Rabu, 14 September 2016

Piala Malaysia kini jadi buruan Pulau Pinang

ARKIB : 18/08/1998
HAJAT meraih kejuaraan berganda selepas memenangi Piala Liga memaksa Pulau Pinang mengatur persiapan cukup rapi termasuk menyertai kejohanan tiga penjuru di Stadium Bandaraya pada 23 hingga 25 Ogos ini.

Perlawanan persahabatan dengan Terengganu dan Balestier Central FC dari Singapura itu merupakan ujian kepada Pulau Pinang yang memburu kejuaraan kedua iaitu Piala Malaysia.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Abdul Wahab Mohamed berkata, sebelum bermula perlawanan antara tuan rumah dengan Terengganu, penyampaian Piala Liga akan disampaikan kepada skuad harimau kumbang selaku juara.

Abdul Wahab dalam kenyataan yang dikeluarkan di Pulau Pinang semalam memberitahu, peminat bola sepak yang ingin menyaksikan kejohanan itu dikenakan bayaran RM10 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak) bagi tempat duduk grandstand.

Sementara itu, kata beliau, bagi tempat duduk teres pula, peminat bola sepak dikenakan bayaran sebanyak RM5 (dewasa) dan RM2 (kanak-kanak).

Menurut beliau, bayaran tiket tersebut dikenakan kerana FAP terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menampung keperluan pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4KHAqLZo8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan