Sabtu, 3 September 2016

P. Pinang digeruni

ARKIB : 18/04/1998
P. Pinang digeruni
BERSANDARKAN mimpi, juara seharusnya milik skuad gergasi namun berpegang kepada realiti, segalanya masih belum pasti sebaliknya menambahkan lagi keghairahan Perdana Satu, malam ini.

Jika berbekalkan reputasi selaku juara Piala Malaysia 1997, Selangor pasti menghadapi laluan mudah untuk menewaskan Pulau Pinang sekalipun beraksi di gelanggang lawan.

Namun, dalam musim baru, impian manis seharusnya berlalu buat Selangor untuk menghadapi Pulau Pinang yang tahun ini paling mantap menerusi gandingan pemain handalan, penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail, Chee Wan Hoe, Zaidi Mat Ail dan Fauzi Soh.

Rekod tanpa kalah Pulau Pinang dalam tiga perlawanan lalu mengundang gerun Selangor, apatah lagi selepas menyaksikan betapa garang Harimau Kumbang membelasah Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Rumusannya cukup mudah, jika di gelanggang lawan, Selangor tewas 1-3 kepada Sarawak, bagaimana pula Pulau Pinang mampu mengikat kemaraan skuad Kenyalang menerusi keputusan seri 1-1 di stadium yang sama.

Walaupun kembali bangkit menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan pilihan Pahang, Red Giants tidak mahu menganggap mudah pertemuan dengan Pulau Pinang dalam saingan yang dijangka sengit.

Kekuatan Selangor pastinya diletak di bahu penyerang Azman Adnan mana kala benteng kebalnya masih mempertaruhkan Mehmet Durakovic, Jeff Hopkins dan Zainal Abidin Hassan.

Keghairahan Pulau Pinang berada di tangga kedua carta Perdana Satu selepas mengumpul tujuh mata pasti merisaukan Perak, penghuni tempat teratas dengan kedudukan mata yang sama tetapi mempunyai kelebihan jaringan.

Dengan Kedah menjadi tetamu di Stadium Perak, ''Seladang'' begitu dahagakan kemenangan untuk menambah koleksi jaringan penyerang dari Hungary, Lazslo Repasi buat merealisasikan impian untuk menerima sekali lagi anugerah ''kasut emas'' seperti dimenangi musim lalu.

Lawannya Kedah pula, selepas dimalukan Perlis menerusi kekalahan 1-4 dan terikat seri tanpa jaringan dengan skuad Olimpik 2000 pastinya cuba bangkit mencari sedikit penawar dengan mempamerkan kesungguhan bertemu Perak.

Pahang turut menghadapi tentangan sengit Brunei di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, gelanggang paling ditakuti lawan kerana sering menyemarakkan semangat ''luar biasa'' pasukan negara minyak itu.

Di sebalik semangat tinggi menggunung, Brunei turut cemas untuk melayani kerenah Pahang yang menggandingkan Azizul Kamaluddin dengan penyerang lincah dari Rusia, Vachislav Melnikov.

Kuala Lumpur pula mungkin bertuah beraksi di gelanggang sendiri di Cheras tetapi masih belum tahu untung nasibnya disebabkan lawan bakal dihadapi adalah Sarawak.

Selaku juara baru Sumbangsih setelah mengatasi Selangor 3-1, Sarawak berharapkan kemenangan untuk mengukirkan kembali senyuman jurulatih Alan Vest yang begitu berang selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Pahang.

Begitu juga Perlis, kesalahan besar akibat kekalahan 0-4 kepada Negeri Sembilan mungkin tidak dapat diampun jika masih gagal ditebus dalam perlawanan menentang Sabah di di Stadium Utama, Kangar, malam ini.

Jelas sekali, walaupun sekadar memasuki empat perlawanan malam ini, aksi terbaik cuba ditonjolkan 12 pasukan yang mahu memperbaiki kedudukan bagi menambahkan kehangatan Perdana Satu.

Oleh: ZAINU'L AZHAR ASH'ARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JBLk38Aj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan