangor dalam perlawanan akhir.
Namun Pulau Pinang seharusnya
berterima kasih kepada Brunei yang berjaya menyekat pendahulu liga Pahang
dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan di Bandar Seri Begawan.
Keputusan itu membolehkan Pulau
Pinang dimahkotakan selaku juara liga selepas mereka diselamatkan dengan
jaringan kemenangan Merzagua Abderrazzak di minit-minit terakhir untuk
memberikan kemenangan 2-1 menewaskan Selangor di Stadium Shah Alam.
Pesta ringkas di Stadium Shah
Alam yang turut dihadiri oleh Presiden FAP, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon serta di
kalangan 3,000 penyokong mereka membuka lembaran baru diari bola sepak Pulau
Pinang.
Kelebihan memihak kepada Pulau
Pinang dengan kelebihan satu mata apabila mengumpul 41 mata berbanding Pahang
sekadar selesa selaku naib juara Piala Malaysia musim lalu memperoleh 40 mata.
Kejayaan ini turut melegakan
kantung Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dengan habuan lumayan RM150,000
menjadi milik selaku juara liga.
Nasib Pahang masih belum
ditentukan untuk diiktiraf selaku naib juara selepas menamatkan cabaran liga
ketika Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan
memutuskan keputusan tindakan mereka menurunkan pemain yang digantung sewaktu
pertemuan dengan Perak minggu lalu.
Jika Pahang didapati bersalah
sekalipun yang memungkinkan mata mereka dipotong ia tidak menjejaskan kedudukan
skuad Tok Gajah kekal di tangga kedua.
Buat Pahang ini sudah pastinya
kekecewaan yang sukar untuk ditelan ketika kejayaan hampir digapai selepas
beberapa minggu berada di persada Perdana Satu, secara tiba-tiba ia terlucut
tidak sampai 24 jam.
Brunei semi finalis Piala
Malaysia musim lalu melangkah setapak lagi untuk berada di tangga ketiga iaitu
kedudukan terbaik buat mereka dalam saingan liga.
Turut mengiringi ketiga-tiga
gergasi itu ke Piala Malaysia ialah Kedah, Sabah dan Sarawak manakala
Terengganu selaku juara Perdana Dua melengkapkan enam pasukan yang layak secara
automatik.
Manakala tiga kekosongan yang
tinggal bagi melengkapkan sepuluh pasukan mengharungi kempen Piala Malaysia
bulan depan kini terpaksa diburu oleh enam pasukan yang ditentukan dalam
perlawanan play-off.
Persaingan dalam perlawanan
play-offmenyaksikan persaingan empat pasukan dari Perdana Satu terdiri daripada
juara Piala Malaysia tiga musim berturut-turut, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri
Sembilan dan Perak.
Manakala dua pasukan dari
Perdana Dua, Johor dan Kelantan melengkapkan enam pasukan yang akan bersaing
sesama sendiri dalam memburu tiga tempat ke Piala Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4KCy2iv00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan